Friday, February 13, 2009

Minta Ampun Kepada Sultan Perak


Syukur kerana bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin membuat keputusan yang tepat dan waras mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar dan menyerah kembali 11 kereta rasmi (secara berperingkat) kepada kerajaan negeri.

Selepas bermuhasabah diri mungkin bekas Menteri Besar Perak ini telah diberikan petunjuk, inilah keputusan yang terbaik demi masa depan rakyat di negeri Perak. Sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan agama, Nizar kena menerima inilah ketentuan Allah dan menerima qada dan qadar.

Nizar juga membuat keputusan bijak membelakangkan arahan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya jangan meninggalkan kediaman Menteri Besar. Anwar hanya tahu membuat kacau dan menimbulkan keadaan huru hara tetapi yang mendapat nama buruk adalah Nizar.

Seperti kata Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria selain mentaati perintah Allah, mentaati pemerintah iaitu Sultan hukumnya wajib. Nizar perlu minta Ampun kepada Sultan Azlan Shah kerana keterlanjurannya.

Hati rakyat Perak terluka kerana belum pernah berlaku dalam sejarah kesultanan di negeri Perak rakyat sanggup menghina dan mencerca Sultan di Istananya sendiri.

Wednesday, February 11, 2009

Jangan Beri Alasan Ditawar RM5 juta, Diugut & Kereta Disimbah Cat


Seminggu selepas penduduk menyerah memorandum kepada Tuanku Sultan Kedah mengadu perangai buruk ADUN mereka yang tidak bermoral bersekedudukan sehingga melahirkan seorang anak luar nikah, ADUN Bukit Selambau V. Arumugam meletakkan jawatan Exco dan ADUN.

Pada mulanya Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak mahu `coverline' tetapi `bangkai gajah mana boleh ditutup dengan daun pisang'. Maka seperti biasalah BN dijadikan `kambing hitam' kononnya membuat ugutan, mahu membeli Arumugam sebanyak RM5 juta dan paling mengelikan hati kereta bekas ADUN Bukit Selambau ini disimbah cat.

Tetapi pengundi di Bukit Selambau tahu mengapa Arumugam meletakkan jawatan secara tiba-tiba. Bukan kerana wang 5 Juta, bukan kerana diugut dan bukan kerana kereta disimbah cat tetapi kerana memorandum yang dihantar oleh mereka yang menimbulkan kemurkaan Tuanku Sultan.

Ustaz Azizan tidak perlulah mencipta alasan untuk menutup pekung kerajaan pimpinannya. Kalau buruk katakan buruk. Sebagai pemimpin Pas yang memperjuangkan Islam sebagai addin tak baik Ustaz Azizan berbohong dan menjadikan pihak lain sebagai `kambing hitam' untuk menutup kelemahan pentadbirannya.

Rakyat hari ini bijak menilai. Mana yang baik, mana yang buruk. Sekali lagi pengundi di Bukit Selambau akan memilih wakil rakyat mereka yang baru dalam pilihanraya kecil. Sudah tentu kali ini mereka akan membuat perubahan memilih calon yang benar-benar bersih dan bermoral serta tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Tuesday, February 10, 2009

DAP Bertepuk Tangan Lihat Orang Melayu Menghina Raja


Pelik. Bila DAP hilang kuasa di Perak yang mengamuknya adalah orang Melayu. Yang menghina Raja dan berbaring di atas jalan adalah orang Melayu. Mana pergi orang DAP?

Orang DAP mungkin ada tetapi duduk jauh ketawa lihat gelagat orang Melayu memekik melolong mencerca dan menghina Raja di istananya. Jelas sudah, orang Melayu seperti Nizar adalah kuda tunggangan Ngeh dan Nga dalam DAP.

Ada seorang lagi Melayu dalam PKR yang bernama Anwar Ibrahim. Tetapi Melayu ini hanya pada nama kerana biar Raja dihina dicerca asal `aku dapat jadi Perdana Menteri'.

Orang Melayu mengharapkan Melayu dalam Pas seperti Hadi dan Nik Aziz untuk membela Melayu tetapi sama seperti Nizar dan Anwar, Hadi dan Nik Aziz rela Nizar menjadi kuda tunggangan Ngeh dan Nga asal kekal berkuasa menjadi Menteri Besar.

Apalah yang boleh diharapkan oleh orang Melayu kepada Melayu yang bernama Anwar, Hadi, Nik Aziz dan Nizar jika masih lagi bersekongkol dengan Karpal yang menghina,mencerca dan mahu menyaman Raja Melayu!

Saturday, February 7, 2009

Rakyat Perak Perlu Bangkit Pertahankan Sultan


Biadap dan kurang ajar. Itulah dua perkataan yang sesuai ditujukan kepada penyokong pakatan pembangkang yang menganjurkan perhimpunan haram di hadapan Masjid Ubudiah bagi menghalang majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir di Istana Iskandariah.

Mereka yang mengunakan alasan untuk bersembahyang Jumaat di Masjid Ubudiah tetapi selepas itu telah berhimpun dan bertindak biadap dengan merusuh dan berbaring di atas jalan bagi menghalang kenderaan termasuk kenderaan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah daripada memasuki kawasan Istana.

Penyokong pembangkang yang merusuh ini kebanyakannya bukan rakyat Perak tetapi mereka yang dibawa masuk dari Kedah, Kelantan, Wilayah Persekutuan dan Selangor untuk membuat kacau dan mahu memberi gambaran buruk seolah-olah rakyat Perak yang merusuh dan derhaka kepada Sultannya.

Sejarah membuktikan sejak zaman berzaman rakyat Perak tidak pernah derhaka kepada Sultan. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sangat dikasihi oleh rakyat kerana sikap baginda yang berjiwa rakyat amat mengambil berat terutama dalam soal-soal yang melibatkan kebajikan rakyat jelata.

Rakyat Perak sangat kasih kepada Sultan dan sanggup mempertahankan Sultan sebagaimana mempertahankan nyawa sendiri. Rakyat Perak tidak akan membiarkan Sultan dicerca apatah lagi dihina di bumi sendiri.

Sudah tentu ada dalang di sebalik rusuhan yang berlaku. Rusuhan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak ini mengingatkan kita kepada demontrasi jalanan pada tahun 1997 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Selain daripada anak-anak muda, Anwar telah memperalatkan wanita dan kanak-kanak untuk merusuh di jalan-jalan raya sehingga menimbulkan huru hara dan ketidak tenteraman dalam negara.

Plot yang sama kini berulang sekali lagi. Seperti juga Anwar, bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Nizar juga tidak mahu meletakkan jawatan walaupun dititahkan oleh Sultan Perak untuk berbuat demikian. Umum semua mengetahui dan tidak keterlaluan kalau dikatakan dalang di sebalik apa yang berlaku di Perak ini adalah kerja Anwar.

Anwar sekali lagi mahu mencetuskan rusuhan jalanan yang memperalatkan wanita dan kanak-kanak seperti apa yang dilakukannya pada tahun 1997 di Perak. Justeru itu, rakyat Perak perlu bangkit mempertahankan Sultan dan jangan sesekali membenarkan Anwar meneruskan rusuhan jalanan dengan membawa masuk orang luar menghina dan mencerca Sultan Perak di bumi sendiri.

Thursday, February 5, 2009

Terima Hakikat Kerajaan Pakatan Pembangkang Telah Tumbang Di Perak

``Keputusan sama ada negeri ini (Perak) akan ditadbir di bawah kepimpinan baru atau menghadapi pilihan raya semula akan ditentukan oleh Sultan Perak,'' kata Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Katanya, beliau akan akur apa sahaja keputusan Sultan Perak dan akan menerima apa juga ketetapan yang bakal dibuat oleh Seri Paduka Sultan.

Perkembangan terkini, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sudah membuat keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak perlu dibubarkan dan Barisan Nasional (BN) yang memperolehi majoriti dengan kelebihan tiga kerusi akan membentuk kerajaan baru di negeri itu.

Seperti janji Mohamad Nizar, beliau akan akur dengan apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh Sultan Perak dan beliau perlu mengotakan janjinya itu. Sebagai seorang rakyat yang taat setia kepada Sultan, Mohamad Nizar dan rakan-rakannya yang lain perlu akur dan menerima keputusan yang telah dibuat.

Jangan membuat onar. Terimalah hakikat bahawa Kerajaan Pakatan Pembangkang telah tumbang di negeri Perak. Ini adalah demokrasi yang menjadi pegangan Mohamad Nizar sebelum ini.

Tuesday, January 20, 2009

`Orang Melayu Jangan Menang Sorak Kampung Tergadai'


"Seandainya seluruh kampung baru yang mempunyai penduduk kira-kira 47,000 orang diberikan hak milik tanah, kita hanya beri tidak sampai 3,000 ekar," kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin.

Menteri Besar Perak dalam kerajaan campuran Pakatan Rakyat dengan bangga berkata, apa yang dilakukannya adalah untuk kebaikan rakyat dan yakin perkara itu tidak menguris perasaan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah.

Persoalannya sekarang, jika benar apa yang dilakukan itu adalah untuk kebaikan rakyat keseluruhannya, mengapa hanya penduduk Cina di kampung baru diberikan hak milik kekal sedangkan orang Melayu di Perak cuma mendapat hak milik selama 99 tahun sahaja?

Mengapa wujud `double standard' dalam soal pemberian hak milik sedangkan orang-orang Melayu di Perak juga mengundi kerajaan Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh Pas, PKR dan DAP sehingga pakatan ini berjaya membentuk kerajaan negeri?

Tidak keterlaluan jika dikatakan inilah `ganjaran' yang paling mahal diberikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat kepada orang-orang Melayu di Perak yang mengundi Pas, PKR dan DAP sehingga membolehkan mereka membentuk kerajaan menumbangkan kerajaan BN dalam pilihan raya umum lalu.

Umum mengetahui kerajaan Pakatan Rakyat Perak hari ini ditadbir oleh oleh pemimpin-pemimpin DAP yang jelas menentang DEB dan Negara Islam.

Menteri Besar, Mohamad Nizar hanyalah boneka DAP yang tidak mempunyai kuasa mutlak dalam kerajaan negeri kerana daripada 10 orang Exco, 6 orang DAP, 2 PKR dan 2 Pas.

Lebih malang lagi, 7 Exco bukan Melayu dan hanya 3 Exco Melayu dalam kerajaan negeri Perak.
Justeru itu, tidak hairanlah jika Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga di Kuala Lumpur baru-baru ini dalam nada sebak mengzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.

Baginda bertitah, penempatan semula melalui Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney itu telah menimbulkan rasa kurang senang raja-raja Melayu.

Penempatan semula kampung-kampung baru untuk hampir setengah juta orang Cina di zaman darurat dulu adalah berupa pencerobahan dan mencuri hak tanah orang Melayu.

Titah baginda yang penuh sinis ini adalah merujuk kepada tindakan kerajaan Perak yang didokongi oleh DAP pada hari ini yang mendiskriminasi orang-orang Melayu tetapi memberi keistimewaan kepada bukan Melayu.

Wednesday, January 14, 2009

PAS Di Mata Anwar


13 tahun dulu (1996) ketika dalam UMNO dan Kerajaan BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam pemimpin Pas suka memaki hamun orang lain dan menyarankan supaya Pas menukar nama yang lebih sesuai dengan sikap pemimpin mereka.

"Sesetengah pemimpin Pas jelas tidak mencerminkan cara berpakaian dan tawaduk mereka," kata Anwar pada Perhimpunan Pemimpin Bersama Rakyat di Kuala Kedah, Kedah pada 21 Januari 1996.

Tetapi itu dulu, kini (2009), Anwar `menjilat balik ludah' yang dibuatnya kepada pemimpin Pas manakala Pas yang dipimpin oleh Datuk Seri Hadi Awang boleh menerima Anwar dalam Pakatan Pembangkang walaupun partinya pernah dimaki hamun oleh Anwar sebelum ini.

Kerana sedikit kuasa Pas mudah lupa. Kerana mahu mengejar kuasa Pas boleh `berkompromi' dengan DAP dalam isu hudud dan undang-undang Islam. Mana dia perjuangan dan semangat Islam sejati Pas?

Apakah Pas hanya berperanan menjadi batu loncatan kepada Anwar yang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri manakala Lim Kit Siang akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Di manakah kedudukan Hadi apabila Pakatan pembangkang berjaya memerintah negara ini? Pas hanya akan menjadi `penonton' dan akan terus menjadi alat Anwar dan DAP.