Wednesday, June 27, 2007

PKR tidak dipimpin matang – Ezam

dipetik dari http://www.utusan.com.my
Oleh SITI AINIZA KAMSARI

KUALA LUMPUR 26 Jun – Ezam Mohd. Nor yang mengisytiharkan dirinya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa PKR tidak dipimpin dengan matang malah dikuasai secara eksklusif oleh golongan tertentu yang berkepentingan peribadi sehingga menyebabkannya lemah.

Bekas Ketua Angkatan Muda (AMK) PKR itu berkata, faktor tersebut menjadi punca utama beliau bertindak keluar daripada parti itu.

“Perebutan jawatan dalam pemilihan parti baru-baru ini jelas membuktikan kepimpinan PKR yang tidak matang.

“Walaupun saya tidak bertanding dalam pemilihan itu bagi mengelakkan pergolakan selain cuba untuk terus bertahan dalam parti tetapi langkah ini tidak difahami oleh ahli-ahli.

“Mereka sebaliknya tetap berebut (jawatan) sehingga penyokong menjadi keliru dan berpecah, jadi saya terpaksa bertindak keluar parti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhir tahun lalu, Ezam melepaskan jawatan dalam AMK untuk memberikan tumpuan kepada usaha menubuhkan Gerakan Demokrasi dan Anti Korupsi (GERAK).

Jawatan yang dikosongkannya itu dipangku oleh Shamsul Iskandar Mohd. Akin yang kemudian memenangi pemilihan AMK sesi 2007/2010.

Ezam mengulas laporan akhbar hari ini mengenai tindakan beliau keluar parti secara rasmi April lalu yang didakwa berpunca daripada corak kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menjadi idolanya.

Beliau mengakui dalam PKR wujud perlakuan yang berlawanan dengan prinsip dan dasar parti apabila hala tuju PKR ditentukan oleh mereka yang tidak diberi mandat untuk memimpin parti itu.

“Saya tidak kata Anwar seorang diktator tetapi ada tindakan-tindakannya melalui proses itu, tetapi ia bukan sebab utama saya keluar parti. Sebaliknya perlakuan politik melampau dalam parti menyebabkan saya hilang kepercayaan dan tidak perlu lagi berada di situ,” katanya.

Menurut Ezam, perebutan jawatan tidak sesuai berlaku dalam sebuah parti pembangkang.
“Apabila berlaku perebutan, ia bererti ahli-ahlinya tidak muafakat dan bersatu walaupun atas alasan bagi mendapatkan pemimpin dan kepemimpinan yang terbaik.

“Namun pemimpin yang terbaik tentunya boleh menyatupadukan ahli dan memberi tumpuan kepada soal pembangunan dan kemajuan negara berbanding bertelagah sesama sendiri,” katanya.

Mengulas peletakan jawatannya, Ezam memberitahu beliau sudah menyerahkan surat keluar parti kepada Setiausaha PKR Bahagian Shah Alam semasa ulang tahun kelapan penubuhan PKR baru-baru ini.

Beliau bagaimanapun menafikan tindakannya itu disebabkan hendak menyertai parti lain. Katanya, tumpuannya kini adalah kepada GERAK.

No comments: