Thursday, February 26, 2009

Alahai Peguam Negara...

"Karpal sepatutnya bersyukur tinggal di Malaysia.
Kalau di Thailand, Karpal sudah lama

merengkok dalam penjara
kerana menghina Raja"


Seorang penulis novel berasal dari Australia dikenakan hukuman penjara selama tiga tahun kerana menghina Raja Bumipol Adulyadey. Tetapi nasibnya baik, Raja Bumipol memberi ampun dan penulis novel ini dihalau keluar dari Thailand.

Tetapi di Malaysia Karpal Singh menghina Raja (Sultan Perak), malangnya sehingga hari ini Karpal masih belum dikenakan sebarang tindakan seolah-olah tiada peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan kepada Karpal.

Thailand tidak ada beza dengan Malaysia mengamalkan sistem Raja berperlembagaan. Di Thailand, Raja sangat dihormati sebarang celaan kepada Raja bukan sahaja oleh rakyat negara itu malah warga asing hukuman penjara menanti mereka.

Di Malaysia memang ada peruntukan undang-undang yang boleh dikenakan kepada Karpal kerana menghina Sultan Perak. Karpal bukan sahaja boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan malah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana menimbulkan kemarahan rakyat dan suasana tidak tenteram dalam negara.

Persoalannya mengapa sehingga hari ini Karpal tidak dikenakan sebarang tindakan selepas 100 laporan Polis dibuat oleh orang ramai yang marah dengan tindakan Karpal menghina Sultan Perak?

Lebih menghairankan sehingga hari ini Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail mengambil sikap `berdiam diri' dan tidak bercakap sepatah pun untuk menghuraikan dari sudut undang-undang apakah tindakan boleh diambil terhadap Karpal.

Sikap `berdiam diri' Peguam Negara ini tidak disenangi oleh banyak pihak dan menimbulkan kegelisahan orang ramai kerana membiarkan isu ini `tergantung' tanpa sebarang kenyataan sedangkan sebagai Peguam Negara beliau adalah orang yang paling layak untuk bercakap dari sudut perundangan.

Peguam Negara sebagai orang yang arif dalam undang-undang sepatutnya memberi satu garis panduan apa yang boleh disentuh dan tidak boleh disentuh mengenai Raja-Raja dan apakah hukuman daripada sudut undang-undang boleh dikenakan kepada sesiapa sahaja yang didapati bersalah kerana menghina Sultan.

Peguam Negara juga sepatutnya menjelaskan apakah tindakan yang boleh diambil kepada mereka yang berarak dan merusuh di Istana Sultan dan apakah tindakan yang boleh dikenakan kepada mereka berdemontrasi di jalan-jalan raya kerana membantah tindakan Karpal yang menghina Sultan Perak.

Sikap `berdiam diri' Peguam Negara ini menyebabkan Karpal semakin berani dengan memaki Pemuda UMNO sebagai `celaka' dan disebabkan tiada tindakan diambil terhadapnya Karpal kini semakin angkuh mengelarkan dirinya `Singh is King'.

Tuesday, February 24, 2009

Khalid Tak Takut Dikejar Lembu Korban!

"Memberi sedekah itu baik tetapi mengunakan duit kerajaan
negeri itu yang tidak baik. Kalau Khalid benar-benar
ikhlas mahu bersedekah kepada pengundinya di Bandar
Tun Razak gunakan duit sendiri untuk membeli lembu
korban danbukannya duit kerajaan negeri Selangor"


Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyokong membahaskan rang undang-undang penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Anti Rasuah (SPRM) di Parlimen baru-baru ini berkata Rasuah merupakan jenayah yang paling merbahaya kepada masyarakat dan negara ini.

Menurut Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Parlimen, Rasuah umpama wabak yang menghancur luluhkan negara dan harapan rakyat keseluruhannya. Rasullullah S.A.W. bersabda, `La'anallahur rasyi walmurtasyi warraisy' yang maksudnya "Allah melaknat yang menerima rasuah yang memberi rasuah dan yang menjadi perantara kepada rasuah".

Persoalannya sekarang sejauh mana Anwar dan rakan-rakan politik dalam Pakatan Pembangkang benar-benar mempraktik apa yang diucapkan mengenai rasuah ketika menyokong penubuhan SPRM di Parlimen baru-baru ini?

Apakah perkara yang diucapkan mengenai rasuah hanya diguna pakai terhadap BN dan seteru-seteru politik tetapi jika terkena atas batang hidung sendiri SPRM dikecam dan dituduh mengamalkan `dwi standard'.

Dalam kes Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Ketua Suruhanjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan membuat kenyataan bahawa SPRM mempunyai bukti kukuh untuk mendakwanya di mahkamah atas kesalahan salah guna kuasa membabitkan pembelian lembu korban dan penyelenggaraan kereta peribadi.

Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ahmad Said mempunyai kuasa untuk membuat kenyataan dan mengumumkan hasil siasatan kepada umum kerana kes penyalahgunaan kuasa oleh Menteri Besar Selangor ini sudah menjadi kes nasional dan mendapat perhatian rakyat di seluruh negara.

Bukan sahaja pemimpin pembangkang malah pemimpin kerajaan juga didakwa oleh SPRM. SPRM adalah sebuah badan bebas dan penubuhannya di Parlimen baru-baru ini mendapat sokongan yang tidak berbelah bagi daripada semua ahli parlimen kerajaan dan pembangkang.

SPRM tidak terikat dengan kerajaan dan bebas untuk membuat siasatan terhadap sesiapa sahaja secara adil dan saksama.

Bukan sahaja Khalid tetapi sesiapa sahaja dalam kerajaan dan pembangkang tidak perlu risau dan takut jika didakwa oleh SPRM. Khalid mempunyai hak untuk mempertahankan diri di mahkamah dan bukannya mengecam SPRM dengan berbagai tuduhan kononnya tidak adil apabila terkena atas batang hidung sendiri.

Justeru itu, Khalid yang sebelum ini membuat kenyataan tidak takut dikejar lembu korban tidak perlu mengelabah jika tidak bersalah.

Thursday, February 19, 2009

Haru Biru Dalam PKR Kesan Sumpah Laknat Saiful Terhadap Anwar Ibrahim?

" Bawa-bawa bertaubatlah makcik-makcik bertudung yang berada di belakang
YB Elizabeth Wong. Adakah makcik-makcik ini `merestui' perbuatan YB DAP yang
bersekedudukan dengan Pemuda Melayu tanpa berkahwin? "

Lepas satu, satu bala yang menimpa Pakatan Rakyat.

Bermula dengan pengumuman dua Adun PKR dari Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, ADUN Cangkat Jering Mohd Osman Jailu dan Adun DAP Hee Yit Foong keluar dari Pakatan Rakyat menjadi calon bebas dan menyokong BN menyaksikan Kerajaan campuran pembangkang Perak tumbang.

Tidak sampai sebulan sekali lagi malang menimpa Pakatan Rakyat. Adun PKR kawasan Bukit Selambau, V.Arumugam mengumumkan perletakan jawatan sebagai Adun dan Exco Kerajaan Negeri Kedah dipercayai ada kaitan dengan skandal perempuan simpanan sehingga melahirkan seorang anak.

Terbaru pengumuman mengejut perletakan jawatan sebagai Adun dan Exco oleh Elizabeth Wong, Adun Bukit Lanjan dari PKR ekoran penyebaran gambar bogel Elizabeth yang dipercayai dilakukan oleh teman lelakinya, seorang pemuda Melayu.

Menjadi persoalan, adakah haru biru yang berlaku dalam Pakatan Rakyat pada hari ini khususnya dalam parti PKR adalah kesan daripada sumpah laknat yang dibuat oleh Saiful Bukhari Azlan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tuduhan meliwat?

Walau pun dicabar untuk bersumpah laknat tetapi Anwar sehingga hari ini tidak berani bersumpah dan mengelak dengan memberi berbagai alasan. Saiful berani bersumpah laknat kerana merasakan dirinya di pihak yang benar. Tetapi Anwar mungkin menyedari bala yang akan beliau tanggung jika bercakap bohong.

Banyak pihak melihat kesan sumpah laknat yang dibuat oleh Saiful pada tahun lepas sudah menampakkan kesan. Satu demi satu bala yang menimpa PKR yang dipimpin oleh Anwar. Jika Anwar tidak bertaubat dibimbangi banyak lagi bala yang akan menimpa PKR dan Pakatan Rakyat.

Tuesday, February 17, 2009

Elizabeth Yang Berbogel Kenapa BN Yang Menjadi Mangsa

Ketika ADUN Bukit Selambau V.Arumugam meletakkan jawatan ADUN dan Exco, BN yang dituduh penyebabnya membuat ugutan, menyimbah cat di kereta dan menawarkan wang sebanyak RM5 juta supaya Arumugam meninggalkan PKR.

Kali ini apabila gambar bogel ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong tersebar BN sekali lagi dituduh sebagai perancang kononnya bagi mengaibkan gabungan PKR, DAP dan Pas menjelang Pilihanraya Kecil di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Rakyat bukan bodoh. Rakyat tahu Arumugam meletakkan jawatan selepas penduduk di kawasannya menghantar memorandum kepada Tuanku Sultan Kedah kerana didakwa mempunyai seorang anak luar nikah manakala Elizabeth meletakkan jawatan kerana isu moral dan mengambil tanggungjawab demi menjaga nama baik PKR.

Persoalannya sekarang ini kalau Elizabeth yang bergambar bogel kenapa pula BN yang menjadi mangsa?. Tambahan pula, gambar bogel di bilik tidur ini dirakamkan oleh orang yang rapat dengan Elizabeth yang tidak ada kena mengena dengan BN sebelum Pilihanraya Umum ke 12 dan ketika itu Elizabeth belum lagi menjadi ADUN dan Exco.

Paling penting pengundi di Bukit Lanjan tahu kenapa Elizabeth meletakkan jawatan dan pengundi di Bukit Lanjan juga tahu BN tidak ada kena mengena dalam dalam isu ini.

Monday, February 16, 2009

`Barulah Kita Kenal Siapa Kaca, Siapa Permata' - Sultan Selangor


Bak kata pepatah, ketika peristiwa sebegini berlaku, "barulah kita kenal siapa kaca siapa permata". Malah dapat juga kita menyelami jati diri pihak-pihak tertentu yang "marahkan nyamuk, kelambu dibakar" titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengulas pergolakan politik yang berlaku di negeri Perak dalam kenyataan akhbar khas.

Menurut baginda, kejahilan terhadap peruntukan undang-undang negeri dan persekutuan, ketaksuban terhadap pihak-pihak tertentu kehilangan pertimbangan ketika emosi terganggu, keangkuhan yang membutakan diri terhadap hak dan kuasa DYMM Paduka Seri Sultan Perak, kebiadapan sebagai anak watan negeri Perak dan warga negara Malaysia serta mudahnya golongan-golongan tertentu terpedaya dengan budaya `mob' amat memalukan.

Umum dapat memahami kenyataan akhbar yang dibuat oleh Sultan Selangor ini ditujukan kepada siapa?. Kebiadapan yang ditunjukkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Nizar Jamaluddin kepada Sultan Perak jelas menunjukkan Pakatan Pembangkang yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sanggup berbuat apa sahaja termasuk menderhaka kepada Raja untuk kekal berkuasa.

Belum lagi memerintah negara, Pakatan Pembangkang yang diketuai oleh Anwar telah menunjukkan belangnya. Baru memerintah di empat negeri telah biadap, derhaka, angkuh, jahil ilmu dan kemaruk kuasa. Pas yang kononnya mahu membela Raja Melayu senyap sunyi tidak berkata apa-apa kerana takut Anwar murka.

Benteng terakhir orang-orang Melayu adalah Raja-Raja Melayu. Tetapi jika baru sahaja dapat sedikit kuasa, Raja dihina dan dicerca, bagaimana kalau Pakatan Pembangkang dapat memerintah negara?. Seperti titah Sultan Selangor `sekarang ini barulah kita kenal siapa kaca, dan siapa permata'.

Friday, February 13, 2009

Minta Ampun Kepada Sultan Perak


Syukur kerana bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin membuat keputusan yang tepat dan waras mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar dan menyerah kembali 11 kereta rasmi (secara berperingkat) kepada kerajaan negeri.

Selepas bermuhasabah diri mungkin bekas Menteri Besar Perak ini telah diberikan petunjuk, inilah keputusan yang terbaik demi masa depan rakyat di negeri Perak. Sebagai seorang yang mempunyai pengetahuan agama, Nizar kena menerima inilah ketentuan Allah dan menerima qada dan qadar.

Nizar juga membuat keputusan bijak membelakangkan arahan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya jangan meninggalkan kediaman Menteri Besar. Anwar hanya tahu membuat kacau dan menimbulkan keadaan huru hara tetapi yang mendapat nama buruk adalah Nizar.

Seperti kata Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria selain mentaati perintah Allah, mentaati pemerintah iaitu Sultan hukumnya wajib. Nizar perlu minta Ampun kepada Sultan Azlan Shah kerana keterlanjurannya.

Hati rakyat Perak terluka kerana belum pernah berlaku dalam sejarah kesultanan di negeri Perak rakyat sanggup menghina dan mencerca Sultan di Istananya sendiri.

Wednesday, February 11, 2009

Jangan Beri Alasan Ditawar RM5 juta, Diugut & Kereta Disimbah Cat


Seminggu selepas penduduk menyerah memorandum kepada Tuanku Sultan Kedah mengadu perangai buruk ADUN mereka yang tidak bermoral bersekedudukan sehingga melahirkan seorang anak luar nikah, ADUN Bukit Selambau V. Arumugam meletakkan jawatan Exco dan ADUN.

Pada mulanya Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Razak mahu `coverline' tetapi `bangkai gajah mana boleh ditutup dengan daun pisang'. Maka seperti biasalah BN dijadikan `kambing hitam' kononnya membuat ugutan, mahu membeli Arumugam sebanyak RM5 juta dan paling mengelikan hati kereta bekas ADUN Bukit Selambau ini disimbah cat.

Tetapi pengundi di Bukit Selambau tahu mengapa Arumugam meletakkan jawatan secara tiba-tiba. Bukan kerana wang 5 Juta, bukan kerana diugut dan bukan kerana kereta disimbah cat tetapi kerana memorandum yang dihantar oleh mereka yang menimbulkan kemurkaan Tuanku Sultan.

Ustaz Azizan tidak perlulah mencipta alasan untuk menutup pekung kerajaan pimpinannya. Kalau buruk katakan buruk. Sebagai pemimpin Pas yang memperjuangkan Islam sebagai addin tak baik Ustaz Azizan berbohong dan menjadikan pihak lain sebagai `kambing hitam' untuk menutup kelemahan pentadbirannya.

Rakyat hari ini bijak menilai. Mana yang baik, mana yang buruk. Sekali lagi pengundi di Bukit Selambau akan memilih wakil rakyat mereka yang baru dalam pilihanraya kecil. Sudah tentu kali ini mereka akan membuat perubahan memilih calon yang benar-benar bersih dan bermoral serta tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Tuesday, February 10, 2009

DAP Bertepuk Tangan Lihat Orang Melayu Menghina Raja


Pelik. Bila DAP hilang kuasa di Perak yang mengamuknya adalah orang Melayu. Yang menghina Raja dan berbaring di atas jalan adalah orang Melayu. Mana pergi orang DAP?

Orang DAP mungkin ada tetapi duduk jauh ketawa lihat gelagat orang Melayu memekik melolong mencerca dan menghina Raja di istananya. Jelas sudah, orang Melayu seperti Nizar adalah kuda tunggangan Ngeh dan Nga dalam DAP.

Ada seorang lagi Melayu dalam PKR yang bernama Anwar Ibrahim. Tetapi Melayu ini hanya pada nama kerana biar Raja dihina dicerca asal `aku dapat jadi Perdana Menteri'.

Orang Melayu mengharapkan Melayu dalam Pas seperti Hadi dan Nik Aziz untuk membela Melayu tetapi sama seperti Nizar dan Anwar, Hadi dan Nik Aziz rela Nizar menjadi kuda tunggangan Ngeh dan Nga asal kekal berkuasa menjadi Menteri Besar.

Apalah yang boleh diharapkan oleh orang Melayu kepada Melayu yang bernama Anwar, Hadi, Nik Aziz dan Nizar jika masih lagi bersekongkol dengan Karpal yang menghina,mencerca dan mahu menyaman Raja Melayu!

Saturday, February 7, 2009

Rakyat Perak Perlu Bangkit Pertahankan Sultan


Biadap dan kurang ajar. Itulah dua perkataan yang sesuai ditujukan kepada penyokong pakatan pembangkang yang menganjurkan perhimpunan haram di hadapan Masjid Ubudiah bagi menghalang majlis angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir di Istana Iskandariah.

Mereka yang mengunakan alasan untuk bersembahyang Jumaat di Masjid Ubudiah tetapi selepas itu telah berhimpun dan bertindak biadap dengan merusuh dan berbaring di atas jalan bagi menghalang kenderaan termasuk kenderaan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah daripada memasuki kawasan Istana.

Penyokong pembangkang yang merusuh ini kebanyakannya bukan rakyat Perak tetapi mereka yang dibawa masuk dari Kedah, Kelantan, Wilayah Persekutuan dan Selangor untuk membuat kacau dan mahu memberi gambaran buruk seolah-olah rakyat Perak yang merusuh dan derhaka kepada Sultannya.

Sejarah membuktikan sejak zaman berzaman rakyat Perak tidak pernah derhaka kepada Sultan. Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sangat dikasihi oleh rakyat kerana sikap baginda yang berjiwa rakyat amat mengambil berat terutama dalam soal-soal yang melibatkan kebajikan rakyat jelata.

Rakyat Perak sangat kasih kepada Sultan dan sanggup mempertahankan Sultan sebagaimana mempertahankan nyawa sendiri. Rakyat Perak tidak akan membiarkan Sultan dicerca apatah lagi dihina di bumi sendiri.

Sudah tentu ada dalang di sebalik rusuhan yang berlaku. Rusuhan yang melibatkan wanita dan kanak-kanak ini mengingatkan kita kepada demontrasi jalanan pada tahun 1997 apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Selain daripada anak-anak muda, Anwar telah memperalatkan wanita dan kanak-kanak untuk merusuh di jalan-jalan raya sehingga menimbulkan huru hara dan ketidak tenteraman dalam negara.

Plot yang sama kini berulang sekali lagi. Seperti juga Anwar, bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Nizar juga tidak mahu meletakkan jawatan walaupun dititahkan oleh Sultan Perak untuk berbuat demikian. Umum semua mengetahui dan tidak keterlaluan kalau dikatakan dalang di sebalik apa yang berlaku di Perak ini adalah kerja Anwar.

Anwar sekali lagi mahu mencetuskan rusuhan jalanan yang memperalatkan wanita dan kanak-kanak seperti apa yang dilakukannya pada tahun 1997 di Perak. Justeru itu, rakyat Perak perlu bangkit mempertahankan Sultan dan jangan sesekali membenarkan Anwar meneruskan rusuhan jalanan dengan membawa masuk orang luar menghina dan mencerca Sultan Perak di bumi sendiri.

Thursday, February 5, 2009

Terima Hakikat Kerajaan Pakatan Pembangkang Telah Tumbang Di Perak

``Keputusan sama ada negeri ini (Perak) akan ditadbir di bawah kepimpinan baru atau menghadapi pilihan raya semula akan ditentukan oleh Sultan Perak,'' kata Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Katanya, beliau akan akur apa sahaja keputusan Sultan Perak dan akan menerima apa juga ketetapan yang bakal dibuat oleh Seri Paduka Sultan.

Perkembangan terkini, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah sudah membuat keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak perlu dibubarkan dan Barisan Nasional (BN) yang memperolehi majoriti dengan kelebihan tiga kerusi akan membentuk kerajaan baru di negeri itu.

Seperti janji Mohamad Nizar, beliau akan akur dengan apa sahaja keputusan yang akan dibuat oleh Sultan Perak dan beliau perlu mengotakan janjinya itu. Sebagai seorang rakyat yang taat setia kepada Sultan, Mohamad Nizar dan rakan-rakannya yang lain perlu akur dan menerima keputusan yang telah dibuat.

Jangan membuat onar. Terimalah hakikat bahawa Kerajaan Pakatan Pembangkang telah tumbang di negeri Perak. Ini adalah demokrasi yang menjadi pegangan Mohamad Nizar sebelum ini.