Wednesday, May 16, 2007

Hari UMNO: Datuk Ibrahim Hussein Tokoh Melayu Terbilang




SENIMAN veteran yang terkenal dalam bidang seni lukis bukan sahaja di tanah air malah di peringkat antarabangsa juga, Datuk Ibrahim Hussein telah dinobatkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang bersempena dengan sambutan ulang tahun penubuhan UMNO yang ke-61 tahun di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

“Saya berasa sangat terharu dan berterima kasih kerana dipilih oleh UMNO untuk anugerah ini. Sebenarnya ramai lagi tokoh dan pejuang Melayu yang benar-benar berjuang untuk bangsa kita tetapi mereka tidak dikenali, oleh itu saya terima anugerah yang diberikan ini sebagai wakil kepada mereka yang tidak sempat menerimanya hari ini,” ujar beliau.

Beliau menyatakan bahawa kejayaan yang beliau lakukan ini adalah terlalu kecil jika dibandingkan dengan nilai pengiktirafan dan anugerah diberikan kepada beliau.

“Atas nama UMNO, saya menyeru bangsa Melayu untuk sama-sama memikul tanggungjawab demi memelihara martabat dan maruah UMNO serta bangsa Melayu,” tegas beliau.

Ibrahim dilahirkan pada 13 Mac 1936 di kampung Sungai Limau, Yan, Kedah yang terletak jauh di pedalaman.

Beliau yang terdiri dari lima orang adik-beradik sejak kecil lagi sentiasa berdikari dan tidak gemar menyusahkan sesiapa. Ibrahim yang berketurunan Aceh dari sebelah bapanya, yang kemudian mengembara hinggalah ke Tanah Melayu dan kemudian mendirikan rumahtangga dengan ibunya di tempat kelahiran beliau.

“Walaupun bapa saya seorang yang buta huruf, tetapi dia tidak pernah mengabaikan pelajaran saya dan adik-beradik yang lain malah dia sentiasa memberi dorongan kepada saya untuk kuat, teguh dan bersemangat,” kata beliau kita mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya.

Atas kesungguhan dan dorongan untuk menimba ilmu, beliau telah meninggalkan kampung halaman serta mendalami bidang yang beliau minati.

“Sebenarnya saya tidak pernah anggap apa yang saya lakukan ini sebagai satu cita-cita. Semuanya lahir dengan sendirinya kerana apabila saya merasakan bahawa saya ingin melukis maka ketika itulah saya berkarya.”

Kesungguhan beliau dalam berkarya telah membawa beliau ke persada antarabangsa malah kepakaran beliau diakui oleh negara lain dengan penganugerahan pelbagai pingat dan darjah kebesaran.

Antara anugerah yang pernah diterima Ibrahim sepanjang lebih 50 tahun pembabitannya dalam bidang tersebut termasuklah Griffin Prize, London (1964), Smithsonian Institute, American Workshop, Venice (1970), Crystal Award World Economic Forum di Switzerland pada 1997), Order of Bernado O'Higgings, Chile (1995), dan Order of Andres Bello Venezuela (1993).

Ibrahim telah berkahwin dengan gadis pilihannya, Sim Hussien ketika berkhidmat sebagai residen artis di Universiti Malaya (UM) sekitar 1976 dan dikurniakan seorang cahaya mata yang diberi nama Alia.

“Pada tahun tersebut saya merancang untuk ke luar negara tetapi hasrat itu terbatal apabila ditawarkan menjadi residen artis di UM atas jemputan Profesor Diraja Ungku Aziz dan di sanalah saya bertemu jodoh," katanya.

Pengorbanan beliau untuk memartabatkan bangsa Melayu terbukti dengan penubuhkan Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein (MYSIH) yang terletak di Langkawi, Kedah sebagai tempat pengembangan seni rupa di tanah air dan antarabangsa. Ibrahim berkata, tema bagi ribuan lukisannya yang dipamerkan di MYSIH berunsurkan segala kejadian di atas muka bumi termasuk politik, kemanusiaan, kasih sayang serta percakapan hati yang terlintas di fikirannya.

"Karya-karya saya lahir secara natural melalui apa yang saya rasakan dan apa yang ada pada fikiran saya.

“Ketika membuat sesuatu perkara, anda akan berasa keseorangan dan hanya berada dengan diri sendiri, tiada yang lain. Tiada masalah dan tidak bercakap dengan sesiapa. Ia seperti ubat bagi saya," katanya lagi.

Dua abangnya, Datuk Abdullah Hussein dan Profesor Emeritus Tan Sri Ismail Hussein adalah sasterawan terulung di negara ini dan memberikan sumbangan besar di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Tarikh Lahir: 13 Mac 1936

Asal: Yan, Kedah Darul Aman

Kerjaya: Pelukis

Isteri: YBhg. Datin Sim Hussien

Berkahwin: Tahun 1976

Anak: Alia Ibrahim Hussien


PENDIDIKAN

• Akademi Seni Nanyang Singapura (1956)

• Byam Shaw School of Drawing and Printing, London (1959 – 1963)

• Royal Academy Schools, London (1964 – 1966)

• American Workshop, Venice (1970)


ANUGERAH

• Byam Shaw Scholarship, London (1959 – 1963)

• Byam Shaw Award of Merit (1961 – 1963)

• Royal Academy Scholarship, London (1963 – 1966)

• Griffin Prize, London (1964)

• Fullbright Travelling Scholarship (1967)

• John D.Rockefeller III Fund Fellowship (1967 – 1968)

• Smithsonian Institute, American Workshop, Venice (1970)

• Lee Foundation Fellowship, University Malaya (1970 – 1971)

• XVIII International D’Art Contemporain de Monte Carlo (1984)

• Japan Foundation Cultural Award (1988)

• Order of Andres Bello, Venezuela (1993)

• Hugo Boss Hall of Distinction (1994)

• Order of Bernardo O’Higgins, Chile (1995)

• Crystal Award oleh The World Economic Forum, Annual Meeting, Davos, Switzerland (1997)

• “Style with Substance” American Express/ Hong Leong Bank (2000)


DARJAH KEBESARAN

• Ahli Mangku Negara (AMN) (1973)

• Kesatria Mangku Negara (1991)

• Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (1995)

• Darjah Kebesaran Setia DiRaja Kedah (1996)

• Darjah Kebesaran Dato’ dari Sultan Selangor (2001)


PAMERAN SOLO

• John Whibley Gallery, London (1963)

• Gallerie Internationale, New York (1965)

• AIA Building, Kuala Lumpur (1966)

• Chinese Chamber of Commerce, Singapore (1966)

• Newsweek Gallery 10, Newsweek Building, New York (1968)

• Solidaridad Gallery, Manila (1969)

• Universiti Malaya, Kuala Lumpur (1969)

• Universiti Malaya, Kuala Lumpur (1975)

• Dhait Abdullah Al Salam Gallery, Kuwait (1977)

• IH Gallery, Kuala Lumpur (1982)

• Daruma Art Centre, Copenhagen (1983)

• Gallerie Bortier, Brussels (1983)

• Gallerie Kaleidescoop, Ghent (1983)

• National Art Gallery, Malaysia: Ibrahim Hussein-A Retrospective (1986) •

Universiti Utara Malaysia (1986)

• Singapore Arts Festival, National Art Gallery, Singapore (1986)

• Takashimaya Art Gallery Tokyo (1989)

• Takashimaya Art Gallery, Osaka (1989)

• Museo Nacional de Bellas Artes, Santiago, Chile (1991)

• World Economic Forum, Davos, Switzerland (1994)

• Inaugural Exhibition- Ibrahim Hussein Foundation Museum, Langkawi, Malaysia (1999)


PENGLIBATAN

• Ahli Lembaga Pemegang Amanah Balai Seni Lukis Negara, Kuala Lumpur (1971-1973)

• Pelukis Undangan di Universiti Malaya (1970-1977)

• Menguruskan Festival Seni Asia Pertama di Bali, Indonesia (1987)

• Menguruskan Festival Seni Asia Kedua di Cherating, Pahang Darul Makmur (1988)

• Pakar rujuk “Academie Europeene Des Sciences, Des Arts Et Des Letters, Paris” (1987)

• Menubuhkan Muzium dan Yayasan Seni Ibrahim Hussein (MYSIH) yang terletak di Langkawi, Kedah pada tahun 1997 bagi tujuan pengembangan seni rupa di tanah air dan antarabangsa. MYSIH merupakan muzium dan yayasan seni yang unik dan yang pertama sepertinya di dunia, sebagai usaha untuk memperkasakan pembangunan dunia kesenian dan kebudayaan. Ia menjadi tempat rujukan kepada seniman, pencinta seni dan pelajar-pelajar dari seluruh dunia.

• Penglibatan di dalam Forum Seni Antarabangsa di Venice, Italy (1991)

• Menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa di Davos, Switzerland (1994-1995, 1997 $ 2005)

• Menguruskan Festival Seni Antarabangsa di Langkawi, Malaysia (2000)

4 comments:

navy said...

izinkan saya menyiarkan pantun nukilan DIH yang wajar difikir2kan insan yang berbangsa Melayu...

Tepak sirih bertekat gangsa,
Buat pinangan si anak dara,
Hidup seni warisan bangsa,
Hidup Melayu UMNO dipelihara.

sekian, terima kasih

puterinusantara said...

pesanan dari tokoh terbilang untuk generasi pewaris yang akan memegang pusaka bangsa

thewisekid said...

FYI, Datuk Ibrahim Hussein telah pulang ke rahmatullah pagi tadi @ approx 345am.
Al-Fatihah

Unknown said...

komen saya adalah site ini sangat membantu untuk kepada pelajar2 dan orang lain untuk mengenali tokoh2 malaysia yang tersohor