Monday, April 2, 2007

CADANGAN PEGAWAI POLIS BACA KHUTBAH GUNA RAIFAL M-16

Baru-baru ini tercetusnya satu idea yang berbentuk polemik di kalangan masyarakat kita. Ianya tentulah idea yang diutarakan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat, di mana beliau mengutarakan khutbah Jumaat yang akan disampaikan oleh mana-mana pegawai polis untuk memegang senjata api.

Memegang raifal M-16 atau seumpamanya adalah kelainan daripada kebiasaan mana-mana khatib yang memegang tongkat ketika berada di mimbar. Ini berikutan daripada khutbah yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi pada Jumaat lalu, 23 Mac 2007 di Masjid Langgar sempena Ulang Tahun Pasukan Polis Ke-200.

Sebelum ini, Menteri Besar itu juga pernah menyarankan akan penggunaan senjata ketika memberikan khutbah sebagai simbol kuasa dalam sistem pertahanan di negara ini dengan mengambil contoh daripada sirah Rasulullah yang pernah menggunakan pedang ketika berkhutbah.

Beliau yakin dengan pendekatan seumpama ini dapat membendung peningkatan kes jenayah melalui konteks Islam dan pengisian khutbah juga seharusnya menekankan kepada masyarakat supaya terus bekerjasama dengan pihak polis.

Namun begitu, dua tokoh negara iaitu Tan Sri Musa Hassan, Ketua Polis Negara dan Datuk Harussani Zakaria, Mufti Negeri Perak tidak mempersetujui saranan ini kerana bimbang dengan perspektif orang ramai yang lebih cenderung melihat daripada sudut negatif. Selain daripada itu, tanggapan terhadap Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan juga akan memberikan impak yang sangat besar kepada masyarakat bahawa orang Islam sangat sinonim dengan keganasan dan terrorisme. Faktor keamanan negara juga sedikit sebanyak membuatkan orang ramai tidak menyokong saranan ini.

Samaada saranan ini dipersetujui atau sebaliknya akan dapat kita lihat nanti jika adanya kajian menyeluruh mengenai penggunaan senjata api dalam mendatangkan sedikit kegerunan orang ramai untuk melakukan jenayah.

Nampaknya, isu ini telah menghangatkan hari Ulang Tahun Polis kali ini...

2 comments:

si_merahhati said...

Slmt Hari Ulang Tahun Polis...

Semoga pasukan beruniform ini terus melangkah maju dengan gagah dan jayanya dalam menjaga keselamatan dan ketenteraman negara. Teruslah 'mesra, cepat dan betul'...

Menyentuh cadangan seperti ini, banyak perkara yang perlu diteliti, dikaji, diperhalusi. Tidak dinafikan peningkatan kadar jenayah kian hari kian membimbangkan. Tetapi perlukah hingga ke tahap membaca khutbah memegang senjata api semata-mata untuk menggerunkan rakyat daripada melakukan jenayah?

Soalnya apakah senjata api itu mendatangkan kesan yang mendalam dalam menangani perlakuan jenayah? Fikir-fikirlah...

siakapsenohong said...

hahaha...gelak besar dengar cadangan mursyidul am pas tu...
dah kehabisan idea lah tu..
Apa pun syabas dengan prestasi PDRM yang semakin baik dan cemerlang!
SELAMAT HARI POLIS KE-200