Thursday, January 8, 2009

`Kerja Sial' Sesiapa Yang Hendak Melaga-lagakan DAP dan PAS - Anwar


"Langkah mayat saya dahulu jika Pas mahu melaksanakan hukum hudud" kata Pengerusi DAP Karpal Singh mengulas rancangan Pas yang mahu melaksanakan hudud jika pakatan pembangkang memerintah negara ini.

"Pas akan tetap melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan" kata Husam Musa dalam satu forum di hadapan 3,000 penyokong Pas di Kota Bharu baru-baru ini.

Kenyataan kedua-dua pemimpin pembangkang ini tidak diputar belit oleh media atau mana-mana pihak malah kedua-dua pemimpin pembangkang ini tetap dengan pendirian masing-masing.

Jadi siapa yang hendak melaga-lagakan Pas dan DAP seperti yang didakwa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai membuat `kerja sial' ketika berceramah di Kampung Tanjung tepi muara Kuala Terengganu semalam.

Siapa yang sebenarnya buat `kerja sial' apabila di sebelah siang berceramah di hadapan orang Cina dan India mahu menghapuskan hak keistimewaan Melayu tetapi apabila malam berceramah di hadapan orang Melayu mencerca orang Cina dan India sebagai kaum yang diberi `betis hendakkan peha'?

Rakyat masih ingat semasa di dalam UMNO, Anwar paling lantang mengkritik Pas kerana mahu melaksanakan undang-undang Islam jika memerintah negara malah menyelar pemimpin Pas seperti Hadi Awang dan Nik Aziz sebagai memperalatkan agama untuk kepentingan diri dan peribadi.

Rakyat juga masih ingat semasa di dalam UMNO, Anwarlah yang menjadi hero membelasah pemimpin DAP seperti Karpal Singh dan Lim Kit Siang tetapi apabila membentuk pakatan pembangkang, tiba-tiba Anwar menjadi hero kesayangan Pas dan DAP.

Pas boleh mengenepikan matlamat mahu menubuhkan negara Islam kerana DAP tidak bersetuju. Itulah politik. Hari ini musuh tetapi esok menjadi kawan. Siapa sangka Pas boleh bersekongkol dengan DAP yang terang-terang menolak Islam tetapi hari ini bendera Pas dan DAP boleh digantung dan berkibar bersama di Kuala Terengganu.




Monday, January 5, 2009

Calon PAS Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu: Hadi Tolak Calon Pilihan Nik Aziz


Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mempunyai sebab untuk terasa hati dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang - calon pilihannya Mohamad Sabu tidak dipilih sebagai calon Pas dalam Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu.

Tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang membuat pengumuman awal telah sebulat suara memilih Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon.

Pemerhati politik melihat kalau dalam soal memilih calon pemimpin Pas tidak sependapat, bagaimana mereka mahu menyakinkan pengundi Kuala Terengganu bahawa pemilihan Abdul Wahid Endut sebagai calon Pas adalah pilihan yang tepat?

Pas telah berpecah kepada dua puak dalam menentukan siapakah calon parti itu yang akan bertanding menentang BN pada 17 Januari ini. Golongan ulama (lama dan tua) yang diketuai oleh Nik Aziz mahu Mat Sabu dicalonkan manakala golongan muda dan ahli korporat atau lebih dikenali sebagai kumpulan Erdogan yang didokong oleh Timbalan Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa mahu Dr. Syed Azman dipilih sebagai calon.

Namun begitu, Presiden Pas memilih `jalan tengah' dengan memilih ADUN Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut sebagai calon yang sekaligus telah mengenepikan Nik Aziz dan sebagai pemimpin tertinggi Pas beliau langsung tidak diajak berbincang dalam membuat keputusan yang penting ini.

Berbanding dengan Hadi yang gagal menawan Terengganu dalam PRU12, Nik Aziz adalah pemimpin yang sangat dihormati di dalam Pas. Sebagai pemimpin bertaraf ulama, kejayaannya mengekalkan pemerintahan Pas di Kelantan sehingga hari ini diiktiraf bukan sahaja oleh pemimpin parti itu malah ahli-ahli Pas di seluruh negara.

Justeru itu pemerhati politik melihat, tindakan Hadi mengenepikan Nik Aziz yang langsung tidak dibawa berbincang dalam soal memilih calon sangat tidak kena dan mengecewakan ahli-ahli Pas di seluruh negara.

Bagi rakyat dan pengundi di Kuala Terengganu, kalau dalam soal memilih calon Pas tidak sebulat suara dan berpuak-puak, bagaimana calon itu boleh diharapkan untuk memperjuangkan nasib mereka nanti.

Sudah tentu pengundi di Kuala Terengganu hendakkan calon yang mendapat sokongan kuat daripada partinya dan calon BN Wan Ahmad Farid adalah dari parti pemerintah yang sudah terbukti kepimpinannya di Kuala Terengganu.

Wednesday, December 17, 2008

Rasuah - Anwar `Cakap Tidak Serupa Bikin'

" Rakyat bertanya apa tindakan Parti Pakatan Rakyat kepada pemimpin mereka yang didakwa atas kes rasuah dan sogokan seks yang kini sedang dibicarakan di mahkamah? "


PETIKAN UCAPAN DATUK SERI ANWAR IBRAHIM KETIKA MEMBAHASKAN RANG UNDANG-UNDANG SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) DI PARLIMEN.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang Di Pertua kerana memberi kesempatan untuk bersama-sama membahaskan rang undang-undang yang berhasrat untuk menubuhkan sebuah Suruhanjaya Anti Rasuah.

Tuan Yang Di Pertua:

1. Rasuah merupakan jenayah yang paling merbahaya kepada masyarakat dan negara ini. Ianya umpama wabak yang menghancur luluhkan negara dan harapan rakyat keseluruhannya.

2. Rasulullah s.a.w. bersabda: `Ia'anallahur rasyi walmurtasyi warraisy'.

"Allah melaknat yang menerima rasuah, yang memberi rasuah dan yang menjadi perantara rasuah".

Komen:

Memang benar kata Anwar Rasuah umpama wabak yang menghancur luluhkan negara dan harapan rakyat keseluruhannya tetapi apakah pemimpin Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR, PAS dan DAP benar-benar ikhlas mahu memerangi rasuah?

Rakyat bertanya, jika benar mereka memandang jijik kepada Rasuah mengapa tidak ada tindakan diambil kepada tiga pemimpin parti itu di Perak yang didakwa atas tuduhan rasuah dan sogokan seks yang kes mereka kini sedang dibicarakan di mahkamah?

Rakyat juga bertanya jika pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) baik di peringkat negeri atau persekutuan yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah perlu meletakkan jawatan dengan serta merta mengapa pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat yang melaung-laungkan mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih tidak sanggup berbuat demikian?

Apakah wujud `double standard' dalam Rasuah? Jika pemimpin pembangkang terlibat dalam rasuah hukumnya menjadi `halal' sedangkan Rasullulah telah bersabda - "Allah melaknat yang menerima rasuah, yang memberi rasuah dan yang menjadi perantara rasuah".

Menjadi harapan keseluruhan rakyat jika benar Anwar dan pemimpin Pakatan Rakyat yang lain seperti Hadi Awang dan Lim Kit Siang benar-benar ikhlas mahu memerangi Rasuah mereka perlu mengambil tindakan segera - 2 Exco Kerajaan Perak yang didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah perlu meletakkan jawatan dengan segera.

Kalau itu pun tidak dapat dilakukan - Anwar, Hadi dan Kit Siang perlu berhenti segera bercakap pasal Rasuah.

Thursday, December 4, 2008

Mengapa Negara Memerlukan ISA?


SYUKUR Alhamdullilah sehingga hari ini Malaysia bebas daripada serangan bom oleh penganas dan rakyat dapat hidup aman damai tanpa perlu rasa takut untuk berada di mana-mana sahaja.

Insiden pengeboman di Mumbai minggu lepas yang bukan sahaja mengorbankan rakyat India malah ramai rakyat asing mengingatkan kita kepada pengeboman di Bali dan Jakarta yang dilakukan oleh anggota Jemaah Islamiah (JI) yang mahu mewujudkan pemerintahan Islam di rantau Nusantara termasuk Malaysia, Brunei, Filipina dan Singapura.

Siapa yang tidak kenal dengan Azahari Husin dan Noordin Mohamad Top dua orang rakyat Malaysia yang menjadi dalang dalam insiden pengeboman di Bali.

Persoalannya, mengapa insiden pengeboman tidak berlaku di Malaysia sedangkan dalang yang terlibat dalam pengeboman di Bali dan Jakarta adalah rakyat negara ini? Jawapannya kerana Malaysia mempunyai AKTA KESELAMATAN DALAM NEGERI atau lebih dikenali sebagai ISA.

ISA adalah undang-undang pencegahan yang bertindak pantas untuk menghalang mana-mana pihak yang mahu mencetuskan keganasan atau huru hara tanpa memerlukan perbicaraan.

Undang-undang ISA membolehkan pihak berkuasa menahan mereka yang disyaki daripada kumpulan penganas atau pihak-pihak yang mahu mencetuskan hura hara dalam negara ditahan selama 60 hari tanpa bicara.

Mereka yang disyaki ini tidak boleh ditahan mengikut undang-undang biasa kerana proses perbicaraan akan mengambil masa yang lama dan ada kemungkinan keamanan tidak dapat dikawal jika ahli kumpulan anasir ini dibiar berleluasa.

Indonesia tidak seperti Malaysia atau Singapura yang mempunyai undang-undang tanpa bicara. Sebab itu insiden pengeboman kerap berlaku di Indonesia kerana negara itu tidak mempunyai undang-undang tanpa perbicaraan.

Jika tidak kerana ISA pengeboman juga akan turut berlaku di Malaysia kerana pakar-pakar JI dalam membuat bom yang didalangi oleh Azahari dan Nordin adalah rakyat negara ini.

Mengikut statistik PDRM, sebilangan besar yangmasih ditahan di bawah ISA adalah anggota JI yang berjaya ditahan sebelum sempat mereka melaksanakan operasi keganasan yang mereka rancang.

Malangnya, bukan sahaja parti pembangkang malah ada juga parti komponen dalam kerajaan Barisan Nasional hari ini mahu supaya ISA dihapus atau dimansuhkan.

Kononnya, ISA adalah kejam dan telah disalahguna oleh pihak kerajaan untuk menangkap pemimpin pembangkang yang menentang kerajaan. Hakikatnya, bilangan mereka yang ditahan dibawah ISA sekarang ini tidak sampai 100 orang.

Dengan mengambil kira rakyat Malaysia yang berjumlah 27 juta orang maka statistiknya mereka yang ditahan di bawah ISA termasuk pemimpin pembangkang tidak ubah seperti `setitik air dalam kolam yang besar'.

Malah jika diteliti senarai tahanan ISA seperti yang diterbitkan oleh Aliran (sebuah badan NGO), seramai 22 daripada 63 tahanan ISA di Kamunting sekarang adalah warga asing.

Selain daripada membenteras ancaman penganas Parti Komunis Malaya (PKM), ISA digunakan untuk menahan anasir-anasir militan agama termasuk JI, Kumpulan Militan Malaysia (KMM), Al-Arqam dan mencegah pergaduhan kaum seperti peristiwa 13 Mei 1969, Operasi Lalang dan insiden Kampung Medan pada tahun 2001.

Jadi dakwaan kononnya kerajaan menyalahgunakan ISA adalah dusta dan tidak benar sama sekali kerana boleh dikira dengan jari hanya beberapa kerat pemimpin pembangkang ditahan di bawah akta ini.

Monday, November 17, 2008

Benarkah Pakatan Rakyat Pertahan Islam dan Hak Keistimewaan Melayu?

Anwar: Pakatan Pertahan Islam dan Hak Istimewa Melayu

SHAH ALAM: Ketiga-tiga parti anggota Pakatan Rakyat menerima kedudukan hak istimewa Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama persekutuan sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurut beliau, isu berhubung perkara itu tidak perlu dirisaukan lagi kerana persefahaman mengenainya telah dibuat antara ketiga-ketiga parti anggota Pakatan - PKR, DAP dan PAS.

Malah, tegas Anwar lagi, kenyataan bahawa kesemua pihak telah bersetuju mengenai perkara itu telah dikeluarkan pada 8 September lalu.

Kenyataan tersebut antara lain menegaskan bahawa Pakatan sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan menjaminkan kebebasan mengamalkan agama lain, kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan kedaulatan dan institusi Raja-raja Melayu serta kedudukan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan prinsip-prinsip perlembagaan tersebut, Pakatan menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit.

Oleh itu, tegas Anwar, tidak timbul lagi sebarang salah faham mengenai isu yang membabitkan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam.

Anwar menegaskan demikian dalam ucapannya di majlis perjumpaan khas dengan guru KAFA di Shah Alam Selangor hari ini. Hadir sama ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Komen:

Persoalannya benarkah Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR, DAP dan PAS mempertahankan Islam dan hak keistimewaan Melayu sebagaimana yang didakwa oleh Anwar?

1). Siapa yang membangkitkan soal laungan azan dan tulisan jawi sehingga membangkitkan kemarahan orang Melayu - Teresa Kok (DAP).

2). Siapa yang membuat kenyataan langkah mayatnya dahulu jika mahu menubuh dan menegakkan undang-undang Islam di negara ini - Karpal Singh (DAP).

3). Siapa yang mahu menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) jika Pakatan Rakyat berkuasa - Anwar Ibrahim (PKR).

4). Siapa yang berjanji hak yang sama rata kepada semua kaum jika Pakatan Rakyat berkuasa - Lim Kit Siang (DAP).

5). Siapa yang berjanji untuk menghapuskan hak keistimewaan Melayu ketika berkempen di hadapan orang Cina dan India jika Pakatan Rakyat berkuasa - Anwar Ibrahim (PKR).

6). Siapa yang mempertikai teks ucapan Yang DiPertuan Agong dan kuasa Sultan Perak - Karpal Singh (DAP).

7). Siapa yang mencadangkan supaya UITM dibuka kepada bukan Melayu dan bangsa asing - Khalid Ibrahim (PKR).

8). Siapa yang mencadangkan supaya bahasa lain juga dijadikan bahasa rasmi negara - Teresa Kok (DAP).

Anwar dan pemimpin Pakatan Rakyat perlu menjawab semua persoalan di atas jika benar dakwaan beliau Pakatan Rakyat mempertahankan Islam dan hak keistimewaan Melayu di negara ini.

Tuesday, November 11, 2008

Perdana Menteri Bukan Melayu - Apa Kata Anwar & Hadi Awang?

Kemenangan calon Demokrat Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 bukan hanya disambut di negara `Uncle Sam' kerana mencatat sejarah tersendiri tetapi turut menjadi bahan politik di negara ini.

Kemenangan Obama rakyat kulit hitam pertama daripada kumpulan minoriti di Amerika Syarikat telah mencetuskan analisa politik di kalangan pihak tertentu di negara ini sehingga ada suara pemimpin bukan Melayu yang mahukan bukan Melayu diberi peluang menjadi Perdana Menteri di negara ini.

Mereka ini berpendapat Amerika Syarikat telah menunjukkan kepada dunia bahawa kaum minoriti mempunyai peluang bersaing dengan kumpulan majoriti malah telah mengatasi halangan besar bagi memenangi jawatan tertinggi negara itu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menganggap kejayaan Obama seorang kulit hitam sebagai Presiden Amerika Syarikat seharusnya mengubah sikap kalangan pemimpin UMNO agar menerima hakikat Perlembagaan membenarkan orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri negara ini.

"UMNO telah menafikan peruntukan Perlembagaan yang membenarkan sesiapa sahaja warganegara Malaysia untuk menjadi Perdana Menteri," katanya ketika mengulas isu ini.

Persoalannya, apakah Pas yang diterajui oleh Hadi Awang dan PKR oleh Anwar Ibrahim boleh menerima Kit Siang sebagai Perdana Menteri?

Bolehkah Pas yang kononnya memperjuangkan Islam sebagai addin bersekongkol menerima bukan Islam sebagai Perdana Menteri?

Sebelum ini Hadi Awang telah membuat kenyataan akan menerima sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri asalkan pemimpin itu adalah Melayu dan beragama Islam.

Begitu juga dengan Anwar, apakah nanti beliau boleh menerima Penasihat DAP itu sebagai Perdana Menteri walhal beliau telah `berkorban' sejak sekian lama masuk penjara semata-mata mengidam jawatan tertinggi dalam kerajaan itu?

Hakikatnya seperti yang diakui oleh Kit Siang, UMNO yang menjadi tunggak kekuatan orang Melayu di negara ini adalah penghalang kepada cita-cita bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri.

Sebagai parti politik terbesar orang Melayu, UMNO dilihat sebagai benteng terakhir orang Melayu untuk mempertahan dan mengangkat martabat Islam di negara ini daripada diperkotak katik oleh pihak-pihak tertentu yang mula mempertikai hak dan keistimewaan Melayu di negara ini.

Apalah yang diharapkan kepada PKR baru sahaja berkuasa hak dan kepentingan Melayu hendak diperdagangkan demi survival politik manakala Pas kononnya memperjuangkan Islam sebagai addin tetapi bersekongkol dengan DAP yang terang terang menolak perjuangan Islam.

Selagi ada UMNO yang menjadi tunggak dan mewakili orang Melayu terbesar di negara ini jangan harap kaum minoriti mengidam jawatan Perdana Menteri.

Monday, November 3, 2008

Perlantikan Pemangku Pengurus Besar PKNS: Hinanya Orang Melayu Di Mata Khalid Ibrahim!


PKR AKAN JELASKAN KEPADA HADI

KUALA SELANGOR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor akan memberi penjelasan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu pelantikan Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penjelasan itu akan diberi dalam perjumpaan kepimpinan pakatan pembangkang yang diadakan dua minggu sekali.

Menurut beliau, penjelasan memang selalu diadakan di kalangan pemimpin pakatan pembangkang dan ia bukan satu perkara yang luar biasa.

"Dalam perjumpaan itu nanti, kita terangkan beberapa usaha yang kita akan lakukan. Saya rasa Utusan Malaysia bertujuan untuk membelah-belahkan ahli-ahli dalam pakatan.

"Perkara ini (isu perlantikan bumiputera) tidak timbul kerana pemilihan kepimpinan dalam Islam memberi tumpuan terhadap kebolehan dan keupayaan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi yang tidak bersetuju dengan perlantikan itu dengan alasan sebagai sebuah negeri yang majoriti penduduknya Melayu beragama Islam, sistem pentadbiran sepatutnya diterajui kaum tersebut.

Komen:

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak sepatutnya menyalahkan Utusan Malaysia kerana menyiarkan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Utusan Malaysia hanya menyiarkan kenyataan Abdul Hadi yang terang-terang tidak bersetuju dengan perlantikan ini dengan alasan sebagai sebuah negeri yang majoriti penduduknya Melayu dan beragama Islam sudah tentu sistem pentadbirannya sepatutnya juga ditadbir dan diterajui oleh orang Melayu yang beragama Islam.

Walau apa pun alasan Khalid, Presiden Pas itu juga mempunyai alasan yang tersendiri kerana selama hampir 40 tahun PKNS diterajui oleh orang Melayu tetapi mengapa kini sejak pakatan pembangkang menang di Selangor, `hak orang Melayu' ini hendak di ubah.

Perlantikan Siew Moi telah menguris hati orang Melayu di Selangor. Kenyataan Khalid bahawa sudah tiba masanya masyarakat Melayu bukan hanya pilih yang terbaik untuk mereka sebaliknya memastikan pilihan itu boleh memberikan hasil yang terbaik telah menghina orang-orang Melayu di Selangor.

"Dalam pengurusan sesuatu organisasi, jika seseorang itu tidak boleh mengurus dan mencapai tahap yang dikehendaki, lebih baik individu terbabit tidak diambil bekerja.

"Tanggungjawab kita adalah untuk memilih orang yang boleh kerja. Lupakan isu emosi," katanya.

Apakah Khalid bermaksud orang Melayu di Selangor tidak layak untuk menduduki jawatan tersebut kerana mereka tidak boleh `kerja' dan hanya mereka seperti Siew Moi yang lebih layak kerana pandai buat kerja?

Apakah begitu hina sekali orang Melayu di mata Khalid sehingga tidak ada seorang pun yang layak untuk menduduki jawatan tersebut sehingga mereka yang tidak `layak' telah dilantik untuk memangku jawatan pemangku Pengurus Besar PKNS?

Inilah hadiah Pakatan Pembangkang yang diterajui oleh PKR, DAP dan Pas kepada orang Melayu yang memberi kemenangan besar kepada mereka di Selangor.

Berbanding dengan Pas, Khalid lebih menjaga hati `rakan kongsi yang terbesar' iaitu DAP kerana menyumbang 25 kerusi dalam kerajaan negeri Selangor berbanding Pas yang hanya ada 8 kerusi.

Pas tidak lebih hanya sekadar `melukut di tepi gantang' dalam kerajaan negeri Selangor berbanding dengan DAP yang banyak membuat keputusan di belakang tabir dalam kerajaan negeri Selangor termasuk dalam perlantikan Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS.