"Sarapan pagi (roti dengan krim), makan tengahari (nasi, telur goreng dan sup sayur), makan malam (nasi, daging ayam dan kuah). Menu ini lebih baik sedikit daripada makanan anjing?"
Begitulah betapa biadapnya pemimpin pembangkang DAP yang bernama Teresa Kok. Walau pun beliau menafikan pernah menyamakan makanan yang disediakan kepadanya ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) seperti `makanan anjing', kenyataannya yang tersiar di TV3 telah diikuti oleh jutaan rakyat Malaysia yang menonton siaran berita pada malam itu.
Teresa boleh menyalahkan akhbar Utusan Malaysia kononnya telah memutar belit kenyataan beliau tetapi beliau tidak boleh menafikan yang bercakap di TV3 itu bukan dirinya.
Jutaan rakyat Malaysia mendengar Teresa menyebut dalam siaran berita di TV3, sepanjang ditahan beliau hanya diberikan telur rebus, roti dan sup sayur serta menyifatkan makanan tersebut `slightly better than dog food'.
Tetapi apabila kenyataan itu menjadi isu Teresa menceritakan menu yang sebenarnya kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, T. Murugiah yang bertanggungjawab dalam Biro Pengaduan Awam Jabatan Perdana Menteri.
Memang begitulah perangai pemimpin pembangkang. Bila bercakap mereka berbohong, bila berjanji mereka tidak tepati dan apabila mereka berkata-kata mereka akan memfitnah dan menanam kebencian rakyat kepada kerajaan.
Survival politik mereka ialah apabila rakyat membenci kerajaan, rakyat akakn memilih pembangkang. Apabila menyedari tembelang pembohongannya telah pecah Teresa mencari `kambing hitam' untuk menutup perangai buruknya itu. Akhbar Utusan Malaysia dijadikan `kambing hitam'.
Pembohongan demi pembohongan adalah menu harian pemimpin pembangkang. Penasihat PKR Anwar Ibrahim berbohong kepada rakyat Malaysia kononnya 16 September adalah tarikh pakatan pembangkang menubuhkan kerajaan tetapi sehingga hari ini memberi pelbagai alasan.
Akibat terlalu banyak berbohong Anwar hari ini sudah dipersenda dengan berbagai gurauan, kononnya `Anwar telah mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dihadapan potret Yang Di Pertuan Agung' dan `Anwar telah mendapat 30 kerusi daripada Courts Mammoth dan Ikea untuk menubuhkan kerajaan'.
Pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin DAP kali ini cukup menghiris hati rakyat Malaysia terutama rakyat miskin yang berada di luar bandar. Ada rakyat miskin di luar bandar empat hari tidak menjamah nasi kerana kemiskinan dan menunggu hari raya untuk menjamah daging dan ayam yang di sedekahkan di masjid-masjid.
Ada rakyat miskin di luar bandar berkongsi dua potong ikan dan sebiji telur untuk lima beradik bagi mengalas perut. Apakah Teresa tahu ada rakyat miskin di luar bandar berkongsi `kulit roti' bagi sarapan pagi.
Pemimpin DAP yang bernama Teresa Kok ini tidak tahu kemiskinan di luar bandar kerana beliau tinggal di bandar besar. Mana dia tahu makanan orang miskin di luar bandar.
Baginya, sarapan (roti dan krim), makan tengahari (nasi, telur goreng dan sup sayur) manakala makan malam (nasi, daging ayam dan kuah) lebih baik sedikit daripada makanan anjing `slightly better than dog food'.