Tuesday, October 23, 2007

Ada Apa Dengan Reformasi Anwar?

Wednesday, October 17, 2007
http://anwarisme.blogspot.com

Dalam wawancara bersama stesen televisyen al-Jazeera, Anwar Ibrahim ditanya oleh Riz Khamis, mengapa beliau dilihat sebagai "all things to all people or try to please everyone.

"Dengan kata lain, Riz cuba menyoal mengapa terdapat pandangan bahawa perjuangan dan falsafah politik Anwar sentiasa berubah mengikut khalayak. Ini memang diakui oleh ramai pengkaji politik bahawa Anwar mempunyai kebolehan bercakap topik yang sama dengan pendirian berbeza mengikut khalayak beliau.

Malangnya dalam jawapan kepada Riz Khamis, pengacara One on One, Anwar menjelaskan bahawa beliau memetik pandangan-pandangan pemikir dan sasterawan pelbagai kaum sebagai mantera ucapannya sahaja.

Ini bukanlah maksud sebenar pengkritik Anwar mahu pun Riz Khamis. Riz dan ramai lagi orang mahu tahu mengapa Anwar boleh bercakap kepada orang Cina untuk menghapuskan DEB tetapi bercakap kepada orang Melayu mengenai mempertahankan DEB.

Orang mahu tahu mengapa Anwar semasa dalam kerajaan bercakap soal kebebasan media bila berada bersama-sama rakan-rakan sekutu beliau di Amerika, tetapi di dalam negara sendiri beliau menguasai akhbar Utusan, Berita Harian dan TV3 ketika itu?

Komen Sokongan:

Surah Hud ayat 19 bermaksud:

“Orang-orang yang menghalang dirinya sendiri dan orang lain dari jalan agama Allah dan berusaha supaya jalan itu menjadi bengkok terpesong, sedang mereka pula ingkarkan hari akhirat”

Petikan dari Malaysia-Today 25 November 2004 terang-terang menulis bagimana sifat Anwar yang bagaikan “talam dua muka yang cakap tak serupa bikin”:

"Anwar Ibrahim yang sekian lama merengkok dalam penjara, kini bebas dan tangkas mengepalai aspirasi rakyat yang mahukan media yang bebas dan terbuka. Dalam ucapan-ucapan pertamanya, terutama kepada media asing, Anwar Ibrahim menggariskan perlunya media Malaysia menempuh zaman baru di mana mereka berani menegur salah dan silap pemimpin atasan.

NAMUN, sejarah membuktikan bahawa Anwar Ibrahim sewaktu berada dalam kerajaan turut menyokong banyak undang-undang yang membelenggu media, termasuk membantu meluluskan Akta Rahsia Rasmi (OSA) yang memandulkan peranan pengkritik bebas.

Anwar Ibrahim turut mendukung tindakan rejim Mahathir membatalkan lesen The Star dan Watan dalam tahun 1987. Para penyokong Anwar termasuk Johan Jaafar (Utusan Malaysia), Nazri Abdullah (Berita Harian), Yunus Said dan Khalid Ahmad (TV3) turut diletakkan di jawatan-jawatan media yang penting bagi mempastikan bahawa berita yang tersiar miring kepada kepentingan politik Anwar Ibrahim."

Malaysiakini.com semalam melaporkan bagaimana Anwar Ibrahim gagal memberi jawapan yang jurus dan lurus terhadap para reformis yang "dijemput khas" (disaring?) untuk ber"dialog" dengan beliau. Komen itu diberikan seorang reformis, yang sudah enam tahun membanting tulang, menggadai maruah dan keselesaan demi Anwar Ibrahim.

Apakah si-polan yang enggan memberi namanya itu juga akan dicap "SB", "penderhaka", "pemfitnah" atau "pemecah-belah"?

Orang ramai mahu tahu mengapa Anwar bercakap kejelikan isu kronisme dan nepotisme kepada masyarakat kewangan antarabangsa (bagi mendapat pujian dan sanjungan) tetapi beliau juga yang mengagihkan saham-saham Hicom sewaktu mahu menjadi Timbalan Presiden UMNO dahulu? Bapa beliau juga, bekas seorang paramedik, telah menjadi Pengerusi IOI sekelip mata dan IOI pula mendapat (dengan bayaran premium) sekian besar tanah di Puchong dan berhampiran Putrajaya.

Orang ramai juga mahu tahu mengapa dua minggu selepas mengisytiharkan Ghafar seumpama bapanya dan tidak akan menentangnya, jentera Anwar sudah bergerak serata negeri bagi menggerakkan sokongan kepada Anwar dalam pemilihan UMNO 1993?Dalam wawancara yang sama, dan juga tulisan beliau di Malaysiakini.com sebelum ini, Anwar mendakwa badan kehakiman negara ini korup dan tidak bebas (dikawal oleh kerajaan).

Komen Sokongan: Dipetik dari Malaysia-Today – 3 Disember 2004

“Sebagai rakyat biasa, saya pernah simpati terhadap nasib yang menimpa Anwar Ibrahim sepanjang enam tahun lepas. Peluh pernah meleleh dari dahi ini untuk menjeritkan laungan-laungan kebebasan. Hati ini pernah marah melihat "mata lebam itu" dan pernah hiba melihat rintihan keluarganya yang terpisah sekian lama.

Namun, taat buta dan taqlid tidak pernah melintasi benak fikiran ini. Malah, perasaan kental menolak sama-sekali persepsi bahawa Anwar Ibrahim tidak boleh ditegur secara terbuka. Reformasi sepatutnya bermakna pemimpin lebih mudah didekati oleh rakyat dan tidak lagi dikawal oleh kelilingan yang menjauhkan rakyat marhaen dan mendekatkan hanya tokeh-tokeh bergelar dan berkepentingan.

Suatu insiden menjadi petunjuk bahawa barangkali impian buruk ini telah menjadi realiti. Dalam perjumpaan terbuka dengan lebih seratus pemimpin kanan PKR beberapa minggu lepas, Anwar Ibrahim menyatakan komitmen beliau terhadap PKR yang dikatakan "parti pilihan masyarakat masa hadapan".

Namun dalam mesyuarat tertutup dengan pemimpin elit PKR, Anwar Ibrahim malah menafikan pernah mengisi borang keahlian PKR. Di Arab Saudi, temuramah Anwar Ibrahim dengan media massa menolak penglibatan dalam PKR kerana kononnya itu hanya parti isterinya.Nah, apakah sewenang-wenangnya kita menerima kenyataan-kenyataan sebegini, apatah lagi setiap ucapan itu disaksikan puluhan, malah ratusan insan yang mampu berfikir sendiri?”

"Abdullah memberi sedikit kebebasan kepada kehakiman dalam mana ada keperluan." kata Anwar kepada al-Jazeera merujuk kepada kepada keputusan penghakiman yang membebaskan beliau.

Bukankah aneh dakwaan ini? Apa sahaja yang menguntungkan beliau maka dianggap keputusan yang adil dan bebas, tetapi apa sahaja yang tidak menguntungkan beliau akan dianggap sebagai tidak bebas.

Bukankah sifat Anwar ini tidak lebih seperti ungkapan Jeneral Rabuka, ketika merampas kuasa di Fiji suatu ketika dahulu, bahawa, "Keadilan dan kebenaran bergantung dari sudut pihak mana anda melihatnya"?

Jika Anwar benar-benar percaya bahawa kehakiman negara tidak bebas dalam membuat keputusan yang adil, maka beliau sepatutnya mengisytiharkan pembebasan beliau juga dilakukan atas arahan pemerintah bukan kerana beliau tidak bersalah.

Malangnya, Anwar tiada keberanian dan semangat perjuangan tulen untuk berkata demikian. Anwar hanyalah oportunis. Beliau akan menerima apa sahaja keadaan yang menguntungkan dirinya. Perjuangan beliau hanyalah kosmetik semata-mata.

Beliau berkata mahukan pembaharuan Keadilan dan Kehakiman tetapi beliau tidak bersedia pun untuk berjuang untuknya jika tiada keuntungan peribadi.Lihat sahaja liku perjuangan Anwar. Beliau akan melupakan perjuangan bila melakukan sebaliknya boleh mencapai keuntungan peribadi.

Beliau tinggal perjuangan Islam beliau kerana ditawar sesuatu oleh UMNO. Dalam UMNO beliau ketepikan Ku Li kerana Mahathir boleh menjanjikan jawatan dan kedudukan yang lebih baik. Beliau hanya berjuang untuk reformasi / pembaharuan hanya apabila ditolak oleh UMNO.

Beliau bercakap soal korupsi dan keadilan hanyalah apabila dipecat dan didakwa di mahkamah. Untuk apa ini jika bukan untuk menyelamatkan dirinya? Berpuluh tahun dalam kerajaan, mengetuai Jawatankuasa Anti Rasuah Kabinet, menjadi pemangku Perdana Menteri Selama dua bulan apa yang dilakukannya? Hanya mencari jalan membunuh musuh politiknya sahaja.

Kini beliau bersama DAP dan Pas kerana parti tersebut memberi keuntungan kepada beliau.

Kini beliau bercakap soal pembaharuan kehakiman dan keadilan (justice) kerana itu modal politik beliau. Jika esok beliau ditawarkan masuk UMNO dengan kedudukan tertentu, pastinya UMNO dan BN akan menjadi baik segalanya. Maka bercakaplah beliau soal penyatuan Melayu, kepentingan orang Melayu dan Islam sederhana.

Maka apa ada dengan reformasi Anwar? Semuanya ciptaan beliau untuk diri sendiri.

No comments: