dipetik dari http://www.utusan.com.my
Oleh Zin Mahmud (WARTAWAN UTUSAN)
AKHIRNYA bekas Ketua Angkatan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Nor meninggalkan parti setelah berjuang lapan tahun di dalamnya.
Beliau antara tokoh penting yang turut mengasaskan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) pada 4 April 1999.
Pengorbanan dalam perjuangannya membela Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah besar apabila diambil kira bagaimana beliau serta-merta menyebelahi bekas Timbalan Perdana Menteri apabila dia dipecat.
Maka Ezam menjadi antara tokoh penting dalam gerakan reformasi yang dilancarkan Anwar pada tahun 1998. Ezam adalah antara mereka yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA).
Tetapi kerjayanya bersama Anwar adalah lebih lama lagi apabila dikira hubungan rapatnya dengan bekas Timbalan Presiden UMNO itu sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan pada tahun 1996. Sebagai Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO dan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan, beliau merupakan anak muda UMNO yang berada dalam kem Anwar pada zaman itu.
Ini tidak menghairankan kerana kerjaya beliau bermula di Institut Kajian Dasar (IKD) yang sejak awal lagi, malah hingga hari ini dikaitkan dengan Anwar. Maknanya kehidupan politiknya berkait dengan Anwar lebih 10 tahun lalu.
Ironinya, kini beliau keluar daripada PKR kerana tidak bersetuju dengan Anwar. Sepanjang Anwar berada di penjara, beliau memihak kepada tokoh pujaannya itu. Tetapi kini setelah Anwar memainkan peranan aktif dalam PKR, beliau meninggalkan mentornya itu.
Dakwaan-dakwaan timbul bahawa sikap apa yang disifatkan sebagai cara diktator Anwar dijadikan antara punca Ezam keluar parti. Juga dikatakan bahawa Anwar menyebelahi Naib Presiden PKR, Azmin Ali.
Dalam perjalanan politik Anwar pasca-UMNO, Ezam dan Azmin menjadi kembar dalam regu penyokongnya. Maka keluarnya Ezam daripada PKR menandakan perpecahan Ezam-Azmin yang berakhir dengan kemenangan Azmin.
Kemenangan
Sepanjang sejarah pendek Keadilan, Azmin lebih bernasib baik daripada Ezam. Azmin menang pilihan raya dalam tahun 1999 walaupun kalah pada tahun 2004. Ezam langsung tidak pernah mengecapi sebarang kemenangan.
Selepas kegagalan Keadilan untuk mengubah politik negara selepas pilihan raya 1999, perbalahan dalaman yang dahsyat telah berlaku. Satu demi satu pemimpin yang dianggap tokoh keluar dari parti.
Antaranya ialah Dr. Chandra Muzaffar, Marina Yusof, Zainur Zakaria dan Roslan Kassim. Tetapi keluarnya Ezam adalah lebih bermakna kerana ia berlaku selepas Anwar dibebaskan dan aktif dalam parti.
Tetapi kisah hendak keluar parti bukanlah perkara baru. Selepas pilihan raya 2004, apabila PKR kalah teruk, banyak anggota-anggotanya yang kembali ke UMNO. Antara mereka yang disebut-sebut akan kembali ke UMNO adalah Ezam.
Di kalangan pembangkang, Pas mahu menghalang Ezam daripada menyertai UMNO. Menurut laporan, mereka menawarkan supaya Ezam menyertai Pas dengan bayangan akan diperuntukkan kawasan pilihan raya di kawasan selamat parti itu.
Tetapi laporan juga menyebut ada kalangan UMNO yang mahu mengajaknya kembali ke parti asalnya.
Secara rasmi, Ezam menegaskan mahu menumpukan perhatian terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gerakan bagi Demokrasi dan Anti-korupsi (Gerak).
Hujahnya ialah bahawa dengan menyertai mana-mana parti politik, NGOnya tidak akan berkecuali serta bebas dalam melaksanakan aktivitinya. Bagaimana dia hendak mengkritik pihak pembangkang jika menjadi pemimpin parti pembangkang.
Tetapi walaupun dia telah keluar parti pembangkang, NGO itu akan terus dilihat sebagai sebahagian daripada golongan pembangkang, termasuk Ezam.
Bagaimanapun Ezam menyatakan bahawa dalam politik boleh berlaku apa saja dengan membayangkan bahawa tidak mustahil beliau boleh menyertai parti-parti politik selain PKR, termasuk UMNO.
Malah beliau ada menyebut akan menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam rangka menjalankan program antikorupsinya. Dalam hal ini, Ezam menekankan akan menyokong semua usaha menentang korupsi tidak kira oleh siapa, termasuk dari pihak kerajaan.
Tetapi pemerhati akan mentafsirkan tindakannya itu sebagai langkah berjinak-jinak dengan pihak kerajaan.
Dari segi strategi politik, langkahnya untuk menumpukan perhatian kepada Gerak dapat difahami. Jika dia berjaya membina Gerak pada tahap yang membanggakan, maka nilai politiknya akan lebih tinggi. Pada masa itu, penyertaan semulanya ke dalam UMNO akan lebih baik.
Lemah
Ini kerana perlu difikirkan bahawa sesiapa daripada PKR, termasuk Ezam yang mahu menyertai UMNO tidak mempunyai nilai politik tinggi. Ini kerana PKR amat lemah dan hampir rebah. Malah langkah Ezam meninggalkan PKR ini menambah rebah kepada parti ini.
Semua pemimpin PKR yang ingin menyertai semula UMNO pasti sedar tentang perkara ini. Jika sebaik saja selepas pilihan raya tahun 1999 dahulu, pemimpin-pemimpin PKR ini menyertai UMNO, maka nilai mereka adalah lebih tinggi.
Justeru jika mereka mahu nilai yang tinggi, pemimpin-pemimpin PKR yang ada sekarang perlu membuktikan bahawa mereka mampu membawa keuntungan kepada UMNO.
Itulah realiti politik pembangkang di negara ini. Mereka akan terus beroperasi secara membangkang, baik dalam bentuk parti politik mahupun NGO. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Tetapi untuk benar-benar berkesan dari segi memiliki kuasa dan memanfaatkannya, mereka perlu menyertai parti kerajaan.
Wednesday, June 27, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment