Monday, January 5, 2009

Calon PAS Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu: Hadi Tolak Calon Pilihan Nik Aziz


Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat mempunyai sebab untuk terasa hati dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang - calon pilihannya Mohamad Sabu tidak dipilih sebagai calon Pas dalam Pilihanraya Kecil Kuala Terengganu.

Tidak seperti Barisan Nasional (BN) yang membuat pengumuman awal telah sebulat suara memilih Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calon.

Pemerhati politik melihat kalau dalam soal memilih calon pemimpin Pas tidak sependapat, bagaimana mereka mahu menyakinkan pengundi Kuala Terengganu bahawa pemilihan Abdul Wahid Endut sebagai calon Pas adalah pilihan yang tepat?

Pas telah berpecah kepada dua puak dalam menentukan siapakah calon parti itu yang akan bertanding menentang BN pada 17 Januari ini. Golongan ulama (lama dan tua) yang diketuai oleh Nik Aziz mahu Mat Sabu dicalonkan manakala golongan muda dan ahli korporat atau lebih dikenali sebagai kumpulan Erdogan yang didokong oleh Timbalan Presiden Pas, Nasaruddin Mat Isa mahu Dr. Syed Azman dipilih sebagai calon.

Namun begitu, Presiden Pas memilih `jalan tengah' dengan memilih ADUN Wakaf Mempelam, Abdul Wahid Endut sebagai calon yang sekaligus telah mengenepikan Nik Aziz dan sebagai pemimpin tertinggi Pas beliau langsung tidak diajak berbincang dalam membuat keputusan yang penting ini.

Berbanding dengan Hadi yang gagal menawan Terengganu dalam PRU12, Nik Aziz adalah pemimpin yang sangat dihormati di dalam Pas. Sebagai pemimpin bertaraf ulama, kejayaannya mengekalkan pemerintahan Pas di Kelantan sehingga hari ini diiktiraf bukan sahaja oleh pemimpin parti itu malah ahli-ahli Pas di seluruh negara.

Justeru itu pemerhati politik melihat, tindakan Hadi mengenepikan Nik Aziz yang langsung tidak dibawa berbincang dalam soal memilih calon sangat tidak kena dan mengecewakan ahli-ahli Pas di seluruh negara.

Bagi rakyat dan pengundi di Kuala Terengganu, kalau dalam soal memilih calon Pas tidak sebulat suara dan berpuak-puak, bagaimana calon itu boleh diharapkan untuk memperjuangkan nasib mereka nanti.

Sudah tentu pengundi di Kuala Terengganu hendakkan calon yang mendapat sokongan kuat daripada partinya dan calon BN Wan Ahmad Farid adalah dari parti pemerintah yang sudah terbukti kepimpinannya di Kuala Terengganu.

1 comment:

yusof said...

Pertama kali dalam sejarah pembentukan fungsi pentadbiran atau politik, pembangkang meraih kemewahan di dalam menghadapi piliharaya kecil di KT, lexurous election for PK, jadi mereka boleh menggunakan apa-apa isu pun, lama, lapuk, baru, global,analogi apa-apa pun, yang lebih tertekan ialah BN dan UMNO.