dipetik dari http://www.utusan.com.my
KUALA LUMPUR 6 Jun – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memilih Jeanne Abdullah sebagai pasangan hidupnya kerana wujud keserasian antara mereka berdua dan selepas mendapat restu anak-anak serta adik-beradiknya.
Menurut Perdana Menteri, bakal isterinya itu mampu menjaga beliau dengan baik.
Upacara pernikahan mereka akan diadakan di Seri Perdana, Putrajaya pada Sabtu ini.
Abdullah, 67, mengenali Jeanne sejak lebih 20 tahun lalu. Katanya, wanita berusia 54 tahun itu amat menyayangi arwah isterinya, Allahyarham Datin Seri Endon Mahmood.
‘‘Kasih dan cinta saya pada Kak Endon tetap teguh. Tuhan menciptakan banyak ruang dalam hati sanubari kita bagi berlainan orang untuk disayangi.
‘‘Kita boleh sayangi ibu, anak, isteri, cucu, adik tetapi kita tidak dapat bandingkan kasih kita kepada ibu dengan kasih kepada isteri. Jeanne adalah satu daripadanya... itu adalah kelebihan Allah,’’ kata Perdana Menteri dalam nada ceria pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) 2007 di sini petang ini.
Beliau telah berbincang dengan anak-anaknya, Kamaluddin dan Nori serta adik-beradiknya.
Mereka memberi restu kepada perkahwinan itu.
Pagi ini, Abdullah memaklumkan hasratnya untuk mengahwini Jeanne kepada Yang di-Pertuan Agong selain menyampaikan berita gembira itu kepada menteri-menteri pada mesyuarat mingguan Kabinet.
Selepas mesyuarat itu, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan satu kenyataan mengenai perkahwinan tersebut.
Menurut kenyataan itu, Jeanne dilahirkan pada 29 Julai 1953 di Kuala Lumpur dan
merupakan anak sulung daripada empat adik-beradik.
Beliau menerima pendidikan di Sekolah Menengah Assunta, Petaling Jaya dan berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan perhotelan setelah terlibat dalam pengurusan beberapa hotel terkemuka seperti Hotel Hilton dan Hotel Pan Pacific.
Jeanne sebelum ini bertugas sebagai pengelola kediaman rasmi Timbalan Perdana Menteri dan pengurus Kompleks Seri Perdana.
Jeanne mempunyai dua anak daripada perkahwinan lalu, Nadiah dan Nadene.
Perdana Menteri berkata, Jeanne pernah berkahwin dengan adik lelaki Allahyarham Endon tetapi mereka bercerai 15 tahun lalu.
Walaupun Perdana Menteri tersenyum bersulam ketawa ketika menjawab soalan-soalan pemberita mengenai perkahwinannya, tetapi beliau terkelu seketika apabila ditanya tentang perasaan kasihnya terhadap Endon yang meninggal dunia kerana kanser payudara dua tahun lalu.
Kasihnya terhadap Endon akan kekal abadi dalam ingatan, tegas Abdullah pada sidang akhbar itu yang dihadiri kira-kira 40 wartawan.
Kerana kasih beliau yang mendalam, Perdana Menteri mahu gambar-gambar Allahyarham Endon yang tergantung pada dinding di Seri Perdana terus dikekalkan.
‘‘Gambar-gambar Kak Endon yang ada itu adalah ingatan memori yang abadi... kalau nak tambah yang dia (Jeanne) punya tak apalah,’’ kata Abdullah.
Menjawab satu soalan mengenai perwatakan Jeanne yang menyebabkan beliau jatuh hati, Perdana Menteri berkata, bakal isterinya itu adalah orang yang cukup sederhana.
‘‘Dia seorang yang cukup sederhana, peramah, kalau diambil kira hubungan dia dengan orang yang datang ke rumah saya semasa Kak Endon masih hidup, dialah yang sambut kawan-kawan dan tetamu yang datang nak jumpa saya,” ujarnya.
Ditanya bilakah beliau mula jatuh cinta dengan Jeanne, Abdullah berkata: ‘‘Baru-baru ini... kurang daripada setahun.’’
Thursday, June 7, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Sebagai rakyat kepada sebuah negara demokrasi, marilah kita sama-sama mendoakan kebahagiaan Perdana Menteri kita Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi. Semoga perkahwinan beliau akan membawa kesejahteraan dan memberikan impak positif ke atas pentadbiran beliau dalam negara dan pemimpin dunia.
Semoga Pak Lah bahagia hingga ke akhir hayat...
Wanita merupakan tulang belakang kepada kejayaan seseorang lelaki, dan begitu juga kejatuhannya...
betul tak anisahmaisarah...
Dari Abdullah r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bersabda:”Hai para pemuda! Sesiapa di antara kamu yang telah sanggup memikul tanggungjawab berumahtangga, maka kahwinlah! Kerana perkahwinan itu dapat menundukkan mata dan kemaluan (dari dosa). Siapa yang belum sanggup, hendaklah dia berpuasa kerana puasa itu dapat menundukkan nafsu berahi.”
(Muslim)
Post a Comment