Tuesday, October 21, 2008

Cerpen `Politik Baru YB J' - Mengapa Teresa Yang Terasa?


Cerpen `Politik Baru YB J' yang mengisahkan pembunuhan seorang wakil rakyat wanita Cina seperti yang tersiar dalam Mingguan Malaysia 12 September lalu tidak ada kena mengena dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok seperti dakwaan DAP.

Menurut penulis cerpen ini, Datuk Chamil Wariya watak dalam cerpen itu hanyalah rekaan semata-mata dan tidak ada kaitan langsung dengan mereka yang hidup dan mati.


"Ia hendaklah dibaca dan dinikmati sebagai sebuah karya kreatif dan tidak lebih tidak kurang daripada itu".

"Dalam cerpen saya ini, pembunuhan politik per se seperti yang didakwa tidak berlaku walaupun wataknya mungkin dimatikan. Apa yang berlaku adalah sekadar simbolik.Karya sastera tidak patut hanya dibaca yang tersurat, tetapi tersirat".

"Yang dibunuh sebenarnya adalah idea-idea yang melampau dan tidak hanya terbatas dalam politik tetapi melampaui politiknya".

Komen:

Persoalannya sekarang ini mengapa YB Teresa Kok yang `terasa' sehingga DAP membuat laporan Polis mendakwa cerpen ini ditujukan kepada Ahli Parlimen Seputeh itu?

Dalam cerpen ini langsung tidak menyebut nama `YB Teresa' atau nama parti-parti politik di Malaysia termasuk DAP sehingga pemimpin parti itu melatah membuat laporan Polis mendakwa `cerpen ini menganjurkan keganasan dan bermain dengan api kerana memuatkan babak pembunuhan ahli politik'?.

Inilah akibatnya kalau kita terlalu berprasangka dan menjadikan politik sebagai alat untuk meraih kepentingan diri dan peribadi. Kita akan takut kepada bayang-bayang sendiri sehingga karya sebuah cerpen yang hanya rekaan semata-mata dianggap sebagai satu serangan peribadi.

Cerpen ini tidak ada kena mengena dengan Teresa atau pun parti DAP dan tidak ada sebab untuk mereka mengekploitasi isu ini kononnya sebagai sasaran untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat dan menimbulkan ketegangan kaum di negara ini.

Seperti kata penulis cerpen ini, Datuk Chamil Wariya watak-watak dalam cerpen ini adalah rekaan yang langsung tiada kaitan dengan mereka yang hidup dan mati. Ia hendaklah dibaca dan dinikmati sebagai sebuah karya kreatif dan tidak lebih tidak kurang daripada itu.

Teresa mungkin menganggap cerpen ini ditujukan kepadanya kerana sebelum ini pernah ditahan di bawah ISA kerana dikaitkan dengan lauangan azan dan tulisan jawi.

Apakah selepas ini jika ada mana-mana penerbit filem atau drama yang tidak ada apa-apa kepentingan politik secara kebetulan membuat filem atau drama seperti karya cerpen ini, Teresa dan pemimpin DAP yang lain juga akan membuat laporan Polis kepada mereka ini?

Inilah akibatnya jika menjadikan politik sebagai alat untuk kepentingan diri sentiasa bersangka buruk kepada orang sehingga apa yang dilakukan oleh orang lain kita anggap jahat dan mempunyai kepentingan politik.

Tuesday, October 14, 2008

Surat Terbuka Penyokong Pakatan Rakyat Kepada Anwar Ibrahim


PKR: Tiada Usul Tidak Percaya Pada PM

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang tidak berminat meneruskan rancangannya menukar Kerajaan Persekutuan melalui usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sekarang menumpukan fokus pada isu-isu ekonomi, termasuk Bajet 2009.

"Buat masa ini fokus kita ialah terhadap bajet," katanya yang juga ketua PKR kepada pemberita di lobi Parlimen.

SURAT TERBUKA PENYOKONG PAKATAN RAKYAT KEPADA ANWAR IBRAHIM SEBAGAIMANA YANG TERSIAR
DALAM BLOG KETUA PEMBANGKANG ITU.

Dato' Seri,

PERALIHAN KUASA

16 September - tidak jadi sebab PM Abdullah Badawi tidak mahu berjumpa Dato' Seri untuk melaksanakan peralihan kuasa yang teratur.

23 September - tidak jadi sebab PM Abdullah Badawi tidak mahu mengadakan sidang Parlimen untuk dibentangkan usul tidak percaya terhadap PM dan seterusnya peralihan kuasa yang teratur.

13 Oktober - akan bermula sidang Parlimen. Sudahkah Dato' Seri bersedia untuk membentangkan Usul Undi Tidak Percaya terhadap PM? Sudahkah notis bertulis dibuat supaya tiada lagi masalah teknikal bagi usul tersebut?

Sudah sedia manifesto Kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat dan senarai Barisan Kabinet Dato' Seri bagi peralihan kuasa yang dijanjikan? Penyokong Pakatan Rakyat menunggu tarikh Keramat 13 Oktober 2008 untuk menobatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ingatlah, reputasi Dato' Seri bergantung kepada janji-janji yang dibuat.

Sherry
Oct9th 2008 at 6.04 pm.

Tuesday, October 7, 2008

Sudah Tiba Masanya Kerajaan Haramkan Hindraf


Perbuatan mereka bukan sahaja sudah melampau malah sudah `mencucuk mata'. Sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku, banyak pihak berpendapat sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas mengharamkan Hindraf.

Perbuatan ratusan penyokong Hindu Right Action Force atau nama singkatannya Hindraf menyerbu Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet pada 1 Syawal lalu bukan sahaja melampau malah biadap kerana bukan sahaja tidak menghormati pemimpin negara malah tidak menghormati majlis keraian agama lain.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, daripada ratusan ahli kumpulan berkenaan, hanya ada seorang yang sudi mengucapkan `Selamat Hari Raya' kepada beliau manakala selebihnya memekik `Hapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri', `Lepaskan Hindraf', `Hapuskan ISA', `Lepaskan Hindraf'.

Ini bukan kali pertama penyokong Hindraf bertindak kurang ajar, malah sebelum ini mereka telah menghantar memorandum kepada kerajaan British membuat fitnah kononnya berlaku penghapusan etnik kaum India di negara ini.

Malah lebih kurang ajar mereka membuat demontrasi menentang kerajaan dan berarak di jalan menimbulkan kekacauan sehingga menyebabkan kerajaan mengambil tindakan tegas menahan lima pemimpin mereka di bawah ISA.

Ramai pihak berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas mengharamkan pertubuhan ini sebagaimana kerajaan lakukan dahulu kepada pertubuhan al-Arqam yang mengamalkan ajaran sesat.

Hindraf adalah sebuah pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan pendaftar pertubuhan. Kewujudan mereka ini adalah untuk menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat dan mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan, perjuangan Hindraf sama seperti perjuangan Komunis yang menghasut rakyat supaya menentang kerajaan dan mahu mencetuskan suasana tidak selamat di dalam negara.

Ramai pihak berpendapat kalau kerajaan boleh mengharamkan al-Arqam atas nama keselamatan negara mengapa kerajaan tidak boleh mengharamkan Hindraf juga atas nama keselamatan negara?

Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas mengunakan mandat yang diberikan rakyat negara ini dengan mengharamkan Hindraf sebelum orang Melayu bangkit `mengamuk' mengajar penyokong-penyokong Hindraf yang sudah `mencucuk mata' ini.

Tuesday, September 23, 2008

`Biadapnya Pemimpin DAP Yang Bernama Teresa Kok'


"Sarapan pagi (roti dengan krim), makan tengahari (nasi, telur goreng dan sup sayur), makan malam (nasi, daging ayam dan kuah). Menu ini lebih baik sedikit daripada makanan anjing?"

Begitulah betapa biadapnya pemimpin pembangkang DAP yang bernama Teresa Kok. Walau pun beliau menafikan pernah menyamakan makanan yang disediakan kepadanya ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti `makanan anjing', kenyataannya yang tersiar di TV3 telah diikuti oleh jutaan rakyat Malaysia yang menonton siaran berita pada malam itu.

Teresa boleh menyalahkan akhbar Utusan Malaysia kononnya telah memutar belit kenyataan beliau tetapi beliau tidak boleh menafikan yang bercakap di TV3 itu bukan dirinya.

Jutaan rakyat Malaysia mendengar Teresa menyebut dalam siaran berita di TV3, sepanjang ditahan beliau hanya diberikan telur rebus, roti dan sup sayur serta menyifatkan makanan tersebut `slightly better than dog food'.

Tetapi apabila kenyataan itu menjadi isu Teresa menceritakan menu yang sebenarnya kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah yang bertanggungjawab dalam Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri.

Memang begitulah perangai pemimpin pembangkang. Bila bercakap mereka berbohong, bila berjanji mereka tidak tepati dan apabila mereka berkata-kata mereka akan memfitnah dan menanam kebencian rakyat kepada kerajaan.

Survival politik mereka ialah apabila rakyat membenci kerajaan, rakyat akakn memilih pembangkang. Apabila menyedari tembelang pembohongannya telah pecah Teresa mencari `kambing hitam' untuk menutup perangai buruknya itu. Akhbar Utusan Malaysia dijadikan `kambing hitam'.

Pembohongan demi pembohongan adalah menu harian pemimpin pembangkang. Penasihat PKR Anwar Ibrahim berbohong kepada rakyat Malaysia kononnya 16 September adalah tarikh pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan tetapi sehingga hari ini memberi pelbagai alasan.

Akibat terlalu banyak berbohong Anwar hari ini sudah dipersenda dengan berbagai gurauan, kononnya `Anwar telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dihadapan potret Yang Di Pertuan Agung' dan `Anwar telah mendapat 30 kerusi daripada Courts Mammoth dan Ikea untuk menubuhkan kerajaan'.

Pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin DAP kali ini cukup menghiris hati rakyat Malaysia terutama rakyat miskin yang berada di luar bandar. Ada rakyat miskin di luar bandar empat hari tidak menjamah nasi kerana kemiskinan dan menunggu hari raya untuk menjamah daging dan ayam yang di sedekahkan di masjid-masjid.

Ada rakyat miskin di luar bandar berkongsi dua potong ikan dan sebiji telur untuk lima beradik bagi mengalas perut. Apakah Teresa tahu ada rakyat miskin di luar bandar berkongsi `kulit roti' bagi sarapan pagi.

Pemimpin DAP yang bernama Teresa Kok ini tidak tahu kemiskinan di luar bandar kerana beliau tinggal di bandar besar. Mana dia tahu makanan orang miskin di luar bandar.

Baginya, sarapan (roti dan krim), makan tengahari (nasi, telur goreng dan sup sayur) manakala makan malam (nasi, daging ayam dan kuah) lebih baik sedikit daripada makanan anjing `slightly better than dog food'.

Thursday, September 18, 2008

Satukan Umat Islam: UMNO Dengan PAS Perlu Bersatu



KEGAGALAN MEMBENTUK KERAJAAN 16 SEPTEMBER

`Macam Wanita Bersalin Songsang' - Husam Musa



PASIR PUTEH - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa menyifatkan usaha pembentukan kerajaan baru pakatan pembangkang yang gagal dilaksanakan seumpama wanita mahu bersalin tetapi menghadapi masalah kandungan songsang.

Menurut beliau, kerajaan baru itu tetap akan dibentuk tidak lama lagi dan pakatan pembangkang sedang berusaha untuk memastikan ia berlaku.

"Situasinya adalah seperti wanita akan bersalin tetapi susah kerana kandungannya songsang tetapi akan tetap bersalin, yang penting bagi doktor memastikan keselamatan bakal anak dan ibunya terjamin.

"Peringkat sekarang, kita tengah letak minyak selusuh di atas perut ibu supaya cepat dan mudah bersalin dengan penuh selamat," katanya.

Mengulas dakwaan pembentukan kerajaan baru tetapi tidak menjadi kenyataan, Husam berkata, ia tetap akan berlaku dengan segala persiapan asas dan teknikal telah lengkap termasuk sasaran menarik Ahli Parlimen menyertai pakatan pembangkang cuma menanti masa yang sesuai.

Sumber Utusan Malaysia.

Komen:

Apakah maksud tersirat di sebalik kenyataan Husam ini? Apakah Husam mahu memberitahu kegagalan pakatan pembangkang membentuk kerajaan pada 16 September akibat daripada `hubungan songsang' pemimpin tertentu sehingga sukar untuk membentuk kerajaan dan jika pakatan pembangkang mahu merealisasikan impian ini pemimpin tersebut perlu disingkirkan?

Apakah Husam juga mahu memberitahu pemimpin yang bersih daripada skandal hubungan songsang seperti Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat atau Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sahaja yang layak untuk memimpin pakatan pembangkang memerintah negara ini?

Apa pun maksud tersirat Husam hakikatnya pakatan pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim telah gagal membentuk kerajaan pada 16 September seumpama `wanita yang bersalin songsang susah untuk melahirkan anak'.

Untuk menjadi pemimpin nombor satu negara, kebolehan bercakap dan berpidato sahaja tidak mengcukupi kerana seseorang pemimpin itu perlu mempunyai akhlak dan moral yang tinggi.

Memerintah dengan cara menyogok bukan sahaja tidak beretika malah bertentangan dengan agama Islam.

Husam tentu sedar Pas kini sudah terbahagi kepada dua puak. Satu puak yang pro kepada Anwar manakala satu puak lagi mahu Anwar disingkirkan. Ahli-ahli Pas diakar umbi tidak senang Pas menjalinkan hubungan songsang dengan DAP kerana DAP terang-terangan menentang penubuhan negara Islam.

Ahli-ahli Pas tidak senang apabila pemimpin mereka meletakkan syarat apabila mahu bermuzakarah dengan pemimpin UMNO sesama Islam mengenai masa depan umat Islam di negara ini tetapi tidak ada syarat apabila mahu bekerjasama dengan DAP.

Puak yang mahu Anwar disingkirkan kecewa kerana mana mungkin Pas dan DAP dapat bekerjasama membentuk kerajaan bersama PKR kerana perbezaan ideologi mereka ibarat langit dengan bumi. Ahli-ahli Pas sehingga hari ini tidak dapat melupakan kenyataan Karpal Singh `langkah mayat beliau dahulu jika Pas mahu menubuhkan negara Islam'.

Hari ini ketuanan Melayu telah dicabar, hak keistimewaan Melayu dipertikai, hak sama rata semua kaum, forum terbuka membicarakan agama Islam, Bahasa Malaysia bukan lagi bahasa rasmi dan selepas ini apa lagi.

Kesimpulannya, demi menyelamatkan masa depan umat Islam di negara ini sudah tiba masanya Pas perlu bergabung dengan UMNO menjadi parti Melayu yang terkuat di negara ini. Tinggalkan DAP dan singkirkan pemimpin yang ada rekod `hubungan songsang'.

Monday, September 15, 2008

Tubuh Kerajaan 16 September : Berakhirnya Satu Pembohongan

Datuk Seri Anwar ketawa mungkin geli hati kerana masih ada yang percaya beliau akan menjadi Perdana Menteri pada 16 September ini. Bersamanya Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Esok 16 September 2008 adalah hari Angkatan Tentera dan esok juga genap 45 tahun hari pembentukan Malaysia. Walau apa pun perkembangan politik negara, esok tidak akan mengubah kedua-dua peristiwa yang bersejarah ini.

Namun begitu, bagi pendokong dan penyokong pembangkang terutama dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mereka masih lagi mengharap tarikh 16 September 2008 akan menjadi tarikh yang bersejarah di mana idola mereka Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat menubuhkan kerajaan dan seterusnya dilantik sebagai Perdana Menteri yang ke 6.

Penyokong dan pendokong pembangkang tidak salah kerana menaruh harapan yang tinggi Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri. Ini kerana selama 6 bulan (selepas PRU 12) mereka diperdaya dan digula-gulakan oleh idola mereka kononnya pada 16 September pakatan pembangkang yang diterajui PKR, PAS dan DAP akan menawan Putrajaya.

Kini tarikh 16 September tinggal tidak sampai 24 jam. Anwar masih mempunyai masa untuk mengotakan janji-janjinya bukan sahaja kepada pengikut setianya malah kepada rakyat Malaysia yang juga mahu diperbodohkannya.

Jika dilihat kepada spekulasi dan sms yang disebarkan sebelum ini tiada satu pun yang menjadi kenyataan. Kononnya pada 5 September semua parti BN dari Sabah dan Sarawak akan mengistiharkan keluar BN.

Kemudian pada 6 September, semua komponen BN di Semenanjung kecuali MCA dan MIC mengistiharkan keluar daripada gabungan itu.

Selepas itu, pada 7 September 10 Ahli Parlimen BN mengumumkan untuk berpindah ke Pakatan Rakyat. 8 September, lima menteri kabinet BN akan meletakkan jawatan dan menyertai Pakatan Rakyat manakala 9 September sidang tergempar Parlimen dipanggil dan pada 10 September Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan meletakkan jawatan.

Pada 12 September Anwar akan mengumumkan pembentukan kerajaan sementara dan pada 16 September Anwar akan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri.

Dalam sidang media yang diadakan di ibu pejabat PKR kelmarin, Anwar memberi alasan kononnya beberapa perkembangan terbaru dalam politik negara menyebabkan Pakatan Rakyat terpaksa menangguhkan rancangan untuk membentuk kerajaan pada 16 September.

Hakikatnya, walau pun Penasihat DAP Lim Kit Siang dan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang hadir dalam sidang media tersebut tetapi kedua-dua pemimpin ini juga tidak senang dengan cara Anwar mahu menubuhkan kerajaan melalui `pintu belakang'.

Lim Kit Siang dalam kenyataannya sebelum ini dengan tegas berkata, parti itu akan menolak sebarang kemasukan Ahli Parlimen dari BN ke dalam Pakatan Rakyat semata-mata kerana wang dan kuasa.

Manakala Hadi awal-awal lagi tidak yakin sasaran komplot Anwar itu akan tercapai dan tidak senang dengan cara Anwar yang melobi Ahli Parlimen BN sehingga ke Taiwan.

Walau apa pun alasan Anwar selepas ini kepercayaan penyokong pembangkang kepadanya sudah mula terhakis dan bagi majoriti rakyat Malaysia komplot Anwar yang mahu menubuhkan kerajaan melalui `pintu belakang' pada 16 September sebagai berakhirnya satu pembohongan.

Monday, September 8, 2008

`Pemimpin Besar' Sibuk Mahu Tawan Putrajaya - `Melawat Mangsa Ribut MB Selangor Anggap Buang Masa'

`MB AKAN TERIMA KESAN 5 TAHUN LAGI'

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam marah dan kecewa dengan kenyataan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menganggap lawatan untuk meninjau keadaan mangsa ribut di beberapa kampung di Klang dan Kapar sebagai membuang masa dan membazirkan wang.

Ahli Parlimen PKR itu memberi amaran bahawa Abdul Khalid bakal menerima kesan pada pilihanraya umum lima tahun akan datang ekoran kenyataannya yang menyinggung hati ramai penduduk kampung terlibat.

"Saya puji tindakan pantas UMNO apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib turun dengan cepat melawat mangsa bencana alam ini dan menghulurkan bantuan.

"Mana pemimpin negeri? Sebagai Ahli Parlimen Kapar, saya sungguh kecewa apabila tidak ada yang tunjuk muka. Saya tidak takut jika pucuk pimpinan parti mahu mengambil tindakan terhadap saya kerana saya berpendirian tegas dalam hal ini.

"Saya banyak terima aduan, ramai yang pelik dan tidak suka dengan kenyataan Menteri Besar, kenapa dia cakap macam itu," katanya.

Semalam, Abdul Khalid mempertahankan tindakannya tidak turun padang untuk meninjau keadaan mangsa ribut di beberapa kampung di Klang dan Kapar dengan menganggap perbuatan tersebut sebagai membuang masa dan membazir wang.

Menurut Menteri Besar itu, walaupun pakatan pembangkang sering melaung-laungkan konsep negara berkebajikan, tetapi ia tidak bermakna beliau perlu menunjukkan muka kepada rakyat ketika mereka berdepan kesusahan seperti bencana alam.

Dalam kejadian pukul 3 petang pada 1 September lalu, lebih 1,000 keluarga dari beberapa kampung seperti Kampung Sungai Udang serta Kampung Sungai Bertek di Teluk Pulai dan Kampung Rantau Panjang di Kapar menjadi mangsa ribut.

Komen:

Mungkin masalah yang dihadapi oleh lebih 1,000 keluarga mangsa ribut di Kapar dan Klang ini adalah kecil kepada pemimpin PKR kerana mereka ada agenda yang lebih besar iaitu mahu menawan Putrajaya pada 16 September ini.

Seperti kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim walaupun pakatan pembangkang sering melaung-laungkan konsep negara kebajikan tetapi tidak bermakna beliau perlu menunjukkan muka kepada rakyat ketika mereka berdepan kesusahan seperti bencana alam.


Apalah sangat dengan kesusahan dan keperitan yang ditanggung oleh penduduk dari Kampung Sungai Udang dan Kampung Sungai Bertek di Teluk Pulau, Klang serta Kampung Rantau Panjang di Kapar jika hendak dibandingkan pada 16 September ini `pemimpin besar' pakatan pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri!

Mungkin kepada Khalid, kemarahan lebih 1,000 penduduk di Kapar dan Klang ini tidak akan ke mana kerana penduduk di kawasan ini telah memberi kemenangan besar kepada PKR dalam pilihanraya umum lalu dan mustahil penduduk akan berubah sikap dalam pilihanraya umum akan datang?

Jika MB Selangor ini masih lagi tidur lena diulit mimpi kemenangan yang lalu, beliau sewajarnya bangun merenung amaran Ahli Parlimen PKR kawasan Kapar, `MB akan terima kesan 5 tahun lagi'.

Bagi S.Manikavasagam, beliau sudah dapat melihat `tsunami politik' dalam pilihanraya umum akan datang jika MB Selangor terus bersikap begini menimbulkan kemarahan dan menyinggung hati ramai penduduk kampung.

"Saya puji tindakan pantas UMNO apabila Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib turun dengan cepat melawat mangsa bencana alam ini dan menghulurkan bantuan," katanya.

Kita faham mengapa Ahli Parlimen PKR kawasan Kapar ini terpaksa memuji pemimpin UMNO kerana beliau terlalu kecewa tidak ada pemimpin negeri seperti Khalid yang menjenguk muka melawat mangsa ribut di kawasannya.

Namun begitu Ahli Parlimen PKR ini perlu faham, sebelum menceburi bidang politik Khalid adalah tokoh korporat yang berjaya di bawah kerajaan Barisan Nasional tetapi disebabkan kecewa kepentingan peribadinya tidak dipenuhi beliau menceburi politik dengan menyertai PKR.


Sebagai orang korporat, Khalid tidak biasa melayan mangsa-mangsa ribut yang dalam kesusahan kerana tempatnya adalah di pejabat Menteri Besar di kerusi empuk tingkat 21 Bangunan Sultan Salahuddin.

Sementara bagi `pemimpin besar PKR' Anwar Ibrahim kesusahan rakyat hanyalah retorik kerana agenda yang lebih besar beliau ialah menghitung hari untuk menjadi Perdana Menteri pada 16 September ini.