Thursday, August 28, 2008

16 September Bentuk Kerajaan - Anwar Bermimpi Di Siang Hari!

Rakyat Malaysia yang cintakan negara tentu mengingati tarikh 16 September 1963 iaitu hari yang bersejarah penubuhan negara Malaysia di mana pada tarikh itu Sabah, Sarawak bersama dengan Singapura telah menyertai Tanah Melayu.

Barangkali bagi penyokong dan pendokong parti pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang masih lagi teruja dengan kemenangan di Permatang Pauh, ada tarikh yang lagi bersejarah pada 16 September ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri.

Hari ini (28 Ogos) selepas mengangkat sumpah di Dewan Rakyat, bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat ini sekali lagi mengulangi `skrip boria' kononnya lanskap politik negara akan bertukar pada 16 September 2008.

Ini bermakna ada lagi 19 hari Anwar akan menjadi Perdana Menteri? Maka rakan rakan sekutu dan juak-juak dalam Pakatan Rakyat mulalah memasang angan-angan untuk dilantik di dalam kabinet.

Persoalan sekarang bagaimana Anwar hendak menjadi Perdana Menteri kerana kedudukan di dalam Parlimen hari ini ialah Pakatan Rakyat hanya mempunyai 81 kerusi dan satu kerusi bebas. Manakala Kerajaan Barisan Nasional (BN) ada 140 kerusi.

Ini bermakna perbezaan antara Pakatan Rakyat dengan kerajaan BN ialah 59 kerusi. Bagaimana hebatnya Anwar bermain silap matapun 140 - 81 jawapannya 59.

Perbezaan 59 kerusi bukanlah satu jumlah yang sedikit dan perlu diperolehi melalui saluran yang sah iaitu melalui pilihanraya umum atau pun pilihanraya kecil. Anwar memerlukan 30 Ahli Parlimen BN melompat parti bagi membolehkannya membentuk kerajaan dengan majoriti 2 kerusi termasuk bebas.

Jika mahu pun menjadi Perdana Menteri jadilah Perdana Menteri yang bermaruah. Bertandinglah secara `gentleman' tunggulah pilihanraya umum akan datang dan biar rakyat membuat keputusan.

Perbuatan memancing dan merasuah wakil daripada parti lawan semata-mata mahu mencapai cita-cita untuk menduduki kerusi empuk di Putrajaya adalah perbuatan rasuah yang haram di dalam Islam.

Bukankah Anwar melaungkan mahu menghapuskan rasuah, menentang kemungkaran dan penyelewengan tetapi mengapa apabila mahu mencapai cita-cita peribadi sudah tidak kenal halal dan haram?

Hakikatnya tidak ada seorang pun Ahli Parlimen daripada BN termasuk di Sabah dan Sarawak yang akan melompat parti. Ahli Parlimen daripada BN cukup bermaruah, berhemah tinggi dan setia kepada parti dan negara.

Ahli Parlimen BN walau pun kadangkala berbeza pendapat tetapi akan bersatu hati, berpadu tenaga seia sekata bagi mempertahankan BN menentang musuh yang mahu menganggu gugat.

Hakikatnya sekarang ini Anwar berada dalam keadaan resah dan gelisah kerana tempoh 16 September hanya ada 19 hari lagi.

Rakyat Malaysia di seluruh negara termasuklah penyokong dan pendokong PKR yang taksub kepada Anwar kini sedang menunggu tarikh 16 September untuk melihat idola mereka menjadi Perdana Menteri atau sebenarnya ini adalah `AUTA' Anwar yang sebenarnya hanya bermimpi di siang hari.

Sunday, August 24, 2008

Sebab Anwar Tidak Mahu Bersumpah

Berikut adalah Wawancara Mingguan Malaysia bersama seorang tokoh agama, Dr. Mohd Radzi Othman, Pensyarah Jabatan Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM) yang dsiarkan pada Ahad 24 Ogos 2008.

Beliau merupakan pakar bidang hadis, dakwah dan usuluddin memperolehi Ijazazah Sarjana Muda, Sarjana dan Ijazah Kedoktoran dari Universiti Madinah, Arab Saudi.

AKIBAT TAK SAHUT SUMPAH

Soalan: Bagaimanakah cara bersumpah yang sah dan betul?

DR. MOHD RADZI: Bersumpah dengan menyebut nama Allah. Waallahi, Wabillahi dan Wataallahi. Ini lafaz-lafaz sumpah. Lafaz ini hanya digunakan pada perkara-perkara untuk mengukuhkan kebenaran dan dakwaan supaya pihak kedua boleh menerimanya.

Soalan: Sumpah Laknat yang berlaku baru-baru ini, apa kedudukannya dalam Islam?

DR. MOHD RADZI: Sumpah yang semacam itu dikenali sebagai mubahalah iaitu bermakna saling melaknat sesiapa yang berbohong antara kedua-dua belah pihak, termasuk orang yang bersumpah. Sumpah laknat melibatkan orang yang bersumpah itu sendiri. Andai kata apa yang disumpah tidak betul, sesuatu yang batil, ertinya orang yang bersumpah juga termasuk dalam mereka yang dilaknat dalam sumpahan itu. Tapi perkara ini jarang berlaku.

Soalan: Sumpah Laknat atau mubahalah yang dilakukan pada 15 Ogos lalu, apakah balasan-balasan yang boleh berlaku?

DR.MOHD RADZI: Hanya Allah yang tahu. Antara yang mungkin boleh berlaku seperti kematian secara mengejut atau sakit berpanjangan atau lain-lain. Sumpah biasa sekalipun, kalau tidak benar, ia sudah merupakan satu dosa besar dan orang yang berdusta perlu bertaubat. Mubahalal tentulah lebih serius kerana ia bermaksud laknat Tuhan iaitu dijauhkan daripada rahmat Tuhan. Jadi bila kita dijauhkan daripada rahmat Tuhan, rahmat siapa lagi yang kita harapkan?

Dalam Mubahalah, kita dijanjikan dengan balasan laknat. Ia boleh berlaku dalam pelbagai bentuk iaitu laknat Allah, laknat Nabi dan laknat orang mukminin. Maknanya sumpah itu, meminta pihak yang berkenaan dijauhkan daripada rahmat Tuhan.

Manusia dinaungi rahmat Tuhan dan Tuhan yang memberikan rahmat kepada sesiapa yang dikehendakinya, tidak kira Islam dan bukan Islam. Dalam sumpah laknat, rahmat itu akan dijauhi daripada orang yang berdusta.

Soalan: Dalam sesuatu isu yang dipertikaikan, kalau satu pihak sahaja bersumpah laknat manakala satu pihak yang dituduh tidak mahu bersumpah, apakah kedudukan mubahalah itu?

DR. MOHD RADZI: Dalam kes sebegitu di mana ada pihak yang engkar iaitu tidak mahu bersumpah, kebenaran memihak kepada pihak yang bersumpah.

Soalan: Kalau kedua-dua yang menuduh dan dituduh bersumpah laknat, apa pula kedudukannya?

DR. MOHD RADZI: Dalam kes sumpah laknat, kita akan dapat lihat petanda-petanda awal yang boleh membawa kepada kebatilan. Sumber-sumber agama tidak menyebut secara jelas tentang petanda-petanda yang berkenaan kerana perkara seumpama itu jarang berlaku di kalangan kita pengikut Ahli Sunah Wal Jamaah dan ia tidak diperbesar-besarkan.

Bagaimanapun, ulama-ulama Syiah mencatatkan bahawa tidak lama selepas mubahalah berlaku kejadian seperti orang yang berdusta tidak boleh bercakap, cakapnya tidak lancar, tergaman, terjatuh dan bermacam-macam lagi. Sejauh mana kebenarannya tidak pula diketahui.

Apa yang penting ialah pihak berkenaan telah bersumpah dan yang kedua pula menyahut cabaran itu dengan bersumpah, jadi kita tengoklah diantara kedua belah pihak itu apa yang akan berlaku. Ulama Ibn Hajar Al Salam as Qualani pernah berkata, pada pengetahuannya, akibat sumpah akan dapat dilihat tidak lebih daripada satu tahun.

Komen:

Daripada penjelasan di atas, fahamlah kita mengapa Datuk Seri Anwar tidak mahu bersumpah. Selepas mubahalah (bersumpah laknat) mereka yang berdusta tidak boleh bercakap, cakapnya tidak lancar, tergaman, terjatuh dan bermacam-macam lagi.

Menurut Dr. Mohd Radzi, andai kata apa yang disumpah tidak betul, sesuatu yang batil ertinya orang yang bersumpah juga termasuk dalam mereka yang dilaknat dalam sumpahan itu.

Berani kerana benar takut kerana salah. Apakah Anwar sudah tahu risiko yang akan beliau tanggung jika beliau bercakap bohong? Atau apakah Anwar sudah dinasihat oleh alim ulama supaya jangan mengambil risiko untuk bersumpah jika beliau berada dipihak yang bersalah?

Saiful berani bersumpah laknat kerana merasakan dirinya berada dipihak yang benar dan teraniaya. Saiful sudah tahu risiko yang akan beliau tanggung jika beliau berbohong, bukan sahaja dirinya malah seluruh keturunannya akan menerima laknat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah bersumpah di Masjid Jamek Guar Perahu, Permatang Pauh bahawa beliau tidak mengenali perempuan yang bernama Altantuya Shaariibuu.

Datuk Seri Najib bersumpah "Dengan nama Allah, Waallahi, Wabillahi, Wataallahi, saya tidak mengenali wanita yang bernama Altantuya Shaariibuu yang dikaitkan dengan saya oleh mereka yang terbabit".

Beliau berani bersumpah kerana berada dipihak yang benar dan mahu membersihkan namanya setelah diserang secara peribadi berulang kali oleh Anwar dalam kempen pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Persoalan sekarang ini yang bermain di minda rakyat Malaysia ialah, "Mengapa Anwar boleh berceramah selama sejam tetapi takut untuk bersumpah selama 10 minit".

Fikirkanlah dan bukakan minda....


Monday, August 18, 2008

Orang Permatang Pauh Mahu Anwar Bersumpah

Anwar juga perlu bersumpah - Mufti Perlis

Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainal Abidin menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim juga melakukan mubahalah bagi menghilangkan keraguan orang ramai terhadap beliau selepas pembantunya bersumpah diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

"Jika Anwar juga bersumpah laknat seperti itu, maka jadilah mubahalah dan kita akan lihat hukuman Tuhan nanti", katanya.

Menurutnya, oleh kerana Mohd. Saiful Bukhari Azlan sudah bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, bagi menghilangkan keraguan tersebut Anwar yang didakwa meliwatnya juga perlu bersumpah laknat.

Dr. Mohd Asri menyifatkan Mohd Saiful menanggung risiko yang besar apabila membuat mubahalah atau sumpah laknat yang mendakwa beliau diliwat oleh Anwar.

Menurutnya, bekas pembantu peribadi Anwar itu akan menghadapi laknat Allah jika dia berbohong dan akan selamat kalau dia bercakap benar.

"Saya terkejut dengan keberaniannya bermubahalah tetapi dia sebenarnya menanggung risiko yang amat besar.

"Jika dia berbohong, banyak kelaknatan akan diturunkan Allah kepadanya," kata beliau.

Mufti Perlis itu ialah tokoh agama yang mencetuskan cadangan supaya Anwar dan Mohd Saiful melakukan mubahalah.

Dr. Mohd Asri bagaimanapun berkata, keberanian Mohd Saiful melafazkan sumpah laknat tersebut menunjukkan pemuda itu yakin dengan apa yang didakwanya.

"Tetapi dia juga perlu faham akan kesan sumpah yang dibuatnya jika dia berbohong".

Komen:

Anwar sudah membuat kenyataan beliau tidak akan bersumpah bimbang kononnya sumpahnya itu akan dimanipulasi.

Beliau mendakwa sumpah yang dilakukan bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan mahu menafikan peluangnya memenangi pilihanraya kecil kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Sekali lagi Anwar memberi alasan yang sama bimbang `dimanipulasi'.
Sebelum ini Anwar juga enggan menjalani ujian DNA bimbang hasil ujian itu akan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

Anwar tidak yakin kepada pihak berkuasa boleh berlaku adil kepadanya. Tetapi adakah Anwar juga tidak yakin kepada KEESAAN ALLAH.

Seperti kata Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mohd Saiful menanggung risiko yang besar apabila membuat sumpah laknat kerana jika dia berbohong banyak kelaknatan akan diturunkan Allah kepadanya.

"Saya terkejut dengan keberaniannya bermubahalah tetapi dia sebenarnya menanggung risiko yang amat besar," kata Dr Asri.

Oleh itu bagi menghilangkan keraguan orang ramai terhadapnya Anwar juga perlu melakukan mubahalah (sumpah) bahawa beliau benar-benar tidak bersalah.

Persoalan yang bermain di fikiran orang ramai sekarang ialah mengapa Anwar berkeras tidak mahu bersumpah sedangkan beliau boleh berbuat demikian di mana-mana masjid di Permatang Pauh?

Saiful berani bersumpah menunjukkan beliau yakin dengan apa yang didakwanya dan jika Anwar yakin dirinya difitnah tidak ada sebab mengapa beliau tidak boleh menyahut cabaran Saiful.

Sebagai seorang Islam kita dituntut untuk menyerahkan diri kepada yang Maha Esa jika merasakan diri kita difitnah dan dianaiya dan inilah yang dilakukan oleh Saiful.

Jika Anwar merasakan dirinya difitnah dan dianaiya mengapa beliau tidak `menyerahkan diri' kepada Yang Maha Esa dengan bersumpah di mana-mana masjid atas nama Allah beliau tidak meliwat Saiful.

Mengapa mesti berlindung dan memberi berbagai alasan mesti disaksikan oleh ulama seluruh dunia dan sebagainya hanya untuk bersumpah menafikan beliau tidak melakukannya.

Hari ini bukan sahaja rakyat di seluruh negara menunggu Anwar menyahut cabaran Saiful untuk bersumpah di mana-mana masjid malah orang Permatang Pauh juga menunggu Anwar bersumpah laknat bagi menghilangkan keraguan mereka.

Jika Anwar gagal berbuat demikian orang Permatang Pauh terutama pengundi-pengundi Melayu terpaksa memangkah calon BN Ariff Shah kerana mereka tidak mahu seorang yang tidak bermoral menjadi wakil mereka.

Monday, August 11, 2008

Tolak Pemimpin Yang Menjadi Pengkhianat Kepada Bangsa Melayu

Khalid Syor UITM Ambil 10 % Bukan Bumiputera

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor , Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan 10 peratus daripada jumlah semasa koata pelajar di Universiti Teknologi Mara (UITM) dibuka kepada bukan Bumiputera serta pelajar asing.

Abdul Khalid berkata, cadangan itu akan dapat mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tersebut.

Menurut beliau, syor itu juga dianggapnya sebagai wajar dan tepat dengan usaha UITM yang mahu melahirkan pelajar daripada golongan Melayu dan Bumiputera yang berdaya saing.

"UITM perlu bersikap global dalam usaha untuk menentukan siswazahnya lebih mesra dan serasi dengan masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa agar dapat bersaing secara sihat," kata beliau kepada pemberita selepas menyertai `Fun Walk' anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam bersama Adidas di sini hari ini.

Komen:

Malang sungguh nasib orang Melayu di Selangor mendapat Menteri Besar seperti Tan Sri Khalid Ibrahim.Berfikirnya bukan seperti pemimpin Melayu tetapi pemimpin DAP yang mahu memperjuangkan nasib bukan Bumiputera dan orang asing.

Kenapa Tan Sri Khalid jadi begitu? Ketika memimpin Guthrie beliau adalah antara korporat Melayu yang lantang dan begitu tebal sentimen Melayunya tetapi mengapa setelah menyertai politik dan menjawat jawatan sebagai Menteri Besar beliau menjadi pengkhianat bangsa dan mahu mengambil hak Melayu untuk diberikan kepada kaum lain.

Jawapannya mudah. Hari ini Khalid bukan lagi CEO Guthrie yang bernaung di bawah PNB tetapi Khalid hari ini sudah menjadi Menteri Besar Selangor atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan berkawan dengan DAP. Sebab itu berfikirnya pun sudah menjadi seperti DAP.

Semua orang tahu, di Selangor dalam Pilihanraya Umum ke 12, PKR menang 15 kerusi dan DAP menang 13 manakala Pas menang 6. Khalid dapat jadi MB Selangor setelah berkompromi dengan DAP. Semua orang tahu DAP memperjuangkan Malaysian Malaysia di mana semua rakyat di negara ini mendapat hak yang sama rata dan tidak ada keistimewaan kepada mana-mana kaum.

Buktinya jelas, cadangan supaya UITM membuka 10 % daripada jumlah koata pelajar kepada bukan Bumiputera dan pelajar asing sebenarnya mahu memberi keistimewaan hak yang sama rata kepada semua kaum di negara ini. Inilah perjuangan DAP yang disampaikan melalui Khalid sebagai MB.

Cadangan ini juga membuktikan Khalid sebagai pemimpin Melayu sanggup mengadai hak keistimewaan yang diberikan kepada kaum Melayu dan Bumiputera yang sudah termaktub dalam perlembagaan demi menjaga survival politik PKR.

Bangunlah orang Melayu membetulkan kesilapan yang dibuat dalam PRU ke 12.

Hari ini Majlis Peguam sudah berani membuat forum menyentuh Islam yang membangkitkan kemarahan umat Islam di seluruh negara. Sebelum ini Majlis Peguam membuat forum mempertikai kontrak sosial yang sudah termaktub dalam perlembagaan negara.

Mengapa Majlis Peguam begitu berani mahu mencabar hak keistimewaan orang Melayu yang sudah tercatat dalam perlembagaan negara. Jawapannya, kerana Majlis Peguam melihat orang Melayu lemah dan berpecah seperti yang dilihat dalam Pilihanraya Umum ke 12 baru- baru ini.

Orang Melayu sanggup memberi undi kepada pemimpin DAP sehingga pemimpin Melayu daripada UMNO kalah di kawasan majoritinya Melayu.

Pemimpin DAP seperti Karpal Singh mengunakan kuasa yang diberikan oleh orang Melayu sehingga berani mencabar kuasa Raja Raja Melayu.

Sebelum Pilihanraya Umum ke 12, Karpal Singh tidak sebiadap ini sehingga berani mempertikai teks ucapan Yang DiPertuan Agong ketika merasmikan penggal Parlimen baru-baru ini.

Bangkitlah orang Melayu membetulkan keadaan. PKR diperalatkan oleh DAP untuk menghapuskan hak keistimewaan kaum Melayu dan Bumiputera secara perlahan-lahan di negara ini.

Kalau dibuka koata untuk bukan Bumiputera dan pelajar asing di UITM dimanakah lagi benteng dan simbol kekuatan Melayu? Hanya UITM satu-satu institusi pengajian tinggi yang telah melahirkan ramai profesional dan pemimpin politik berwibawa belum ditembusi oleh bukan Bumiputera.

Apalah yang boleh diharapkan kepada pemimpin PKR. Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim cakap siangnya lain cakap malamnya lain. Dihadapan orang Cina dan India mahu menghapuskan DEB dan mahu menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu.

Tetapi apabila dihadapan orang Melayu beliaulah pemimpin yang akan mempertahankan hak keistimewaan orang Melayu daripada dicabar oleh mana-mana kaum lain di negara ini.

Bangkitlah orang Melayu untuk mengembalikan semula kuasa politik kepada bangsa Melayu. Pilihanraya kecil Permatang Pauh adalah gelanggang pertama orang Melayu membetulkan semula kesilapan dalam pilihanraya umum lalu dengan menolak pemimpin PKR dan DAP yang menjadi pengkhianat bangsa Melayu di negara ini.

Thursday, August 7, 2008

Mahkamah Adil Benarkan Anwar Dijamin

Peguam: Mahkamah adil benarkan Anwar dijamin

Seorang peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berlaku adil kerana membenarkan penasihat PKR diikat jamin.

Anwar mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan liwat dengan bekas pembantunya pagi ini.

Sankara Nair, seorang daripada sembilan peguam Anwar, berkata hakim SM Komathy Suppiah telah mengunakan budi bicara secara adil dan tanpa gentar dengan membenarkan tokoh pembangkang itu dibebaskan dengan ikat jamin.

Anwar dibebaskan dengan jaminan peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Anwar pula berkata beliau sendiri telah menandatangi bon peribadi itu, demikian menurut laporan Bernama.

"Ia tidak libatkan sumber kewangan, dana dan passport saya juga masih kekal dengan saya," katanya kepada pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Anwar meninggalkan perkarangan Kompleks Mahkamah pada 11.37 pagi.

Laluan ke kompleks itu penuh sesak seketika apabila lebih 2,000 penyokong beliau berhimpun di luar dan dalam perkarangan kompleks menyebabkan Anwar sukar meninggalkkan kawasan itu.

Sumber Bernama.

Komen:

1. Apakah Datuk Seri Anwar dan Peguamnya Sankara Nair akan mengatakan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur telah berlaku ADIL jika hakim membuat keputusan hari ini beliau tidak dibenarkan diikat jamin dan ditahan di penjara sehingga kesnya disebut?

2. Apakah Datuk Seri Anwar dan Peguamnya Sankara Nair akan memuji hakim SM Komathy Suppiah telah mengunakan budi bicara secara adil dan tanpa gentar jika hakim tersebut TIDAK membenarkan tokoh pembangkang itu dibebaskan dengan ikat jamin walhal kes ini yang disiasat mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan tidak membenarkan ikat jamin.

Rakyat boleh membuat penilaian dua perkara di atas. Mahkamah dan sistem kehakiman di negara ini dipuji kerana bertindak adil jika keputusan yang dibuat menyebelahi Datuk Seri Anwar.

Tetapi jika keputusan sebaliknya, bukan sahaja mahkamah dan sistem kehakiman di negara ini dikeji malah kerajaan pula dituduh berniat jahat dan berkonspirasi dengan hakim untuk menjatuhkannya.

Apakah semua keputusan mesti berpihak kepada Anwar baru semua pihak termasuk kerajaan, hakim, polis dan hospital dilihat adil serta bebas? Pihak Polis dan Hospital belum lagi mengambil ujian DNA dituduh sudah mahu memanipulasi keputusan ujian, hakim belum lagi membuat keputusan dituduh hakim sudah diperalat oleh kerajaan.

Apakah selepas memuji hakim di mahkamah, Anwar akan berubah sikap mengikut tempat dan masa mengeji dan menyerang sistem kehakiman negara sebagai tidak adil dan bebas berada dibawah telunjuk kerajaan dalam kempen Pilihanraya Kecil di Permatang Pauh?

Rakyat sedang perhatikan!

Monday, August 4, 2008

Pas Pulau Pinang hendak boikot Pakatan Rakyat

Ini adalah berita baru yang diterima, Pas merasakan diri mereka terpinggir di Pulau Pinang kerana itu mereka merasakan tidak perlu bersusah payah membantu Anwar dalam pilihan raya berkenaan. Maka mereka bertindak untuk memboikot pilihan raya tersebut. Begitulah ceritanya!

Banyak sebab kenapa Pas Pulau Pinang merasakan diri mereka terpinggir. Pas tidak dibawa berbincang langsung mengenai beberapa perkara termasuk soal perlantikan dalam Majlis Daerah, ataupun tidak diberi tempat dalam agensi-agensi kerajan Pulau Pinang yang sesuai diduduki oleh Pas sebagai parti Islam.

Tetapi yang paling mengecewakan Pas adalah berhubung dengan hel ehwal Islam. Kerajaan Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng katanya tidak mempedulikan Pas?

Komen:

Idea paling 'simple' yang boleh diberi pada PAS, keluarlah terus dari Pakatan Rakyat dan kembalilah bersama UMNO jika benar mereka mahu berjuang demi negara, rakyat dan Islam. Selagi mereka menjadi kambing yang ditebuk hidungnya oleh DAP dan PR, maka sampai bila-bila mereka akan tetap dijadikan hamba pecacai oleh malaun-malaun ini.

Masih ada ruang untuk PAS dan UMNO kembali bergabung menjadi satu kuasa yang kukuh dalam membela nasib rakyat dan agama tercinta, masih ada masa untuk memperbetulkan segala kekusutan yang timbul sebelum ini, jadi gunakanlah peluang yang ada ini untuk sama-sama membuka minda demi rakyat terutamanya Melayu dan Islam.

Tindakan memboikot ini jika benar terjadi merupakan satu langkah mudah tanpa kos tersembunyi untuk membuktikan pada mereka (DAP dan PKR) bahawa mereka masih lemah dan tidak relevan untuk memerintah dalam negara kerana dalam sesama pakatan pun masih wujud ketidak puasan dalam hati terutamanya orang Melayu-Islam.


Beberapa cadangan dikemukakan Pas untuk kepentingan Islam tidak dilayan sewajarnya oleh Ketua Menteri yang mengambil Umar Ibnu Aziz sebagai model pemerintahan itu.

Tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku di pulau Mutiara itu. Tetapi kalau itulah alasannya ada logik kalau Pas Pulau Pinang memulaukan pilihan raya itu ataupun mengambil sikap hanya sebagai pemerhati saja.

Friday, August 1, 2008

PAS Turut Sula Martabat Islam

Pas hari ini membuat keputusan menolak sebarang kerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan campuran sama ada di peringkat Pusat atau negeri.

Bagaimanapun rancangan Pas untuk mengadakan pertemuan dengan semua pihak termasuk UMNO demi kepentingan negara dan ummah akan tetap diteruskan. Pas juga tetap berpendirian untuk kekal berada di dalam pakatan pembangkang dengan memainkan peranan yang lebih aktif dan positif selaras matlamat perjuangan untuk menukar kerajaan sedia ada.

‘‘Sehubungan ini, sebarang tawaran daripada UMNO untuk mewujudkan kerajaan bersama di semua peringkat sama ada Pusat atau negeri tidak lagi berbangkit’’

Komen:

Kenapa masih mahu mempertahankan ego tinggi yang tidak boleh dibawa kemana pun malah kelak akan dipersoalkan di liang kubur atau di akhirat? Mengapa menolak penyatuan antara parti yang memegang teguh dalam memartabatkan Islam dan juga Melayu? Adakah dengan lebih mementingkan ego dan dendam kesumat mampu membawa cahaya baru dalam memperjuangkan Islam dan rakyat? Soalan-soalan ini perlu mendapat jawapan yang khusus.

Tindakan menolak gabungan penyatuan suara yang berlandaskan Islam perlu dipandang serius. Tindakan PAS untuk tidak mahu berjuang bersama-sama UMNO dalam memartabatkan Islam dan rakyat khususnya Melayu dilihat sebagai kesanggupan mereka bersongkol dengan parti anti-Islam dan perkauman. Mereka lebih rela berjuang dengan parti lain yang dalam masa yang sama menekan serta melanyak umat Islam serta masyarakat Melayu. Adakah betul tindakan PAS ini? Walaupun masih banyak perbincangan perlu dijanlankan sebelum penyatuan itu lengkap, tetapi jika tiada mualanya maka mana akan ada akhirnya.

Mereka sanggup meng-ia-kan semua tindakan parti gabungan baru mereka berkaitan isu-isu sensitif umat Islam, menutup sebelah mata apabila ada pihak menghina Islam dan yang lebih teruk tidak mengadakan sebarang tindakan apabila nama Allah yang maha agung dipersendakan oleh makhluk berminda syaitan. Mereka lebih sanggup melihat ini terjadi daripada menerima pelawaan ikhlas parti umat Islam untuk menamatkan segala onar yang dilemparkan oleh parti anti-Islam terhadap Islam itu sendiri. Mengapa begitu hitam hati mereka, mengapa begitu kusut otak mereka dan mengapa buta tuli mata mereka hingga tidak dapat membezakan yang mana baik dan yang mana buruk. Jika kuasa yang menjadi penentu dan luka lampau dibangkitkan semula, apa tidak ada cara lainkah untuk kita bermaaf-maafan dan melupakannya demi untuk memartabatkan bangsa sendiri di kala rakyat terutamanya Melayu dikopek satu persatu martabat mereka dan disula hak mereka semahu-mahunya.

Sayang...mengapa perlu jadi sebegini. Apa kuasa, ego dan dendam mampu membawa mereka melepasi titian menyeberangi neraka dan mampu dikira sebagai pahala terhebat yang mereka pernah lakukan sewaktu berada di atas muka bumi ciptaan Allah S.W.T

renung-renungkanlah....