Monday, June 25, 2007

Pembalakan hutan simpan di Kelantan berleluasa

KOTA BHARU 24 Jun – Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar mengarahkan Majlis Perhutanan supaya menyiasat kegiatan penerokaan hutan dan pembalakan yang semakin berleluasa di Kelantan.

Setiausaha Parlimen Kementerian itu Datuk Sazmi Miah berkata, siasatan awal pihaknya mendapati bahawa kegiatan pembalakan di kawasan tertentu di Kelantan, dilakukan melebihi had yang dibenarkan.

Katanya, siasatan itu dibuat sebagai susulan kepada laporan sebuah stesen televisyen swasta baru-baru ini, mengenai pembalakan di Sungai Durian, Kuala Krai, yang dikatakan membabitkan kawasan tadahan hujan.

Beliau berkata, pihak kementerian merasa pelik bagaimana pengeluaran kayu-kayan yang membabitkan hutan simpan kekal boleh berleluasa di Kelantan, dan menurutnya majlis perhutanan negeri serta negara perlu memberi penjelasan bagaimana perkara ini boleh berlaku.

Katanya, bersadarkan maklumat awal, lebih 40,000 hektar kawasan hutan sudah diterokai di Kelantan, dan jika dibandingkan dengan negeri lain, Kelantan merupakan negeri yang paling banyak menerokai kawasan hutannya.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, Sazmi berkata, antara kawasan hutan yang dimaksudkan termasuk kawasan sekitar timur Kelantan, seperti di Ulu Temiang.

Terdahulu Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Dali Husin membuat satu laporan kepada Badan Pencegah Rasuah Kelantan di pejabat badan itu di sini hari ini, menggesa supaya siasatan mengenai kegiatan berkenaan dimulakan.
-- Bernama

No comments: