Monday, November 17, 2008

Benarkah Pakatan Rakyat Pertahan Islam dan Hak Keistimewaan Melayu?

Anwar: Pakatan Pertahan Islam dan Hak Istimewa Melayu

SHAH ALAM: Ketiga-tiga parti anggota Pakatan Rakyat menerima kedudukan hak istimewa Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama persekutuan sepertimana terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menurut beliau, isu berhubung perkara itu tidak perlu dirisaukan lagi kerana persefahaman mengenainya telah dibuat antara ketiga-ketiga parti anggota Pakatan - PKR, DAP dan PAS.

Malah, tegas Anwar lagi, kenyataan bahawa kesemua pihak telah bersetuju mengenai perkara itu telah dikeluarkan pada 8 September lalu.

Kenyataan tersebut antara lain menegaskan bahawa Pakatan sekali lagi mengulangi pendirian menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk soal-soal dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan menjaminkan kebebasan mengamalkan agama lain, kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, dan mempertahankan hak bahasa ibunda, kedudukan kedaulatan dan institusi Raja-raja Melayu serta kedudukan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera, serta hak-hak semua kaum yang telah dijamin oleh Perlembagaan.

Menurut kenyataan itu lagi, berdasarkan prinsip-prinsip perlembagaan tersebut, Pakatan menolak sekeras-kerasnya pendekatan politik perkauman sempit.

Oleh itu, tegas Anwar, tidak timbul lagi sebarang salah faham mengenai isu yang membabitkan hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam.

Anwar menegaskan demikian dalam ucapannya di majlis perjumpaan khas dengan guru KAFA di Shah Alam Selangor hari ini. Hadir sama ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Komen:

Persoalannya benarkah Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh PKR, DAP dan PAS mempertahankan Islam dan hak keistimewaan Melayu sebagaimana yang didakwa oleh Anwar?

1). Siapa yang membangkitkan soal laungan azan dan tulisan jawi sehingga membangkitkan kemarahan orang Melayu - Teresa Kok (DAP).

2). Siapa yang membuat kenyataan langkah mayatnya dahulu jika mahu menubuh dan menegakkan undang-undang Islam di negara ini - Karpal Singh (DAP).

3). Siapa yang mahu menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) jika Pakatan Rakyat berkuasa - Anwar Ibrahim (PKR).

4). Siapa yang berjanji hak yang sama rata kepada semua kaum jika Pakatan Rakyat berkuasa - Lim Kit Siang (DAP).

5). Siapa yang berjanji untuk menghapuskan hak keistimewaan Melayu ketika berkempen di hadapan orang Cina dan India jika Pakatan Rakyat berkuasa - Anwar Ibrahim (PKR).

6). Siapa yang mempertikai teks ucapan Yang DiPertuan Agong dan kuasa Sultan Perak - Karpal Singh (DAP).

7). Siapa yang mencadangkan supaya UITM dibuka kepada bukan Melayu dan bangsa asing - Khalid Ibrahim (PKR).

8). Siapa yang mencadangkan supaya bahasa lain juga dijadikan bahasa rasmi negara - Teresa Kok (DAP).

Anwar dan pemimpin Pakatan Rakyat perlu menjawab semua persoalan di atas jika benar dakwaan beliau Pakatan Rakyat mempertahankan Islam dan hak keistimewaan Melayu di negara ini.

Tuesday, November 11, 2008

Perdana Menteri Bukan Melayu - Apa Kata Anwar & Hadi Awang?

Kemenangan calon Demokrat Barack Obama sebagai Presiden Amerika Syarikat yang ke 44 bukan hanya disambut di negara `Uncle Sam' kerana mencatat sejarah tersendiri tetapi turut menjadi bahan politik di negara ini.

Kemenangan Obama rakyat kulit hitam pertama daripada kumpulan minoriti di Amerika Syarikat telah mencetuskan analisa politik di kalangan pihak tertentu di negara ini sehingga ada suara pemimpin bukan Melayu yang mahukan bukan Melayu diberi peluang menjadi Perdana Menteri di negara ini.

Mereka ini berpendapat Amerika Syarikat telah menunjukkan kepada dunia bahawa kaum minoriti mempunyai peluang bersaing dengan kumpulan majoriti malah telah mengatasi halangan besar bagi memenangi jawatan tertinggi negara itu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang menganggap kejayaan Obama seorang kulit hitam sebagai Presiden Amerika Syarikat seharusnya mengubah sikap kalangan pemimpin UMNO agar menerima hakikat Perlembagaan membenarkan orang bukan Melayu menjadi Perdana Menteri negara ini.

"UMNO telah menafikan peruntukan Perlembagaan yang membenarkan sesiapa sahaja warganegara Malaysia untuk menjadi Perdana Menteri," katanya ketika mengulas isu ini.

Persoalannya, apakah Pas yang diterajui oleh Hadi Awang dan PKR oleh Anwar Ibrahim boleh menerima Kit Siang sebagai Perdana Menteri?

Bolehkah Pas yang kononnya memperjuangkan Islam sebagai addin bersekongkol menerima bukan Islam sebagai Perdana Menteri?

Sebelum ini Hadi Awang telah membuat kenyataan akan menerima sesiapa sahaja sebagai Perdana Menteri asalkan pemimpin itu adalah Melayu dan beragama Islam.

Begitu juga dengan Anwar, apakah nanti beliau boleh menerima Penasihat DAP itu sebagai Perdana Menteri walhal beliau telah `berkorban' sejak sekian lama masuk penjara semata-mata mengidam jawatan tertinggi dalam kerajaan itu?

Hakikatnya seperti yang diakui oleh Kit Siang, UMNO yang menjadi tunggak kekuatan orang Melayu di negara ini adalah penghalang kepada cita-cita bukan Melayu untuk menjadi Perdana Menteri.

Sebagai parti politik terbesar orang Melayu, UMNO dilihat sebagai benteng terakhir orang Melayu untuk mempertahan dan mengangkat martabat Islam di negara ini daripada diperkotak katik oleh pihak-pihak tertentu yang mula mempertikai hak dan keistimewaan Melayu di negara ini.

Apalah yang diharapkan kepada PKR baru sahaja berkuasa hak dan kepentingan Melayu hendak diperdagangkan demi survival politik manakala Pas kononnya memperjuangkan Islam sebagai addin tetapi bersekongkol dengan DAP yang terang terang menolak perjuangan Islam.

Selagi ada UMNO yang menjadi tunggak dan mewakili orang Melayu terbesar di negara ini jangan harap kaum minoriti mengidam jawatan Perdana Menteri.

Monday, November 3, 2008

Perlantikan Pemangku Pengurus Besar PKNS: Hinanya Orang Melayu Di Mata Khalid Ibrahim!


PKR AKAN JELASKAN KEPADA HADI

KUALA SELANGOR - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor akan memberi penjelasan kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung isu pelantikan Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, penjelasan itu akan diberi dalam perjumpaan kepimpinan pakatan pembangkang yang diadakan dua minggu sekali.

Menurut beliau, penjelasan memang selalu diadakan di kalangan pemimpin pakatan pembangkang dan ia bukan satu perkara yang luar biasa.

"Dalam perjumpaan itu nanti, kita terangkan beberapa usaha yang kita akan lakukan. Saya rasa Utusan Malaysia bertujuan untuk membelah-belahkan ahli-ahli dalam pakatan.

"Perkara ini (isu perlantikan bumiputera) tidak timbul kerana pemilihan kepimpinan dalam Islam memberi tumpuan terhadap kebolehan dan keupayaan," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi yang tidak bersetuju dengan perlantikan itu dengan alasan sebagai sebuah negeri yang majoriti penduduknya Melayu beragama Islam, sistem pentadbiran sepatutnya diterajui kaum tersebut.

Komen:

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak sepatutnya menyalahkan Utusan Malaysia kerana menyiarkan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Utusan Malaysia hanya menyiarkan kenyataan Abdul Hadi yang terang-terang tidak bersetuju dengan perlantikan ini dengan alasan sebagai sebuah negeri yang majoriti penduduknya Melayu dan beragama Islam sudah tentu sistem pentadbirannya sepatutnya juga ditadbir dan diterajui oleh orang Melayu yang beragama Islam.

Walau apa pun alasan Khalid, Presiden Pas itu juga mempunyai alasan yang tersendiri kerana selama hampir 40 tahun PKNS diterajui oleh orang Melayu tetapi mengapa kini sejak pakatan pembangkang menang di Selangor, `hak orang Melayu' ini hendak di ubah.

Perlantikan Siew Moi telah menguris hati orang Melayu di Selangor. Kenyataan Khalid bahawa sudah tiba masanya masyarakat Melayu bukan hanya pilih yang terbaik untuk mereka sebaliknya memastikan pilihan itu boleh memberikan hasil yang terbaik telah menghina orang-orang Melayu di Selangor.

"Dalam pengurusan sesuatu organisasi, jika seseorang itu tidak boleh mengurus dan mencapai tahap yang dikehendaki, lebih baik individu terbabit tidak diambil bekerja.

"Tanggungjawab kita adalah untuk memilih orang yang boleh kerja. Lupakan isu emosi," katanya.

Apakah Khalid bermaksud orang Melayu di Selangor tidak layak untuk menduduki jawatan tersebut kerana mereka tidak boleh `kerja' dan hanya mereka seperti Siew Moi yang lebih layak kerana pandai buat kerja?

Apakah begitu hina sekali orang Melayu di mata Khalid sehingga tidak ada seorang pun yang layak untuk menduduki jawatan tersebut sehingga mereka yang tidak `layak' telah dilantik untuk memangku jawatan pemangku Pengurus Besar PKNS?

Inilah hadiah Pakatan Pembangkang yang diterajui oleh PKR, DAP dan Pas kepada orang Melayu yang memberi kemenangan besar kepada mereka di Selangor.

Berbanding dengan Pas, Khalid lebih menjaga hati `rakan kongsi yang terbesar' iaitu DAP kerana menyumbang 25 kerusi dalam kerajaan negeri Selangor berbanding Pas yang hanya ada 8 kerusi.

Pas tidak lebih hanya sekadar `melukut di tepi gantang' dalam kerajaan negeri Selangor berbanding dengan DAP yang banyak membuat keputusan di belakang tabir dalam kerajaan negeri Selangor termasuk dalam perlantikan Low Siew Moi sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS.