
Pengarah Pilihan Raya PKR, Saifuddin Nasution mengakui memang wujud pertemuan dua orang pemimpin tertinggi parti itu berjumpa dengan calon bebas Dun Penanti, Aminah Abdullah tetapi mereka bukannya mewakili PKR.
Menurut Saifuddin lagi, perbualan dua ahlinya itu sebagaimana yang dirakam oleh Aminah tidak mewakili PKR sebaliknya mewakili individu itu sendiri.
Yang menariknya, dua individu yang dimaksudkan oleh Pengarah Pilihan Raya PKR ini bukanlah ahli biasa tetapi pemimpin tertinggi PKR yang memegang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi Pimpinan PKR Pusat dan Pegawai Khas kepada seorang Exco PKR kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Aminah yang juga bekas Ketua Pergerakan Wanita PKR Pulau Pinang
membuat pendedahan PKR menawarkan wang sebanyak RM80,000, jawatan Yang DiPertua Majlis Perbandaran Pulau Pinang jika beliau menarik diri daripada bertanding sebagai calon bebas dan jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 jika beliau terus bertanding dan menang.
Dakwaan Aminah ini adalah serius dan beliau tentunya mempunyai bukti yang kukuh membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
PKR di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini dengan nada angkuh berkata penubuhan parti itu adalah untuk menegakkan keadilan dan menghapuskan rasuah.
Penglibatan dua pemimpin tertinggi parti itu yang berjumpa dengan Aminah sudah tentu menjadi tanda tanya bukan sahaja kepada pengundi di Dun Penanti malah kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.
Apakah PKR cakap serupa bikin atau apakah tawaran Rasuah sudah menjadi sebahagian daripada strategi dalam jentera Pilihan Raya PKR untuk menang dalam sesuatu pilihan raya?
Kalau itu yang berlaku rakyat bertanya apakah layak Anwar untuk duduk bersama-sama dengan Mursyidul Am Pas, Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang amat benci kepada Rasuah?