Wednesday, March 14, 2007

PM umum Misi 2057


Penekanan kepada pembangunan jiwa bangsa, perpaduan


KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (gambar) semalam mengumumkan Misi 2057 sebagai kesinambungan Wawasan 2020 bagi memastikan rakyat terus membangun mengikut acuan sendiri selepas Malaysia menjadi negara maju.
Misi itu, yang dibincangkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam, memberi penekanan terhadap modal insan, pembangunan jiwa bangsa dan perpaduan kaum dalam tempoh 37 tahun Malaysia sebagai negara maju, menuju ulang tahun ke-100 kemerdekaannya.

Perdana Menteri menegaskan, kerajaan perlu berpandangan ke hadapan dengan merangka rancangan 50 tahun dari sekarang yang memberi penekanan terhadap modal insan, pembangunan jiwa bangsa dan perpaduan kaum.

“Dewan Tertinggi BN yang berbincang perkara ini, ingin memastikan selepas kita mencapai Wawasan 2020 sebagai negara maju, kita mempunyai acuan bangsa yang mengikut budaya kita, toleransi dan mematuhi agama untuk selama-lamanya,” katanya.

Memberitahu sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat itu, beliau yang juga Pengerusi BN, berkata Misi 2057 meletakkan harapan tinggi terhadap generasi muda akan datang kerana merekalah mempengaruhi pembangunan dan kemajuan negara.

“Saya harap ini akan membantu peningkatan yang lebih hebat. Tahun ini adalah ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara dan diharap kita masih ada 50 tahun lagi sebagai satu kesinambungan kepada pencapaian matlamat 2020,” katanya.

Abdullah mengajak ahli parti komponen BN serta seluruh peringkat masyarakat, termasuk pertubuhan bukan kerajaan, wanita dan profesional, memberi pandangan mengenai masa depan negara.Katanya, pencapaian setiap tahun akan menjadi asas kepada masa akan datang bagi melahirkan masyarakat gemilang, cemerlang dan terbilang.

“Toleransi agama juga mesti diteruskan selama-lamanya kerana setiap kali menjelang 13 Mei, soal perpaduan sering dibangkitkan. Kita perlu bergerak sebagai bangsa yang bersatu, muhibah dan janganlah kita berundur,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Jawatankuasa Pengurusan BN yang dipengerusikan Timbalannya, Datuk Seri Najib Razak, akan merangka program khusus untuk meraikan ulang tahun ke-50 kemerdekaan negara.

Beliau berkata, persetujuan diperoleh di kalangan kepemimpinan BN untuk menentukan rancangan peringkat nasional membabitkan semua parti komponen sempena hari bersejarah itu.Mengenai spekulasi bahawa pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi, Abdullah berkata, perkara seperti itu biasanya hangat dibincangkan apabila tempoh pemerintahan tiba di ‘setengah jalan’.

“Ini tidak bermakna saya akan tetapkan tarikh pilihan raya. Yang penting banyak perkara yang perlu dilakukan dan banyak projek yang hendak dilaksanakan,” katanya sambil menambah BN bersedia menghadapi pembangkang pada bila-bila masa.

Abdullah juga berharap kedudukan ekonomi yang kukuh pada masa ini akan bertambah baik lagi pada masa hadapan.Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia tahun lalu meningkat 5.9 peratus dan negara berharap untuk mencapai pertumbuhan sebanyak enam peratus tahun ini.

“Ekonomi, Alhamdulillah, berada dalam keadaan yang baik dan kita harap supaya kedudukan itu akan bertambah baik pada masa hadapan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, juga berharap projek serta program yang dilaksanakan kerajaan dari semasa ke semasa akan memberi faedah kepada rakyat.

“Di peringkat makro ekonomi, ada faktor yang menyenangkan, yang boleh membawa faedah secara keseluruhannya kepada ekonomi negara,” katanya.

Perdana Menteri mengulangi bahawa kerajaan akan melaksanakan secara bersungguh-sungguh semua program yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

“Dengan itu, pemimpin parti yang ada perlulah memainkan peranan masing-masing terhadap kerajaan dan swasta.” katanya.

4 comments:

ashraf haikal affendi said...

Satu lagi misi rakyat Malaysia selepas Wawasan 2020. Generasi akan datang pastinya akan berbangga dengan perancangan yang teliti Kerajaan hari ini. Oleh itu, kita mesti pastikan misi yang dibuat dapat dicapai

gaban said...

aku rasa macam makin keliru lak, wawasan 2020 pun x nampak lagi, dah nak wat baru punya misi lak...

doc_palam said...

misi 50 tahun ke hadapan slps wawasan 2020 yg memberi penekanan terhadap rupa wajah rakyat Malaysia tidak seharusnya menjadi polemik politik. hanya mereka yg berfikiran negatif shj yg akan melihatnya sbg sia2. namun dlm menuju misi 2057 tumpuan, usaha & tenaga mesti diberikan utk menjayakan wawasan 2020 dlm erti kata sebenar. jgn sampai yang dikejar x dpt yg dikendong keciciran. kalau itu berlaku bak kata org nogori "tak dapek den nan nolongnye haa"....

pok_badok said...

Bkn senang utk kite m'capai Misi 2057 tp dimn ada kemahuan disitu ada jln. Klu kita b'satu utk merealisasiknnya x mustahil ianya m'jd satu realiti yg bkn mimpi.

Wahai cik gaban, jgn la cpt melatah. Asyik nk pikir negatif je. Apakata kita sm2 b'gnding bahu utk menuju Misi 2057 dgn jayanya...