Monday, May 14, 2007

Seorang Loyalist Umno Mahukan Reformis Dalaman?

mengulas tulisan http://kuda-kepang.blogspot.com/

Majlis sambutan ulang tahun UMNO ke-61 telah selamat berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan dirasmikan oleh Datuk Seri Ahmad Badawi, Presiden UMNO dalam upacara menaikkan bendera UMNO ‘Sang Saka Bangsa’ sambil diiringi nyanyian lagu UMNO, ‘Bersatu, Bersetia Berkhidmat, sejurus selepas nyanyian lagu ‘Negaraku’, 11 Mei (Jumaat) lalu.

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu orang-orang Melayu meneruskan perjuangan UMNO sebagai satu pusaka bangsa untuk diwarisi oleh generasi akan datang dalam usaha memastikan parti tersebut kekal sebagai tunjang kerajaan di samping mampu mengekalkan perpaduan di antara semua kaum di Malaysia walau usianya 100 tahun sekali pun.

Bagi memeriahkan majlis sambutan ini, sebuah video hasil idea Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak yang bertajuk ‘Atas Nama Perjuangan’ ditayangkan kepada para hadirin. Video ini berkisar tentang pengorbanan orang-orang Melayu pada zaman dahulu sewaktu ingin menuntut kemerdekaan.

Alangkah mudahnya sekiranya mesej yang ingin disampaikan menerusi tayangan video ini dapat diselami oleh semua bangsa Melayu. 'Atas Nama Perjuangan' bukanlah sekadar tanyan video semata-mata sebaliknya ia mengandungi mesej sebenar perjuangan UMNO sebagai sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita Kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara.

Mesej perjuangan UMNO perlu dianggakat sebagai wadah dalam menelusuri kehidupan. Perjuangan tokoh-tokoh terdahulu sememangnya tidak ternilai. Oleh itu, pengorbanan orang-orang Melayu hari ini perlu ikhlas dan bukan berlandaskan wang semata-mata... Keperluan material perlu dikesampingkan dan apa yang penting memartabatkan kemerdekaan dan kedaulatan negara.

Perlu diingat, untuk memanfaatkan asas dan tujuan penubuhan UMNO dalam mendukung dan mempertahankan Perlembagaan Negara, Perlembagaan Negeri-negeri dan Raja berperlembagaan, kita mesti mengetahui bahawa Malaysia bukan hanya diwakili oleh golongan berbangsa Melayu sahaja.

Malaysia sebagai sebuah negara yang terdiri dari rakyat berbilang bangsa, Melayu India dan Cina malah ada juga abngsa-bangsa lain yang hidup di sini. Keamanan yang dimahukan oleh semua rakyat bukan hanya bergantung kepada kerukunan bangsa Melayu semata-mata sebaliknya ia adalah hasil daripada kerjasama yang diperoleh dari semua kaum.

Jika kita berkata soal kemerdekaan, memang bangsa Melayu yang berhak mendapatnya tetapi kita tidak boleh menafikan bangsa lain yang turut sama berkorban untuk mendapatkan kesejahteraan.

Jika hari ini ada individu yg mewara-warakan ceria ramai bangsa Melayu terkoban kerana dibunuh oleh bangsa Cina ketika zaman Bintang Tiga, perlu diingat juga bahawa sebenarnya ramai juga bangsa asing termasuk Cina dan India yang disembelih semata-mata perasaan perkauman yang menebal, extrimist Melayu yang melampau menghalalkan bunuh membunuh sesama manusia.

Mengikut sejarah, Disember 1948 – Januari 1949, oleh kerana sebahagian besar daripada anggota Parti Komunis terdiri dari kaum Cina, beberapa pergaduhan perkauman telah berlaku di antara orang-orang Cina dan Melayu.

Tetapi kerjasama kaum dalam politik merupakan salah satu syarat British untuk memberi kemerdekaan Tanah Melayu. Permusuhan kaum boleh menggugat keselamatan awam dan menyukarkan kerajaan.

Di atas galakan Sir Malcom Mac Donald, Dato’ Onn telah menjemput seramai 21 orang ketua pelbagai kaum berkumpul di rumahnya untuk merunding jalan bagi memperbaiki ketegangan kaum. Beberapa siri rundingan menyusul kemudiannya. Di dalam satu pertemuan di Pulau Pinang, terbentuklah sebuah Jawatankuasa Perhubungan Kaum (Communities Liason Committe – CLC). Oleh kerana Dato’ Onn dan Tan Cheng Lock enggan menjadi Pengerusi, jawatan tersebut diserahkan kepada E.E.C. Thuraisingam.

Hasilnya pada 3 Februari 1953, Rundingan Meja Bulat UMNO-MCA berjalan untuk mencari persefahaman dan kerjasama kedua-dua parti tersebut dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu. Tunku telah meletakkan syarat yang harus menjadi dasar rundingan iaitu: MCA hendaklah menerima dan mengiktiraf bahawa negeri ini adalah negeri Melayu, hak orang Melayu yang sebenar dan segala keutamaan terletak kepada orang Melayu dan tidak boleh dipersoalkan lagi. Pihak MCA telah menerima dan mengakui hakikat ini.

Manakala, pada 23 Ogos 1953 Konvensyen Kebangsaan telah dianjurkan oleh Perikatan UMNO-MCA buat pertama kalinya di Kuala Lumpur. Perhimpunan ini telah dihadiri oleh 14 perwakilan dari UMNO, perwakilan dari MCA, 14 wakil PAS, 2 wakil Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan dan dipengerusikan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra.

Tujuan konvensyen ini ialah untuk mendapatkan kata sepakat dan kerjasama bagi mengukuhkan perpaduan dan persefahaman antara kaum di Persekutuan Tanah Melayu agar bersatu hati menuju matlamat kemerdekaan. Melalui Konvensyen ini satu persetujuan dicapai untuk mendapatkan kemerdekaan secara damai dan berperlembagaan dan sebagai langkah pertama mereka menuntut agar pilihan raya Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu diadakan pada November 1954. Antara perkara lain yang dipersetujui ialah:

1. Mendiri dan mempertahankan dasar-dasar kerajaan yang bercorak demokrasi dan bertanggungjawab.
2. Mempertahankan kedudukan raja-raja Melayu sebagai ketua-ketua negara berperlembagaan.
3. Memberi kebebasan beragama, kebebasan menyatakan fikiran dan kebebasan mengadakan perhimpunan kaum dan memelihara hak mereka.

Hasil konvensyen ini satu jawatankuasa dibentuk bagi menyusun dan mengemukakan satu penyata berkaitan perhimpunan tersebut. Ahli jawatankuasa tersebut terdiri daripada:
1. H.S. Lee
2. Ong Yoke Lin
3. Dr. Ismail Abd Rahman
4. Sardon Jubir
5. Tunku Abd Rahman
6. Leong Yew Koh
7. Tan Siew Sin
8. Mohd Yassin Abd Rahman
9. Ahmad Rahim
10. Sheikh Mohd Daud Hj. Salleh

Sekiranya perpaduan antara kaum tidak dipelihara, tidak mustahil peristiwa 13 Mei 1969
tragedi pergaduhan kaum di Kuala Lumpur akan berulang. Hal ini membawa kepada penubuhan kerajaan darurat (MAGERAN) bagi mengamankan keadaan. Isu-isu perkauman yang menyentuh emosi dan sentimen menjadi tema utama sepanjang kempen pilihan raya yang telah menaikkan semangat kaum-kaum di Malaysia.
Semasa kempen Pilihan Raya 1969, calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik terutamanya daripada parti pembangkang, telah membangkitkan soal-soal sensitif berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai bumiputera dan hak kerakyatan orang bukan Melayu. Hal ini telah menimbulkan perasaan perkauman dan syak wasangka.
Angka rasmi menyatakan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang dan 9,143 ditahan.
Negara telah diisytiharkan darurat pada malam 16 Mei 1969 di seluruh negara dan Majlis Gerakan Negara (Mageran) dibentuk di bawah pentadbiran Tun Abdul Razak serta Parlimen dibubarkan. Namun begitu, keadaan akhirnya dapat di kawal dan beberapa keputusan telah diambil sebagai penyelesaian termasuklah penubuhan beberapa badan seperti Majlis Perundingan Negara, Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara dicipta.

PESANKU: Fikirlah secara positif, janganlah ikut sentimen perkauman seperti dahulu. Sekarang zaman sudah berubah, semua lapisan masyarakat tidak kira bangsa mahukan keamanan dan kesejahteraan tanpa ada sesiapa yang menjadi korban dan terbunuh. Kita mahu mengelakkan perang dan pertumpahan darah berlaku. Janganlah kita alpa...akibat perang bukan hanya nyawa tergadai malah harta benda dan negara juga boleh dimiliki bangsa lain.

1 comment:

si_merahhati said...

Hadith :
Dari Amir bin Saad dari bapanya r.a katanya:“Pada suatu hari Rasululah s.a.w datang dari daerah perbukitan. Ketika baginda sampai di Masjid Bani Mu’awiyah baginda masuk ke masjid tersebut lalu solat dua rakaat. Kami pun solat bersama-sama dengan baginda.Baginda berdoa kepada Tuhan panjang sekali. Setelah berdoa baginda berpaling kepada kami lalu bersabda:”Aku memohon kepada Tuhan tiga perkara. Dia memperkenankan dua perkara dan menolak satu perkara. Aku memohon kepada Tuhan supaya jangan membinasakan umatku dengan musim susah yang panjang. Maka diperkenankan. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang melanda umat Nabi Nuh atau seperti tentera dan Raja Firaun yang ditenggelamkan di lautan), permohonanku itu diperkenankan-Nya juga. Aku memohon supaya umatku jangan dibinasakan kerana pertentangan sesama mereka. Permohonan ini tidak diperkenankan. “

(Bukhari)

Walau siapa pn kita, janganlah ada sifat pentingkan diri. Sesama kaum hendaklah kita jaga keharmoniannya agar ia kekal sampai bila-bila. Tak rugi kita saling berbaik sungguhpun ideologi berbeza...