Tuesday, October 21, 2008

Cerpen `Politik Baru YB J' - Mengapa Teresa Yang Terasa?


Cerpen `Politik Baru YB J' yang mengisahkan pembunuhan seorang wakil rakyat wanita Cina seperti yang tersiar dalam Mingguan Malaysia 12 September lalu tidak ada kena mengena dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok seperti dakwaan DAP.

Menurut penulis cerpen ini, Datuk Chamil Wariya watak dalam cerpen itu hanyalah rekaan semata-mata dan tidak ada kaitan langsung dengan mereka yang hidup dan mati.


"Ia hendaklah dibaca dan dinikmati sebagai sebuah karya kreatif dan tidak lebih tidak kurang daripada itu".

"Dalam cerpen saya ini, pembunuhan politik per se seperti yang didakwa tidak berlaku walaupun wataknya mungkin dimatikan. Apa yang berlaku adalah sekadar simbolik.Karya sastera tidak patut hanya dibaca yang tersurat, tetapi tersirat".

"Yang dibunuh sebenarnya adalah idea-idea yang melampau dan tidak hanya terbatas dalam politik tetapi melampaui politiknya".

Komen:

Persoalannya sekarang ini mengapa YB Teresa Kok yang `terasa' sehingga DAP membuat laporan Polis mendakwa cerpen ini ditujukan kepada Ahli Parlimen Seputeh itu?

Dalam cerpen ini langsung tidak menyebut nama `YB Teresa' atau nama parti-parti politik di Malaysia termasuk DAP sehingga pemimpin parti itu melatah membuat laporan Polis mendakwa `cerpen ini menganjurkan keganasan dan bermain dengan api kerana memuatkan babak pembunuhan ahli politik'?.

Inilah akibatnya kalau kita terlalu berprasangka dan menjadikan politik sebagai alat untuk meraih kepentingan diri dan peribadi. Kita akan takut kepada bayang-bayang sendiri sehingga karya sebuah cerpen yang hanya rekaan semata-mata dianggap sebagai satu serangan peribadi.

Cerpen ini tidak ada kena mengena dengan Teresa atau pun parti DAP dan tidak ada sebab untuk mereka mengekploitasi isu ini kononnya sebagai sasaran untuk memecah belahkan Pakatan Rakyat dan menimbulkan ketegangan kaum di negara ini.

Seperti kata penulis cerpen ini, Datuk Chamil Wariya watak-watak dalam cerpen ini adalah rekaan yang langsung tiada kaitan dengan mereka yang hidup dan mati. Ia hendaklah dibaca dan dinikmati sebagai sebuah karya kreatif dan tidak lebih tidak kurang daripada itu.

Teresa mungkin menganggap cerpen ini ditujukan kepadanya kerana sebelum ini pernah ditahan di bawah ISA kerana dikaitkan dengan lauangan azan dan tulisan jawi.

Apakah selepas ini jika ada mana-mana penerbit filem atau drama yang tidak ada apa-apa kepentingan politik secara kebetulan membuat filem atau drama seperti karya cerpen ini, Teresa dan pemimpin DAP yang lain juga akan membuat laporan Polis kepada mereka ini?

Inilah akibatnya jika menjadikan politik sebagai alat untuk kepentingan diri sentiasa bersangka buruk kepada orang sehingga apa yang dilakukan oleh orang lain kita anggap jahat dan mempunyai kepentingan politik.

Tuesday, October 14, 2008

Surat Terbuka Penyokong Pakatan Rakyat Kepada Anwar Ibrahim


PKR: Tiada Usul Tidak Percaya Pada PM

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang tidak berminat meneruskan rancangannya menukar Kerajaan Persekutuan melalui usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sekarang.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau sekarang menumpukan fokus pada isu-isu ekonomi, termasuk Bajet 2009.

"Buat masa ini fokus kita ialah terhadap bajet," katanya yang juga ketua PKR kepada pemberita di lobi Parlimen.

SURAT TERBUKA PENYOKONG PAKATAN RAKYAT KEPADA ANWAR IBRAHIM SEBAGAIMANA YANG TERSIAR
DALAM BLOG KETUA PEMBANGKANG ITU.

Dato' Seri,

PERALIHAN KUASA

16 September - tidak jadi sebab PM Abdullah Badawi tidak mahu berjumpa Dato' Seri untuk melaksanakan peralihan kuasa yang teratur.

23 September - tidak jadi sebab PM Abdullah Badawi tidak mahu mengadakan sidang Parlimen untuk dibentangkan usul tidak percaya terhadap PM dan seterusnya peralihan kuasa yang teratur.

13 Oktober - akan bermula sidang Parlimen. Sudahkah Dato' Seri bersedia untuk membentangkan Usul Undi Tidak Percaya terhadap PM? Sudahkah notis bertulis dibuat supaya tiada lagi masalah teknikal bagi usul tersebut?

Sudah sedia manifesto Kerajaan Persekutuan Pakatan Rakyat dan senarai Barisan Kabinet Dato' Seri bagi peralihan kuasa yang dijanjikan? Penyokong Pakatan Rakyat menunggu tarikh Keramat 13 Oktober 2008 untuk menobatkan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ingatlah, reputasi Dato' Seri bergantung kepada janji-janji yang dibuat.

Sherry
Oct9th 2008 at 6.04 pm.

Tuesday, October 7, 2008

Sudah Tiba Masanya Kerajaan Haramkan Hindraf


Perbuatan mereka bukan sahaja sudah melampau malah sudah `mencucuk mata'. Sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku, banyak pihak berpendapat sudah tiba masanya kerajaan bertindak tegas mengharamkan Hindraf.

Perbuatan ratusan penyokong Hindu Right Action Force atau nama singkatannya Hindraf menyerbu Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Kabinet pada 1 Syawal lalu bukan sahaja melampau malah biadap kerana bukan sahaja tidak menghormati pemimpin negara malah tidak menghormati majlis keraian agama lain.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, daripada ratusan ahli kumpulan berkenaan, hanya ada seorang yang sudi mengucapkan `Selamat Hari Raya' kepada beliau manakala selebihnya memekik `Hapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri', `Lepaskan Hindraf', `Hapuskan ISA', `Lepaskan Hindraf'.

Ini bukan kali pertama penyokong Hindraf bertindak kurang ajar, malah sebelum ini mereka telah menghantar memorandum kepada kerajaan British membuat fitnah kononnya berlaku penghapusan etnik kaum India di negara ini.

Malah lebih kurang ajar mereka membuat demontrasi menentang kerajaan dan berarak di jalan menimbulkan kekacauan sehingga menyebabkan kerajaan mengambil tindakan tegas menahan lima pemimpin mereka di bawah ISA.

Ramai pihak berpendapat sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas mengharamkan pertubuhan ini sebagaimana kerajaan lakukan dahulu kepada pertubuhan al-Arqam yang mengamalkan ajaran sesat.

Hindraf adalah sebuah pertubuhan haram yang tidak berdaftar dengan pendaftar pertubuhan. Kewujudan mereka ini adalah untuk menimbulkan kacau bilau dalam masyarakat dan mencetuskan ketegangan kaum di negara ini.

Tidak keterlaluan kalau dikatakan, perjuangan Hindraf sama seperti perjuangan Komunis yang menghasut rakyat supaya menentang kerajaan dan mahu mencetuskan suasana tidak selamat di dalam negara.

Ramai pihak berpendapat kalau kerajaan boleh mengharamkan al-Arqam atas nama keselamatan negara mengapa kerajaan tidak boleh mengharamkan Hindraf juga atas nama keselamatan negara?

Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas mengunakan mandat yang diberikan rakyat negara ini dengan mengharamkan Hindraf sebelum orang Melayu bangkit `mengamuk' mengajar penyokong-penyokong Hindraf yang sudah `mencucuk mata' ini.