Tuesday, March 31, 2009

Pengundi Bukit Gantang Tolak Calon Wayang Kulit


Disuruh bercakap Nizar bercakap, disuruh diam Nizar diam dan lebih memalukan disuruh mohon derhaka kepada Sultan, Nizar berkata "Patik Mohon Sembah Derhaka Kepada Tuanku". Itulah nasib Pak Dogol dalam pentas wayang kulit yang dikawal oleh Tok Dalang yang mempunyai kuasa seratus peratus untuk mengawal pergerakan dan percakapannya.

Semua orang tahu, bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin (Calon PKR Parlimen Bukit Gantang) tidak ubah seperti watak Pak Dogol dalam wayang kulit manakala Tok Dalangnya adalah Datuk Ngeh, Pengerusi DAP Perak.

Walau pun sudah tidak berkuasa di negeri Perak, Nizar masih lagi menjadi alat kepada Ngeh dan ini terbukti apabila Nizar yang dicadang oleh Ngeh telah dipilih sebagai calon PKR di Bukit Gantang. Nik Aziz yang pada mulanya tidak bersetuju Nizar bertanding di Bukit Gantang telah menukar pendirian bagi menghormati DAP yang kini telah menjadi teman tidur sebantal.

Ngeh memerlukan orang serupa Nizar untuk dijadikan alat dan sebagai jambatan kepada DAP mencapai cita-cita politik sempit mereka. Rakyat tahu, selama 10 bulan memerintah Perak Nizar hanyalah berperanan seperti Pak Dogol yang menurut apa sahaja arahan Ngeh termasuk memberi hak milik tanah selama 999 tahun kepada penyokong DAP di Kampung Baru yang melukakan hati orang Melayu di negeri itu.

Sudah tiba masanya rakyat terutama pengundi di Bukit Gantang tolak calon wayang kulit kerana pengalaman memerintah Perak selama 10 bulan menunjukkan Nizar hanyalah berperanan seperti Pak Dogol manakala Tok Dalangnya ialah Ngeh.

Monday, March 23, 2009

Fairus - Sambung Belajar Atau DiPecat?


Rakyat Pulau Pinang rasa pelik mengapa tiba-tiba sahaja Mohamad Fairus Khairuddin hendak pergi sambung belajar sehingga terpaksa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1!

Rakyat bertanya, apakah kelulusan yang beliau ada tidak cukup untuk melayakkannya menjadi Timbalan Ketua Menteri sehingga terpaksa meletakkan jawatan bagi menyambung pelajaran di luar negara?

Hakikatnya, Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Anwar Ibrahim boleh memberi apa sahaja alasan tetapi sebenarnya rakyat tahu ada sebab lain yang menyebabkan Fairus terpaksa meletakkan jawatan dan bukannya kerana pergi menyambung pelajaraan.

Selepas sahaja tersiar di TV3 pendedahan yang dibuat oleh seorang pemimpin PKR mengenai penyelewengan dan rasuah yang melibatkan seorang pemimpin kanan PKR mengenai isu kuari , Fairus tiba-tiba sahaja meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 dengan alasan mahu menyambung pelajaran.

Anwar sering mengecam pemimpin UMNO dan BN kononnya mengamalkan rasuah tetapi penyelewengan dan rasuah yang berlaku dalam PKR Anwar sapu di bawah karpet.

Tetapi rakyat bukannya bodoh. Rakyat Pulau Pinang tahu Fairus terpaksa meletak jawatan bukannya kerana mahu menyambung belajar tetapi sebenarnya beliau `dipecat' bagi menutup pekung dalam PKR dan kerajaan Pakatan Rakyat?

Monday, March 16, 2009

Gobind Singh Bertemu `Buku Dengan Ruas'


"Kerana pulut santan binasa kerana mulut badan binasa" - perumpamaan ini sesuai ditujukan kepada Ahli Parlimen kawasan Puchong, Gobind Singh Deo yang digantung selama 12 bulan atas kesalahan menghina Dewan Rakyat.

Kelancangan mulut anak Karpal Singh ini yang berselindung di sebalik immuniti dalam Parlimen telah memakan diri apabila Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyetujui usul yang dibawa oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Tan Sri Aziz di bawah Perkara 27(3) Peraturan Tetap Dewan Rakyat dan apabila diundi lebih bersuara yang bersetuju.

Gobind digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama setahun setelah didapati mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghina Timbalan Speaker yang memerintahkannya keluar Dewan hari Khamis lalu.

Gobind juga dengan biadap telah membuat tuduhan tidak berasas dengan menuduh Timbalan Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak terlibat dalam kes pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shariibu sedangkan beliau tahu kes ini sedang dibicarakan di mahkamah.

Banyak pihak menyambut baik pergantungan Ahli Parlimen Puchong ini yang bukan sahaja sudah keterlaluan malah bersikap kurang ajar. Baru setahun jagung menjadi Ahli Parlimen, Gobind yang mewarisi kebiadapan bapanya berkelakuan seperti `kera mendapat bunga' mengunakan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen memaki hamun dan membuat tuduhan tidak berasas terhadap pemimpin negara.

Gobind umpama `pemain baru' yang masih mentah dan tidak faham dengan peraturan dalam Bola Sepak. Sebagai pemain lama, Karpal Singh sepatutnya mengajar anaknya supaya jangan terkena `kad merah' kerana pengadil (Speaker) mempunyai kuasa mengeluarkan Gobind dari permainan.

Karpal sepatutnya mengunakan pengalamannya dulu yang pernah dibuang padang dan tidak dibenar hadir sidang Parlimen dalam jangka masa yang lama satu ketika dahulu.

Tetapi nasi sudah menjadi bubur. Gobind digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama 12 bulan dan pergantungan Gobind ini menjadi satu pengajaran kepada Ahli Parlimen daripada parti pembangkang supaya jangan bersikap biadap dan keterlaluan.

Walaupun berselindung di sebalik kekebalan sememangnya mereka tidak kebal kerana jika didapati bersalah masih ada peraturan dalam Parlimen yang boleh mengeluarkan mereka daripada padang permainan.

Wednesday, March 11, 2009

Anwar Gigit Jari - Najib Serlah Kewibawaan Sebagai Bakal Perdana Menteri


Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin `mengigit jari' dan boleh melupakan hasrat untuk menjadi Perdana Menteri kerana Dato' Sri Najib Tun Haji Abdul Razak yang akan ditabalkan sebagai Perdana Menteri selepas Perhimpunan Agung UMNO pada 24 Mac - 28 Mac 2009 sudah bersedia untuk mengalas tugas sebagai orang nombor satu dalam negara.

Pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM60 bilion yang diumumkan dalam Bajet Mini di Dewan Rakyat petang semalam dilihat oleh banyak pihak menyerlahkan kewibawaan Najib sebagai Menteri Kewangan dan bakal Perdana Menteri mengantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Pakej RM60 bilion yang menjangkau lebih banyak sektor ekonomi sebagai kumpulan sasaran termasuk pekerja, pengguna, pelabur, peniaga kecil dan sederhana, pengeksport dan graduan menganggur dilihat oleh banyak pihak sebagai keazaman kerajaan yang bakal dipimpin oleh Najib untuk keluar daripada krisis ekonomi yang melanda dunia.

Pakej rangsangan yang memberi tumpuan kepada empat teras iaitu mengurangkan pengangguran dan menambah peluang pekerjaan sebanyak (RM2 bilion), meringankan beban rakyat terutama golongan mudah terjejas sebanyak (RM10 bilion), membantu sektor swasta menghadapi krisis sebanyak (RM29 bilion) dan membina keupayaan masa depan sebanyak (RM19 bilion) dilihat oleh pakar ekonomi sebagai cukup bijak dan tepat pada masanya kerana ia mengurangkan bebanan yang dihadapi oleh rakyat dan sektor perniagaan.

Malaysia tidak terkecuali terkena bahang daripada krisis ekonomi yang melanda dunia hari ini di mana banyak kilang ditutup, perniagaan merosot dan ramai pekerja menganggur. Rakyat sudah muak dengan krisis politik dan mengharapkan pembangkang bersama dengan kerajaan berganding bahu dan duduk semeja mencari jalan menghadapi krisis ekonomi yang melanda.

Rakyat juga sudah bosan dengan retorik politik yang dimainkan oleh pemimpin pembangkang yang banyak bercakap dan hanya tahu mencari salah kerajaan tetapi kurang bekerja terutama di negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat.

Rakyat mengharapkan Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Anwar supaya melupakan sekejap persengketaan politik dengan kerajaan BN dan memberi fokus membantu kerajaan yang akan dipimpin oleh Najib mengatasi krisis ekonomi sebagaimana yang mereka lakukan memberi sokongan sebulat suara dalam isu Palestin di Dewan Rakyat tempoh hari.

"Kita perlu peka kepada saranan rakyat yang semakin lantang dan kerap diutarakan supaya kerajaan dan pembangkang memberi fokus kepada ekonomi dan rakyat.

"Ya benar, kita di negara ini kini sedang berbeza pendapat tentang politik di sana sini. Namun, besar harapan semua, bila berdepan dengan ribut ekonomi yang melanda, kita akan sentiasa sepakat sekata, sederap usaha, memikir melaksana apa yang terbaik untuk rakyat jelata," kata Dato' Sri Najib ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi kedua dalam Bajet Mini di Dewan Rakyat petang semalam.

Friday, March 6, 2009

Tidak Memihak Pembangkang - Tidak Perlu Terima Court Order


Karpal: Ignore Court Order

KUALA LUMPUR: The Perak Pakatan Rakyat lawmakers can ignore the Ipoh High Court order declaring the emergency state assembly meeting held under a tree on Tuesday as illegal, said DAP chairman and veteran lawyer Karpal Singh.

"The High Court decision is a contempt of the state assembly as it had acted out of its jurisdiction... the decision itself is debatable. It can't interfere in the internal proceedings of parliament of a state assemble," he said at the Parliament lobby yesterday.

Karpal also said the Perak PR leaders should not challenge the court's decision.

"Why challenge something that is non-existent? Ignore the High Court order. It (the order) is null and void and it is not required to be followed," he said.

New Straits Time - Thursday, March 5, 2009.

Komen:

Inilah wajah parti pembangkang di Malaysia. Kalau keputusan mahkamah memihak kepada mereka, mahkamah akan dipuji melangit tetapi jika keputusan sebaliknya mahkamah dituduh tidak adil dan mereka tidak mahu menerima perintah mahkamah.

Pemimpin dan penyokong parti pembangkang bersorak riang apabila Hakim Komala menetapkan bicara kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal di Mahkamah Sesyen. Ketika itu bukan sahaja Anwar malah Karpal memuji Hakim Komala dan yakin sistem kehakiman negara bebas kerana membuat keputusan menyebelahi Anwar.

Dalam kes di Perak, keputusan Mahkamah Tinggi tidak menyebelahi parti pembangkang. Sekali lagi mahkamah dituduh tidak bebas dan tidak adil. Karpal yang sebelum ini memuji Hakim Komala dan yakin dengan sistem kehakiman di negara ini telah menyelar keputusan Mahkamah Tinggi kerana tidak menyebelahi mereka.

Inilah budaya politik baru yang cuba dibawa oleh parti pembangkang - menghasut orang ramai supaya jangan menerima keputusan mahkamah yang tidak memihak kepada mereka. Budaya politik seumpama ini sangat merbahaya jika tidak dicegah kerana boleh menimbulkan keadaan huru hara dalam negara.

Sudah tiba masanya Karpal dikenakan tindakan tegas. Jika Karpal dibiarkan terus membuat kenyataan yang menghasut dan menimbulkan keadaan tegang dalam negara dibimbangi rakyat yang sudah lama bersabar akan bangun bertindak dan keadaan menjadi lebih buruk.

Tuesday, March 3, 2009

Saiful Sihat Walafiat - Pembangkang Makin Tidak Ketahuan


Selepas kes sumpah laknat terhadap Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan difitnah macam-macam. Ada yang membuat fitnah Saiful sakit tenat dan lebih dahsyat ada yang membuat fitnah Saiful telah meninggal dunia kesan sumpah laknat terhadap Anwar.

Ternyata itu semua fitnah. Saiful sihat walafiat. Tetapi yang tidak `sihat' sekarang ini adalah Pakatan Pembangkang yang dipimpin oleh Anwar macam-macam bala yang menimpa.

Selepas tumbang kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, muncul dakwaan anak luar nikah ADUN PKR Bukit Selambau V. Arumugam. Belum reda terkejut, Anwar dikejutkan sekali lagi dengan gambar telanjang ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Pening kepala memikirkan kes liwat yang akan dihadapi di mahkamah, muncul pula kes Khalid, Menteri Besar Selangor yang kini `dikejar Lembu korban' oleh SPRM.

Lebih menyedihkan selepas bersekongkol dengan Anwar, Mursyidul Am Pas Nik Aziz pun jadi bercelaru dan sudah tidak ada kewarasan. Elizabeth bersekedudukan dengan lelaki Islam dibelanya tetapi apabila DAP menghina Raja Melayu, Pas yang diharapkan mempertahankan Raja sebaliknya berdiri di belakang DAP.

Terkini, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, S Sivakumar membuat sidang tergempar di bawah pokok kira-kira 150 meter dari pagar utama Bangunan Perak Darul Ridzwan bersama ADUN pembangkang akibat makin tidak ketahuan.