Wednesday, May 27, 2009

RASUAH - LAYAKKAH ANWAR UNTUK DUDUK BERSAMA NIK AZIZ?


Pengarah Pilihan Raya PKR, Saifuddin Nasution mengakui memang wujud pertemuan dua orang pemimpin tertinggi parti itu berjumpa dengan calon bebas Dun Penanti, Aminah Abdullah tetapi mereka bukannya mewakili PKR.

Menurut Saifuddin lagi, perbualan dua ahlinya itu sebagaimana yang dirakam oleh Aminah tidak mewakili PKR sebaliknya mewakili individu itu sendiri.

Yang menariknya, dua individu yang dimaksudkan oleh Pengarah Pilihan Raya PKR ini bukanlah ahli biasa tetapi pemimpin tertinggi PKR yang memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi Pimpinan PKR Pusat dan Pegawai Khas kepada seorang Exco PKR kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Aminah yang juga bekas Ketua Pergerakan Wanita PKR Pulau Pinang
membuat pendedahan PKR menawarkan wang sebanyak RM80,000, jawatan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang jika beliau menarik diri daripada bertanding sebagai calon bebas dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 jika beliau terus bertanding dan menang.

Dakwaan Aminah ini adalah serius dan beliau tentunya mempunyai bukti yang kukuh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PKR di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dengan nada angkuh berkata penubuhan parti itu adalah untuk menegakkan keadilan dan menghapuskan rasuah.

Penglibatan dua pemimpin tertinggi parti itu yang berjumpa dengan Aminah sudah tentu menjadi tanda tanya bukan sahaja kepada pengundi di Dun Penanti malah kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Apakah PKR cakap serupa bikin atau apakah tawaran Rasuah sudah menjadi sebahagian daripada strategi dalam jentera Pilihan Raya PKR untuk menang dalam sesuatu pilihan raya?

Kalau itu yang berlaku rakyat bertanya apakah layak Anwar untuk duduk bersama-sama dengan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang amat benci kepada Rasuah?

Tuesday, May 19, 2009

SERAH KUASA KEPADA RAKYAT DALAM PILIHAN RAYA UMUM KE 13


Jika UMNO dan BN takut menghadapi rakyat sebagaimana dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim UMNO / BN tidak akan menyertai Pilihanraya kecil di Permatang Pauh, Bukit Gantang dan Bukit Selambau kerana menang kalah dalam ketiga-tiga pilihanraya kecil ini tidak akan mengubah langskap politik negara - UMNO / BN tetap berkuasa dan sebagai parti pemerintah di negara ini.

Jika UMNO / BN takut menghadapi rakyat, UMNO / BN tidak akan menyerahkan mandat kepada rakyat setiap lima tahun sekali bagi diadakan pilihanraya umum bagi membolehkan rakyat memilih kerajaan yang mereka kehendaki.

Tetapi UMNO / BN tidak akan menari mengikut rentak parti pembangkang. Sebagai sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat, UMNO / BN mempunyai tanggungjawab kepada rakyat dan mengutamakan khidmat kepada rakyat.

UMNO / BN tidak bertanding di Penanti kerana kekosongan kerusi itu bukan diperuntukkan oleh perlembagaan tetapi satu usaha PKR untuk menyelesaikan masalah dalaman mereka.

Anwar mahu memecat Fairus daripada kerusi Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1 dan menjadikan Fairus sebagai `kambing hitam' dengan dengan tuduhan rasuah tetapi nama Fairus dibersihkan oleh SPRM.

PRK Penanti tidak sepatutnya diadakan setelah SPRM membersihkan nama Fairus daripada tuduhan rasuah tetapi disebabkan Anwar mahu mengantikan Fairus dengan orang kepercayaannya Mansor Othman, PRK Penanti terpaksa diadakan dan wang kerajaan terpaksa dibelanjakan demi memenuhi cita-cita politik sempit Anwar.

Setiap kali PRK diadakan kerajaan terpaksa membelanjakan wang rakyat sehingga RM20 - 30 juta dan wang itu sepatutnya dibelanjakan untuk membina infrastruktur dan kemudahan kepada rakyat.

Di samping itu juga, dalam usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara daripada kemelesetan ekonomi global setiap kali PRK diadakan kehidupan dan rutin hidup rakyat akan terganggu dengan kempen-kempen daripada parti yang bertanding.

Selepas ini akan banyak lagi PRK akan diadakan kerana ramai lagi pemimpin PKR yang akan diganti dengan suku sakat Anwar dan Anwar selepas ini akan dianugerahkan jawatan sebagai `Penerbit Kepada Siri Pilihan Raya Kecil'.

Anwar kini berhadapan `buku dengan ruas' kerana Presiden UMNO / BN yang baru Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan menari mengikut rentak parti pembangkang dan dengan slogan 1Malaysia - `Rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan' biarlah rakyat membuat keputusan kerajaan mana yang hendak mereka pilih dalam PRU ke 13.

Thursday, May 14, 2009

PEMIMPIN PAS MAIN DUIT?


MEMALUKAN. Parti Islam Semalaysia yang matlamat perjuangannya memperjuangkan Islam sebagai addin tetapi telah diresapi dengan gejala politik wang menjelang Muktamar parti itu bulan hadapan.

Perkara ini bukan didedahkan oleh orang UMNO atau BN tetapi oleh Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamad Daud Iraqi yang menyatakan wujudnya gejala membeli undi menjelang pemilihan parti itu pada muktamar yang akan diadakan di Shah Alam pada bulan Jun nanti.

Sebagai Ketua Dewan Ulama, tidak ada sebab untuk Mohamad Daud berbohong dan beliau memilih untuk mendedahkan kepincangan ini kerana beliau tidak mahu gejala politik wang menjadi barah dalam Parti yang memperjuangkan Islam itu.

Mengapa sekarang ini berlaku gejala politik wang di dalam Pas? Kalau dahulu kita tidak pernah mendengar pemimpin Pas `main duit' untuk menang sesuatu jawatan tetapi nampaknya keadaan sudah berubah dan apa yang didedahkan oleh Mohamad Daud ini sungguh memalukan.

Jawapannya kerana pengaruh `Anwar' telah meresap ke dalam batang tubuh parti itu. Menjelang Muktamar bulan hadapan Pas sekarang sedang berdepan dengan pergolakan antara pimpinan ulama dengan pimpinan profesional.

Satu golongan dalam Pas mahu parti itu diketuai oleh pimpinan ulama manakala satu golongan lagi mahu supaya Pas dipimpin oleh golongan Profesional. Golongan ulama diketuai oleh Presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang manakala golongan Profesional atau lebih dikenali dengan nama kumpulan `Erdogan' terdiri daripada penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semua orang tahu ketika di dalam UMNO `Bapak' segala politik wang adalah Anwar Ibrahim. Siapa yang mengajar politik wang di dalam UMNO kalau bukan Anwar Ibrahim. Dalam tahun 1993 ketika bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO menentang Ghafar Baba (Allahyarham) wang `dicurahkan' seperti mengalirnya air sungai.

Hasilnya, Allahyarham Pak Ghafar hanya dapat beberapa pencalonan sahaja daripada bahagian-bahagian UMNO manakala yang lain semuanya mencalonkan Anwar sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Apa yang dilakukan oleh Anwar di dalam UMNO dahulu hendak dilakukan di dalam Pas. Matlamat menghalalkan cara dan duit boleh membeli segala-galanya. Ini yang membimbangkan Ketua Dewan Ulama Pas.

Inilah hasilnya apabila Pas berkawan dengan PKR dan DAP. Pemimpin Pas mengeji UMNO kononnya tidak bermoral kerana politik wang tetapi hari ini pemimpin-pemimpin Pas termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu menutup pekung yang mula membusuk di dalam parti itu.

Tetapi Nik Aziz perlu ingat bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan daun pisang lambat laun akan diketuai orang juga.

Thursday, May 7, 2009

BIADAP DAN KURANG AJAR

Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara atau pun dunia seorang Speaker terpaksa diusung keluar dewan kerana keengganannya berbuat demikian walaupun sudah tidak mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri.

Tetapi perkara ini berlaku di Perak. Bekas Speakar V Sivakumar terpaksa diusung keluar kerana keengganannya bangun daripada kerusi Speaker walaupun majoriti ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dalam sidang DUN Perak telah memilih R.Ganesan sebagai Speaker yang baru.

Inilah menunjukkan betapa `haprak' Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim yang enggan menerima kenyataan bahawa kerajaan Perak hari ini sudah jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN).

Mereka ini bukan sahaja biadap malah bersikap kurang ajar! Mereka bertindak seperti penyamun dan penyangak seperti dalam cerita Ali Baba Bujang Lapok. Mereka ini sebenarnya tidak layak berada dalam Dewan yang mulia kerana penyamun dan penyangak lebih layak berada di dalam gua.

Mereka bukan sahaja tidak menghormati institusi dewan yang mulia malah tidak menghormati Raja. Akibat daripada sikap penyamun dan penyangak mereka ini Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin terpaksa menunggu selama enam jam untuk merasmikan persidangan.

Pakatan Rakyat sebelum ini melaung-laungkan kononnya merekalah pejuang demokrasi dan menghormati sokongan majoriti. Tetapi di Perak mengapa Pakatan Rakyat tidak dapat menerima kenyataan bahawa majoriti dalam DUN memihak kepada BN.

Pakatan Rakyat perlu menerima hakikat yang sekarang ini dalam DUN negeri Perak BN mempunyai 31 kerusi manakala Pakatan Rakyat hanya 28 kerusi. Kalau tanya budak yang berumur 5 tahun pun tahu 31 lebih banyak daripada 28!

Apakah Anwar, Sivakumar, Nizar, Ngeh dan Nga tidak belajar matematik bahawa 31 lebih banyak daripada 28. Atau budak 5 tahun lebih cerdik daripada Anwar, Sivakumar Nizar, Nga dan Ngeh?