Orang yang paling kecewa melihat Mantan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad kembali ke pangkuan UMNO dan menyatakan sokongan terbuka kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ialah Anwar Ibrahim.
Kerana bagi Anwar, beliau boleh menghadapi sesiapa sahaja didalam UMNO tetapi bukan Tun Mahathir. Ini kerana sebagai orang yang diangkat daripada bawah dan diletak hanya setangga lagi untuk menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir tahu siapa Anwar yang sebenarnya!
Ketika berlaku kemelut politik antara Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Tun Mahathir orang yang banyak meraih keuntungan politik ialah Anwar. Perselisihan pendapat antara kedua negarawan ini digunakan oleh Anwar dan parti pembangkang untuk menyerang dan melemahkan UMNO. Hasilnya dalam PR12 lima negeri telah kecundang dan jatuh ke tangan pembangkang.
Tetapi hari ini UMNO dan BN bangkit. Tun Mahathir telah turun berkempen di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Apa yang menjadi kerisauan Anwar telah berlaku - Tun Mahathir telah turun padang berkempen dan menyatakan sokongan terbuka kepada kepimpinan Najib serta yakin UMNO mampu merampas kembali kerusi yang jatuh ke tangan pembangkang.
Anwar risau kerana ahli-ahli UMNO yang dulu menyokong Tun kini telah kembali bersatu. Anwar juga tahu rahsia Pakatan Pembangkang berjaya menawan lima negeri bukan kerana mereka kuat tetapi ada ahli-ahli UMNO yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan Abdullah telah menyokong parti pembangkang.
Peralihan kuasa Abdullah kepada Najib telah membuka buku baru dalam lanskap politik negara. Umpama Biduk lalu Kiambang bertaut. Ahli-ahli UMNO yang berjumlah lebih 3 juta orang telah kembali bersatu dan sudah bersedia untuk mengembalikan semula kegemilangan dan mengangkat semula martabat UMNO dan BN ke tempat yang asal.
Pilihanraya kecil Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai adalah penentu apakah tranformasi ini sudah bermula. Jika BN menang di semua tiga kawasan pilihanraya kecil ini, Anwar dan Pakatan Pembangkang bolehlah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke 13.
