Daftar Pemilih Induk (DPI) yang diguna pakai dalam pilihan raya umum ke-12 (PRU 12) ini yang diwartakan pada 5 Feb lalu dan mengandungi 10,922,139 pemilih telah dibersihkan daripada senarai pemilih yang telah meninggal dunia sehingga 31 Disember lepas.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata ini kerana SPR telah mengeluarkan seramai 697,902 pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia daripada DPI sejak 1 Jan 2004 sehingga 31 Dis lalu.

Bagaimanapun, katanya SPR peka bahawa mulai 1 Jan lalu hingga 7 Mac ini akan ada pemilih berdaftar yang tersenarai di dalam DPI yang meninggal dunia pada setiap hari.

"Tetapi peruntukan undang-undang pilihan raya semasa tidak membenarkan SPR terus mengeluarkan nama-nama mereka daripada DPI. Ini kerana nama-nama pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia dari 1 Jan hingga 31 Mac ini akan dipamerkan pada April depan untuk semakan orang awam," katanya dalam kenyataan di Putrajaya Khamis ketika mengulas kekeliruan di kalangan parti pembangkang berhubung perkara itu.

Sehubungan itu, katanya SPR menegaskan kepada parti politik dan juga calon bebas yang bertanding bahawa mereka tidak perlu risau dan bimbang tentang dakwaan yang tidak berasas bahawa adanya pengundi lain yang akan mengguna pakai kad pengenalan pengundi yang telah meninggal dunia untuk mengundi pada 8 Mac ini. -- LAGI SPR-Pemilih 2 Putrajaya

"Ini kerana SPR akan mengedarkan senarai nombor kad pengenalan dan nama-nama pemilih berdaftar yang meninggal dunia dari 1 Jan sehingga 7 Mac ini kepada semua Ketua Tempat Mengundi di seluruh negara," katanya.

Bernama melaporkan Kamaruzaman berkata langkah ia bagi membolehkan Ketua-Ketua Tempat Mengundi berkenaan menandakan di dalam buku Daftar Pemilih Pilihan Raya masing-masing bahawa seseorang pemilih berkenaan telah meninggal dunia dan kertas undi tidak akan dikeluarkan kepada mana-mana pemilih yang telah tersenarai sebagai pemilih yang telah meninggal dunia.

Beliau berkata arahan tegas turut dikeluarkan kepada semua Ketua Tempat Mengundi di seluruh negara untuk mendapatkan bantuan anggota polis yang bertugas di setiap saluran mengundi untuk terus menangkap mana-mana pengundi yang datang ke mana-mana pusat atau tempat mengundi yang mengundi menggunakan kad pengenalan pengundi yang telah meninggal dunia.

Katanya ini kerana perbuatan tersebut merupakan satu kesalahan penyamaran di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu mana-mana orang yang menyamar akan terus ditangkap kerana ia merupakan satu kesalahan yang lazimnya ditangkap di bawah pengertian Kanun Prosedur Jenayah.

"Jika sabit kesalahan, seseorang yang menyamar itu boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000," katanya.

Sebagai usaha berterusan SPR untuk membersihkan DPI daripada senarai kematian, Kamaruzaman berkata SPR telah menghantar pasukan bergeraknya ke balai-balai polis di seluruh negara bagi mendapatkan salinan permit mengubur.

"Sebagai contoh, pada tahun lalu, SPR telah berjaya mengeluarkan 10,064 pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia menerusi mekanisme itu.

"Selain itu, SPR menerusi program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan di 14 negeri di seluruh negara termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya sentiasa mewar-warkan kepada waris pemilih yang telah meninggal dunia untuk mengemukakan satu salinan sijil kematian waris mereka kepada SPR bagi tujuan pembersihan DPI," katanya.

Bagi negeri Sarawak, beliau berkata SPR telah menghantar pasukan bergeraknya ke 2,764 rumah panjang di 20 bahagian pilihan raya Parlimen pada Januari 2006 sehingga Oktober tahun lalu.

"Dalam urusan tersebut, SPR telah mengenal pasti seramai 12,807 penghuni rumah panjang yang telah meninggal dunia tetapi tidak dilaporkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara.

"Namun begitu, berasaskan kepada pengakuan yang dibuat oleh Tuai Rumah Panjang dan disahkan oleh Pegawai Daerah yang berkenaan, SPR telah pun mengeluarkan kesemua 12,807 pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia itu daripada DPI," katanya