Monday, June 25, 2007

PAS Hadapi Krisis Identiti

dipetik dari http://www.umno-online.com/

Oleh Mohd Zahani Sulong

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh menegaskan bahawa PAS tidak akan diberi ruang di Terengganu kerana parti itu tidak berbuat apa-apa semasa mereka berkuasa, sedangkan Barisan Nasional (BN) melakukan pelbagai program pembangunan untuk kemajuan masyarakat setempat.

Katanya, perbalahan dalaman yang melibatkan golongan profesional dan ulamak membuktikan parti itu sedang menghadapi krisis identiti dalam perjuangannya hingga menyebabkan kepimpinan tertinggi gagal menentukan hala tuju yang sebenar mereka apabila berhadapan dengan rakyat.

Bercakap kepada wartawan selepas mesyuarat mingguan EXCO di sini, beliau menjelaskan bahawa kedudukan Hadi Awang selaku Presiden PAS mungkin tergugat dan ini terpulanglah kepada ahli-ahlinya sendiri untuk menilai perkembangan seterusnya yang akan berlaku.

“PAS sentiasa meniru apa yang dilakukan oleh UMNO dan BN dalam merealisasikan perjuangan mereka misalnya dapat dilihat apabila UMNO bergabung dalam Perikatan dan seterusnya BN, PAS juga turut sama membuat pakatan dengan DAP dan sebagainya,” jelas beliau.

Tegas beliau lagi, apabila UMNO menubuhkan parti sayap untuk Puteri UMNO yang terbukti berkesan dalam memberi perhidmatan politik kepada rakyat maka PAS secara tergesa-gesa menubuhkan Serikandinya yang mirip menyerupai Puteri UMNO .

“Ini jelas membuktikan bahawa mereka (PAS) gagal untuk mencipta identitinya sendiri.”

Datuk Seri Idris menjelaskan lagi, apa yang PAS mampu lakukan hanyalah bersyarah, berceramah dan mencabar pihak lain untuk berdebat, bagi menunjukkan kekuataan dan kehebatannya melalui pidato tetapi tidak mereka gagal melaksana dan mrealisasikan apa yang diperkatakan.

"Krisis dalaman PAS antara golongan profesional dan ulamak memperjelaskan kedudukan mereka yang tidak lama lagi akan meninggalkan ulamak dan ini tidak mustahil kepimpinan ulamak akan terkubur dalam PAS," katanya.

Tambah beliau lagi, kekalahan Ketua Dewan Ulamak PAS bagi kerusi Timbalan Presidennya baru-baru ini antara bukti jelas PAS berdepan masalah krisis identiti perjuangannya.

"UMNO Negeri Terengganu percaya bahawa mereka tidak lagi mendapat tempat dihati rakyat, terutama rakyat Terengganu khususnya dalam pilihan raya umum akan datang.”

Jelasnya lagi, kerajaan BN Terengganu telah melakukan apa sahaja bagi membangun serta memajukan program bagi kepentIngan umat Islam di negeri ini, termasuk membina masjid yang dilengkapi ICT iaitu satu konsep pelbagai guna dan menyeluruh bagi membolehkan merasai kemudahan untuk kebaikan mereka.

"Apa yang dilaksanakan oleh Kerajaan BN Terengganu sekarang ini tidak dilakukan oleh PAS sebelum ini."

No comments: