Friday, April 24, 2009

Baru Sekarang Fairus Tahu Siapa Anwar Yang Sebenarnya!


SPRM telah mengesahkan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 Mohamad Fairus Khairuddin tidak bersalah dan setelah proses siasatan dijalankan didapati tiada asas untuk mendakwanya.

Tetapi bagi Anwar Ibrahim, maruah Fairus tidak penting dan apa yang paling penting Fairus perlu diganti dengan pemimpin lain dan satu pilihanraya kecil perlu diadakan di Penanti. Sekarang baru Fairus tahu siapa Anwar Ibrahim yang sebenarnya.

Kalau Anwar suka sampai ke Taiwan dia suruh orang mengejarnya tetapi kalau Anwar sudah tidak suka dia akan campak ikut sesuka hatinya.

Tetapi Fairus masih boleh menarik nafas lega kerana `jerat' yang dipasang untuk mengaibkannya tidak mengena dan SPRM telah membersihkan namanya tidak terlibat sama sekali dalam penyelewengan membabitkan syarikat kuari di Seberang Perai sebagaimana dakwaan Ketua Angkatan Muda PKR Kepala Batas, Amizuddin Ahmad Februari lalu.

Monday, April 20, 2009

Hudud & Negara Islam - Sudah Tiba Masa PAS Berdakwah Kepada Orang Cina


PAS sudah boleh menerima orang Cina dan orang Cina sudah boleh menerima Pas. Ini terbukti dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Bukit Gantang dan Kuala Terengganu baru-baru ini, Pas menang bukan kerana undi Melayu tetapi kerana undi orang Cina.

Orang Cina di Bukit Gantang dan Kuala Terengganu lebih senang dengan Pas yang memperjuangkan Islam sebagai addin berbanding dengan Barisan Nasional (BN). Inilah masa yang sesuai untuk Pas berdakwah kepada orang Cina matlamat asal perjuangan mereka iaitu mahu membentuk negara Islam dan mewujudkan undang-undang hudud di negara ini.

Jika dahulu orang Cina terutama DAP menolak Pas tetapi hari ini nampaknya mereka menyokong perjuangan Pas yang kental dan tidak lari daripada matlamat asal perjuangan iaitu mahu membentuk negara Islam dan undang-undang hudud.

Hari ini bukan Islam juga bertakbir dan bukan Islam juga sudah boleh membaca petikan ayat al-quran walau pun dengan sebutan yang tidak betul. Inilah kejayaan dakwah paling hebat Pas pada abad ini.

Pas perlu mengunakan peluang ini untuk berdakwah kepada orang Cina dan kesempatan yang terbaik ialah dalam Pilihanraya kecil Penanti dalam Parlimen Permatang Pauh iaitu tempat sekutu Pas - Anwar Ibrahim.

Pemimpin Pas seperti Nik Aziz dan Haji Hadi jangan takut untuk berkata benar kerana matlamat untuk menubuhkan negara Islam dan hudud adalah matlamat asal perjuangan Pas daripada Pas mula ditubuhkan.

Tetapi ramai percaya, Hadi dan Nik Aziz takut untuk bercakap soal negara Islam dan hudud dihadapan orang Cina kerana mereka sebenarnya lebih takut kalah dalam pilihanraya.

Tuesday, April 14, 2009

Antara Nga, Ngeh Dan `Ngok'


Mursyidul am Pas yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan bekas Exco Kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, Nga Kor Ming membaca ayat al-quran semasa berceramah dalam Pilihanraya kecil Bukit Gantang dua minggu lalu sebagai percubaan mengenali Islam melalui kitab suci itu.

Ini bukanlah kali pertama Nik Aziz mempertahankan suku sakat dan kaum kerabat. Nik Aziz pernah mempertahankan Mohamad Sabu apabila ditangkap berkhalwat dengan isteri orang di sebuah hotel di Kota Bharu, Kelantan tidak lama dulu. Menurut Nik Aziz, Mat Sabu tidak bersalah ada orang cuba memerangkapnya walaupun terang-terang Mat Sabu berdua-duaan dengan isteri orang dalam bilik hotel.

Nik Aziz juga mempertahankan Shahnon Ahmad, Sasterawan Negara yang juga Ahli Parlimen Pas kawasan Baling ketika itu yang menulis buku `Shit' yang mencarut dan memaki hamun Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir tidak lama dulu. Oleh kerana mahu mempertahankan suku sakat dan kaum kerabat, Nik Aziz mendakwa Tuhan juga mencarut.

Nik Aziz juga mempertahankan Presiden Pas, Hadi Awang yang mengeluarkan amanat UMNO kafir dan makanan yang dimasak oleh orang UMNO iaitu sesama Islam tidak boleh dimakan oleh orang Pas kerana orang-orang UMNO Kafir satu ketika dahulu.

Tetapi hari ini Nik Aziz, Haji Hadi dan pemimpin Pas yang lain bukan sahaja makan bersama DAP malah mempertahankan orang kafir yang mempersendakan Islam membaca ayat suci al-quran dengan kalimah yang tidak betul kerana atas kepentingan politik.

Inilah akibatnya apabila orang yang bertaraf alim ulama tetapi ada kepentingan politik. Nik Aziz sebagai alim ulama sangat dihormati bukan sahaja oleh orang Pas tetapi orang UMNO tetapi disebabkan mahu menjaga kepentingan politik suku sakat dan kaum kerabat perkara yang haram telah menjadi halal.

Buka kitab manapun berkhalwat dengan isteri orang, mencarut dan memaki hamun orang lain hukumnya haram dan berdosa. Tidak perlulah orang sesuci Nik Aziz membuat dosa mempertahankan orang macam Mat Sabu dan Shahnon demi kepentingan politik.

Sedarlah, Pas menang di Bukit Gantang kerana undi Cina manakala undi Melayu memihak kepada BN. Orang Melayu hari ini mulai sedar Pas diperguna oleh DAP untuk kepentingan politik mereka.

Jika benar Nga sudah terpaut dan mahu mengenali Islam, peluklah agama Islam dan jadi muslim yang sejati. Jangan setakat menghafal satu dua ayat yang tertentu kemudian dibaca dengan kalimah yang tidak betul untuk dijadikan modal politik.

Sedarlah, al-quran ada menyebut di akhirat nanti orang pertama yang akan dihumban ke dalam api neraka ialah golongan alim ulama kerana golongan ini tidak menjalankan tanggungjawabnya dan mempersendakan Islam.

Monday, April 6, 2009

Tun Mahathir Tahu Siapa Sebenarnya Anwar


Orang yang paling kecewa melihat Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad kembali ke pangkuan UMNO dan menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ialah Anwar Ibrahim.

Kerana bagi Anwar, beliau boleh menghadapi sesiapa sahaja didalam UMNO tetapi bukan Tun Mahathir. Ini kerana sebagai orang yang diangkat daripada bawah dan diletak hanya setangga lagi untuk menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tahu siapa Anwar yang sebenarnya!

Ketika berlaku kemelut politik antara Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Tun Mahathir orang yang banyak meraih keuntungan politik ialah Anwar. Perselisihan pendapat antara kedua negarawan ini digunakan oleh Anwar dan parti pembangkang untuk menyerang dan melemahkan UMNO. Hasilnya dalam PR12 lima negeri telah kecundang dan jatuh ke tangan pembangkang.

Tetapi hari ini UMNO dan BN bangkit. Tun Mahathir telah turun berkempen di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Apa yang menjadi kerisauan Anwar telah berlaku - Tun Mahathir telah turun padang berkempen dan menyatakan sokongan terbuka kepada kepimpinan Najib serta yakin UMNO mampu merampas kembali kerusi yang jatuh ke tangan pembangkang.

Anwar risau kerana ahli-ahli UMNO yang dulu menyokong Tun kini telah kembali bersatu. Anwar juga tahu rahsia Pakatan Pembangkang berjaya menawan lima negeri bukan kerana mereka kuat tetapi ada ahli-ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Abdullah telah menyokong parti pembangkang.

Peralihan kuasa Abdullah kepada Najib telah membuka buku baru dalam lanskap politik negara. Umpama Biduk lalu Kiambang bertaut. Ahli-ahli UMNO yang berjumlah lebih 3 juta orang telah kembali bersatu dan sudah bersedia untuk mengembalikan semula kegemilangan dan mengangkat semula martabat UMNO dan BN ke tempat yang asal.

Pilihanraya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai adalah penentu apakah tranformasi ini sudah bermula. Jika BN menang di semua tiga kawasan pilihanraya kecil ini, Anwar dan Pakatan Pembangkang bolehlah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13.