Monday, June 25, 2007

Demokrasi : Perjuangan Pas Songsang dan Aneh

dipetik dari http://www.pemudaumno.org.my

oleh Adam Jalil

Keadaan politik negara ini kian aneh dan luar biasa. Macam-macam kejadian aneh sekarang ini. Ada parti dipimpin oleh pemimpin de facto sungguhpun orang lain yang menang jawatan Presiden. Ada pula parti yang dipimpin oleh anak beranak dari Melaka.

Orang lain sekadar pemegang jawatan tanpa bisa. Tapi yang paling aneh dan luar biasa ialah bila Parti Islam seMalaysia (Pas) bercakap soal demokrasi ala Amerika Syarikat.

Menurut Ketua Pemuda Pas, Salahuddin Ayub, pemuda parti itu sedia menggerakkan 100 ribu orang ke Putrajaya bagi mengadakan bantahan mengenai kepincangan demokrasi di negara ini.
Beliau mendakwa kerajaan menggunakan demokrasi yang mereka tentukan sendiri dengan menekan rakyat dan pembangkang untuk memastikan mereka terus berkuasa.

"Kerajaan telah menggunakan pelbagai akta seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), menggunakan polis dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk kepentingan politik mereka.

"Dengan perkataan lain, demokrasi Malaysia ditentu dan dikuasai oleh kerajaan yang memerintah dan bukannya untuk kepentingan rakyat terbanyak," katanya.

Siapa Mewakili Suara Rakyat Terbanyak

Pertamanya kita perlu menyoal Salahuddin, siapakah yang lebih berhak bercakap atas nama rakyat terbanyak? Pas atau Barisan Nasional?

Jika lunas demokrasi diambil kira maka nyatalah bahawa BN merupakan suara rakyat banyak. Setiap kali pilihan raya mereka menerima undi popular, kerusi terbanyak dan menjadi parti memerintah.

Sudah tentu kita tidak menghalang Pas mahu membawa nafas lain dalam demokrasi Malaysia. Itu adalah hak mereka sebagai sebuah parti politik.

Namun, tidaklah wajar mereka mendakwa mewakili majoriti rakyat atau suara rakyat terbanyak selagi mereka tidak menang pilihan raya.

Demokrasi Bukan Kamus Perjuangan Pas

Keduanya, sungguh janggal untuk Salahuddin dan Pas bercakap soal demokrasi kerana parti mereka sendiri tidak mencerminkan demokrasi yang lebih baik.

Beberapa tahun lalu, Pas membawa rang undang-undang anti Murtad (penukaran agama Islam ke agama lain) ke Parlimen yang antara lain memperuntukkan hukuman mati kepada mereka yang murtad.

Adakah ini demokrasi? Adakah undang-undang ini lebih demokrasi berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Mesin Cetak?

Suatu ketika dahulu Pas mengkafirkan ahli UMNO dan penyokong UMNO yang mengundi Barisan Nasional. Fatwa atau amanat Hadi Awang ini belum pun ditarik balik sehingga kini.
Demokrasikah fatwa Hadi Awang ini? Di mana bentuk demokrasi yang Pas mahu perjuangkan.

Selebihnya perlu dingatkan bahawa Kelantan di bawah pemerintahan Pas adalah satu-satunya negeri yang mengadakan undang-undang kecil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mewajibkan pemakaian tudung kepada wanita Islam. Adakah demokratik undang-undang ini?

Pas juga merupakan parti yang paling kerap meminta penerbitan itu dan penerbitan ini diharamkan, sibuk ke hulu ke hilir mengukur moraliti individu dan melabelkan artis sebagai sesat.

Justeru bukankah songsang Pas mahu bercakap soal demokrasi?

100 Ribu Orang Hanya 1 Peratus Pengundi

Ketiganya ialah ugutan untuk mengadakan perarakan 100 ribu orang ke Putrajaya bagi membantah pencabulan demokrasi. Kita mahu ingatkan Salahuddin, 100 ribu orang bukanlah banyak berbanding 10 juta pengundi mahu pun 3 juta ahli UMNO.

100 ribu yang mahu dibawa oleh Pas hanyalah 1% daripada jumlah pengundi berdaftar hari ini. Itu sahajalah kekuatan Salahuddin.

Bagaimana nanti jika 3 juta orang ahli UMNO turut berarak ke Putrajaya pada masa yang sama bagi menentang perarakan Pas?

Demokrasi Harus Beradab

Ketika Pas bercakap demokrasi sudah mati itu pun sebenarnya mereka membuktikan demokrasi masih subur. Kalau demokrasi sudah mati, Pas tidak mungkin boleh bercakap demikian di atas bumi Malaysia.

Pas boleh menipu para penyokongnya dan memburukkan negara di luar dengan mengatakan Kerajaan tidak demokratik.

Tapi Pas tidak boleh menipu majoriti rakyat Malaysia yang melihat pembangkang masih boleh membuat ceramah dalam dewan, menerbitkan akhbar parti, bercakap di Parlimen dan lebih penting partinya terus hidup subur di bumi bertuah ini.

Tidak ada seorang pun lagi rakyat Malaysia ditangkap kerana menjadi ahli Pas.
Sebahagian ahli Pas bukan sahaja bebas mencerca kerajaan, malah turut menjawat jawatan dalam kerajaan.

Memang benar demokrasi kita bukan seperti Amerika Syarikat mahu pun negara-negara Eropah. Demokrasi Malaysia berlainan kerana sejarahnya yang berlainan, peta sosio-politiknya yang berlainan, landskap agamanya yang berlainan.

Semua ini harus diambil kira kerana demokrasi adalah sistem yang tercipta untuk mewujudkan suasana masyarakat yang bebas dan aman.

Demokrasi bukan wujud untuk mempertahankan kebebasan individu semata-mata.
Apa guna demokrasi lepas bebas jika akibatnya kita kehilangan Singapura dan tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969?

Pas tentu setuju bahawa demokrasi harus beradab bukan sekadar lepas sewenang-wenangnya hingga merosakkan masyarakat. Justeru berhati-hatilah bila mahu bercakap soal demokrasi, apatah lagi mengadakan perarakan haram.

(Sumber : www.isuhot.com)

No comments: