Tuesday, January 20, 2009

`Orang Melayu Jangan Menang Sorak Kampung Tergadai'


"Seandainya seluruh kampung baru yang mempunyai penduduk kira-kira 47,000 orang diberikan hak milik tanah, kita hanya beri tidak sampai 3,000 ekar," kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin.

Menteri Besar Perak dalam kerajaan campuran Pakatan Rakyat dengan bangga berkata, apa yang dilakukannya adalah untuk kebaikan rakyat dan yakin perkara itu tidak menguris perasaan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Raja Muda, Raja Dr. Nazrin Shah.

Persoalannya sekarang, jika benar apa yang dilakukan itu adalah untuk kebaikan rakyat keseluruhannya, mengapa hanya penduduk Cina di kampung baru diberikan hak milik kekal sedangkan orang Melayu di Perak cuma mendapat hak milik selama 99 tahun sahaja?

Mengapa wujud `double standard' dalam soal pemberian hak milik sedangkan orang-orang Melayu di Perak juga mengundi kerajaan Pakatan Rakyat yang dianggotai oleh Pas, PKR dan DAP sehingga pakatan ini berjaya membentuk kerajaan negeri?

Tidak keterlaluan jika dikatakan inilah `ganjaran' yang paling mahal diberikan oleh kerajaan Pakatan Rakyat kepada orang-orang Melayu di Perak yang mengundi Pas, PKR dan DAP sehingga membolehkan mereka membentuk kerajaan menumbangkan kerajaan BN dalam pilihan raya umum lalu.

Umum mengetahui kerajaan Pakatan Rakyat Perak hari ini ditadbir oleh oleh pemimpin-pemimpin DAP yang jelas menentang DEB dan Negara Islam.

Menteri Besar, Mohamad Nizar hanyalah boneka DAP yang tidak mempunyai kuasa mutlak dalam kerajaan negeri kerana daripada 10 orang Exco, 6 orang DAP, 2 PKR dan 2 Pas.

Lebih malang lagi, 7 Exco bukan Melayu dan hanya 3 Exco Melayu dalam kerajaan negeri Perak.
Justeru itu, tidak hairanlah jika Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah ketika menutup Kongres Ekonomi Islam Ketiga di Kuala Lumpur baru-baru ini dalam nada sebak mengzahirkan teguran terhadap rancangan penempatan semula kampung baru pada tahun 1950 yang dianggap mencuri hak tanah kepunyaan Melayu.

Baginda bertitah, penempatan semula melalui Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney itu telah menimbulkan rasa kurang senang raja-raja Melayu.

Penempatan semula kampung-kampung baru untuk hampir setengah juta orang Cina di zaman darurat dulu adalah berupa pencerobahan dan mencuri hak tanah orang Melayu.

Titah baginda yang penuh sinis ini adalah merujuk kepada tindakan kerajaan Perak yang didokongi oleh DAP pada hari ini yang mendiskriminasi orang-orang Melayu tetapi memberi keistimewaan kepada bukan Melayu.

Wednesday, January 14, 2009

PAS Di Mata Anwar


13 tahun dulu (1996) ketika dalam UMNO dan Kerajaan BN, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam pemimpin Pas suka memaki hamun orang lain dan menyarankan supaya Pas menukar nama yang lebih sesuai dengan sikap pemimpin mereka.

"Sesetengah pemimpin Pas jelas tidak mencerminkan cara berpakaian dan tawaduk mereka," kata Anwar pada Perhimpunan Pemimpin Bersama Rakyat di Kuala Kedah, Kedah pada 21 Januari 1996.

Tetapi itu dulu, kini (2009), Anwar `menjilat balik ludah' yang dibuatnya kepada pemimpin Pas manakala Pas yang dipimpin oleh Datuk Seri Hadi Awang boleh menerima Anwar dalam Pakatan Pembangkang walaupun partinya pernah dimaki hamun oleh Anwar sebelum ini.

Kerana sedikit kuasa Pas mudah lupa. Kerana mahu mengejar kuasa Pas boleh `berkompromi' dengan DAP dalam isu hudud dan undang-undang Islam. Mana dia perjuangan dan semangat Islam sejati Pas?

Apakah Pas hanya berperanan menjadi batu loncatan kepada Anwar yang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri manakala Lim Kit Siang akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri?

Di manakah kedudukan Hadi apabila Pakatan pembangkang berjaya memerintah negara ini? Pas hanya akan menjadi `penonton' dan akan terus menjadi alat Anwar dan DAP.

Thursday, January 8, 2009

`Kerja Sial' Sesiapa Yang Hendak Melaga-lagakan DAP dan PAS - Anwar


"Langkah mayat saya dahulu jika Pas mahu melaksanakan hukum hudud" kata Pengerusi DAP Karpal Singh mengulas rancangan Pas yang mahu melaksanakan hudud jika pakatan pembangkang memerintah negara ini.

"Pas akan tetap melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang berjaya mengambil alih kerajaan" kata Husam Musa dalam satu forum di hadapan 3,000 penyokong Pas di Kota Bharu baru-baru ini.

Kenyataan kedua-dua pemimpin pembangkang ini tidak diputar belit oleh media atau mana-mana pihak malah kedua-dua pemimpin pembangkang ini tetap dengan pendirian masing-masing.

Jadi siapa yang hendak melaga-lagakan Pas dan DAP seperti yang didakwa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai membuat `kerja sial' ketika berceramah di Kampung Tanjung tepi muara Kuala Terengganu semalam.

Siapa yang sebenarnya buat `kerja sial' apabila di sebelah siang berceramah di hadapan orang Cina dan India mahu menghapuskan hak keistimewaan Melayu tetapi apabila malam berceramah di hadapan orang Melayu mencerca orang Cina dan India sebagai kaum yang diberi `betis hendakkan peha'?

Rakyat masih ingat semasa di dalam UMNO, Anwar paling lantang mengkritik Pas kerana mahu melaksanakan undang-undang Islam jika memerintah negara malah menyelar pemimpin Pas seperti Hadi Awang dan Nik Aziz sebagai memperalatkan agama untuk kepentingan diri dan peribadi.

Rakyat juga masih ingat semasa di dalam UMNO, Anwarlah yang menjadi hero membelasah pemimpin DAP seperti Karpal Singh dan Lim Kit Siang tetapi apabila membentuk pakatan pembangkang, tiba-tiba Anwar menjadi hero kesayangan Pas dan DAP.

Pas boleh mengenepikan matlamat mahu menubuhkan negara Islam kerana DAP tidak bersetuju. Itulah politik. Hari ini musuh tetapi esok menjadi kawan. Siapa sangka Pas boleh bersekongkol dengan DAP yang terang-terang menolak Islam tetapi hari ini bendera Pas dan DAP boleh digantung dan berkibar bersama di Kuala Terengganu.




Monday, January 5, 2009

Calon PAS Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu: Hadi Tolak Calon Pilihan Nik Aziz


Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mempunyai sebab untuk terasa hati dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang - calon pilihannya Mohamad Sabu tidak dipilih sebagai calon Pas dalam Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu.

Tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang membuat pengumuman awal telah sebulat suara memilih Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon.

Pemerhati politik melihat kalau dalam soal memilih calon pemimpin Pas tidak sependapat, bagaimana mereka mahu menyakinkan pengundi Kuala Terengganu bahawa pemilihan Abdul Wahid Endut sebagai calon Pas adalah pilihan yang tepat?

Pas telah berpecah kepada dua puak dalam menentukan siapakah calon parti itu yang akan bertanding menentang BN pada 17 Januari ini. Golongan ulama (lama dan tua) yang diketuai oleh Nik Aziz mahu Mat Sabu dicalonkan manakala golongan muda dan ahli korporat atau lebih dikenali sebagai kumpulan Erdogan yang didokong oleh Timbalan Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa mahu Dr. Syed Azman dipilih sebagai calon.

Namun begitu, Presiden Pas memilih `jalan tengah' dengan memilih ADUN Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut sebagai calon yang sekaligus telah mengenepikan Nik Aziz dan sebagai pemimpin tertinggi Pas beliau langsung tidak diajak berbincang dalam membuat keputusan yang penting ini.

Berbanding dengan Hadi yang gagal menawan Terengganu dalam PRU12, Nik Aziz adalah pemimpin yang sangat dihormati di dalam Pas. Sebagai pemimpin bertaraf ulama, kejayaannya mengekalkan pemerintahan Pas di Kelantan sehingga hari ini diiktiraf bukan sahaja oleh pemimpin parti itu malah ahli-ahli Pas di seluruh negara.

Justeru itu pemerhati politik melihat, tindakan Hadi mengenepikan Nik Aziz yang langsung tidak dibawa berbincang dalam soal memilih calon sangat tidak kena dan mengecewakan ahli-ahli Pas di seluruh negara.

Bagi rakyat dan pengundi di Kuala Terengganu, kalau dalam soal memilih calon Pas tidak sebulat suara dan berpuak-puak, bagaimana calon itu boleh diharapkan untuk memperjuangkan nasib mereka nanti.

Sudah tentu pengundi di Kuala Terengganu hendakkan calon yang mendapat sokongan kuat daripada partinya dan calon BN Wan Ahmad Farid adalah dari parti pemerintah yang sudah terbukti kepimpinannya di Kuala Terengganu.