Tuesday, July 31, 2007
Koridor Utara dilancar -- RM177 bilion majukan empat juta penduduk melalui rancangan bersepadu
Dipetik dari http://www.utusan.com.my
ALOR STAR 30 Julai – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini melancarkan rangka tindakan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (Koridor Utara) yang melibatkan anggaran pelaburan kira-kira RM177 bilion mulai sekarang sehingga tahun 2025 iaitu rancangan pembangunan komprehensif yang menjanjikan masa depan cerah kepada lebih empat juta penduduk negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.
Perdana Menteri berkata, di bawah pembangunan Koridor Utara, keempat-empat negeri itu akan berganding bahu, berpadu tenaga, menyerlahkan kekuatan serta kelebihan ekonomi masing-masing untuk sama-sama membangunkan Koridor Utara.
‘‘Pembangunan Koridor Utara adalah usaha bersama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri untuk mempercepatkan tahap pembangunan kawasan utara Malaysia.
‘‘Kita telah mengalami kemajuan pesat sejak kemerdekaan tetapi kita masih perlu memastikan bahawa kemajuan diagih dan dirasai oleh lebih ramai penduduk di setiap pelosok negara,” kata Abdullah pada majlis pelancaran Koridor Utara di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Ampang Jajar di sini.
Dalam majlis bersejarah itu yang dihadiri kira-kira 10,000 rakyat dan juga keempat-empat ketua kerajaan negeri Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang, Perdana Menteri memberitahu, satu pertiga daripada pelaburan RM177 bilion bagi melaksanakan rancangan ekonomi dalam Koridor Utara datangnya daripada kerajaan manakala selebihnya daripada pelaburan swasta termasuk melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI).
‘‘Kerajaan akan memulakan pelaburan tersebut bagi menyediakan persekitaran sosioekonomi sebaik mungkin yang dijangka disambut pula oleh pihak swasta dengan pelaburan-pelaburan komersial,” katanya.
Koridor Utara merupakan program pembangunan wilayah terbaru kerajaan selepas Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor yang dilancarkan awal tahun ini dan cadangan Koridor Pantai Timur yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Perdana Menteri berkata, program yang dikenal pasti untuk fasa permulaan Koridor Utara dianggarkan melibatkan pertambahan peruntukan kerajaan sebanyak RM5 bilion menggunakan peruntukan sedia ada.
Katanya, kerajaan bercadang untuk menyediakan pelaburan itu melalui kajian semula program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan penambahan peruntukan semasa kajian separuh penggal RMK-9 nanti.
Dalam ucapannya, Abdullah berkata, konsep pembangunan Koridor Utara dirancang dengan kesedaran bahawa pembangunan akan terlaksana dengan lebih teratur dan pantas jika potensi setiap negeri digembleng bersama.
Menurut beliau, negeri-negeri utara sebenarnya mampu mencapai kemajuan yang lebih pesat dan setanding dengan negeri-negeri lain jika potensinya dimanfaatkan dan kegiatan ekonominya dilakukan secara moden.
Selama ini, kata beliau, negeri-negeri utara dilihat sebagai negeri yang kadar kemiskinannya tinggi manakala hasil pendapatan rakyat rendah ekoran kegiatan ekonomi yang tidak begitu komersial.
‘‘Sudah tiba masanya rakyat di utara memenuhi potensi sebenar mereka, mentransformasi kawasan luar bandar kepada ekonomi desa yang moden dan dinamik, mengukuhkan industri bandar, menentang kemunduran dan mengejar pelajaran dan kemajuan,” ujarnya.
Abdullah memberitahu, kerajaan akan menyediakan pakej insentif menyeluruh bagi menggalakkan pertumbuhan sektor ekonomi yang dirancang dalam Koridor Utara.
Beliau memberi jaminan pembangunan itu bukan hanya untuk syarikat-syarikat swasta tetapi juga boleh menguntungkan usahawan-usahawan kecil yang berkaliber.
‘‘Selain insentif fiskal, kerajaan juga akan menyediakan geran, modal teroka dan pinjaman mudah bagi sektor dan aktiviti tertentu,” katanya.
Hadir sama pada majlis pelancaran Koridor Utara di Ibu Pejabat MADA di sini ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Jeanne Abdullah, Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri empat negeri terlibat iaitu Datuk Seri Mahdzir Khalid; Datuk Seri Shahidan Kassim; Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan Tan Sri Koh Tsu Koon.
Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Effendi Norwawi serta Pengerusi Sime Darby Berhad, Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid.
Terdahulu, Perdana Menteri dan isteri tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH) Alor Star pada pukul 8.50 pagi dengan disambut Menteri Besar Kedah sebelum berangkat ke Istana Anak Bukit bagi menghadap Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu‘adzam Shah.
Pada majlis pelancaran Koridor Utara, Abdullah menerima Rangka Tindakan Koridor Utara daripada Ahmad Sarji dan beliau kemudian menyerahkan dokumen tersebut kepada empat Menteri Besar dan Ketua Menteri negeri-negeri yang terlibat.
Tiga teras ekonomi yang diberi tumpuan dalam rangka tindakan itu ialah pertanian, pembuatan dan perkhidmatan yang akan dibangunkan secara komprehensif di Wilayah Ekonomi Koridor Utara dalam tempoh 18 tahun akan datang.
Pelancaran pelan itu hari ini merupakan acara kemuncak lawatan kerja dua hari Perdana Menteri ke utara Semenanjung bermula hari ini di Kedah dan Perlis. Esok, beliau akan melawat Pulau Pinang dan Perak bagi melancarkan projek-projek awal Koridor Utara di negeri-negeri itu.
Ketika melawat tapak pameran Koridor Utara di Ampang Jajar di sini, Perdana Menteri turut melancarkan Koridor Utara peringkat negeri Kedah dan merasmikan Projek Estet Padi Kampung Jelai.
Komenku: satu lagi projek Kerajaan/BN/UMNO yang akan membawa kemajuan kepada negara dan masyarakat. Program pembangunan komprehensif yang disediakan kerajaan tersebut sesungguhnya memerlukan komitmen semua pihak untuk membangunkannya malah ia akan menjadi sia-sia jika rakyat masih berpeluk tubuh tanpa mengambil inisiatif untuk sama-sama terlibat memajukan diri, keluarga, masyarakat dan negeri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
usaha kerajaan sekarang yang melihat pentingnya pembangunan diagih sama rata. dahulu, kwsn yg membgn hanya wilayah tengah, then timbulnya idea WPI. dan sekrg ni Wilayah Ekonomi Koridor Utara. myb slps ini pula Wilayah Ekonomi Koridor Timur. maka, akan makmur la negara tercinta ini....
Post a Comment