Tuesday, April 24, 2007

Penduduk Taman Suria Gembira Pelbagai Masalah Selesai

dipetik dari http://www.kpmu.net/

Topic: Artikel Politik

KUALA SELANGOR, 22 April -- Kira-kira 1,000 penduduk Taman Suria di sini berterima kepada kerajaan dan MIC kerana setelah 15 tahun, mereka akhirnya menerima sijil layak diduduki (CF), untuk 180 buah rumah di taman itu.

Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu berkata masalah banjir yang melanda kawasan taman perumahan itu lebih lima tahun lepas juga sedang diatasi dengan kerja melebar dan mendalamkan parit berhampiran kawasan itu.

Pada satu majlis yang berlangsung di sini, ratusan penduduk pelbagai kaum, hadir menyambut Samy Vellu yang juga Menteri Kerja Raya dan calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok K.Parthiban.

Penduduk di situ, yang 90 peratus adalah kaum India, turut melahirkan penghargaan kepada kerajaan BN kerana masalah pencemaran asap dari sebuah kilang membuat sarung tangan yang terletak berhampiran, juga sedang diatasi.

Samy Vellu berkata Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar telah meminta kilang itu agar memasang peralatan yang sesuai bagi menangani pencemaran asap.

Sementara itu Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo berkata pembangkang berfikiran sempit dan sengaja mengelirukan pengundi di Ijok dengan mengatakan orang Islam tidak boleh mengundi calon bukan Islam.

Orang Islam sebenarnya boleh memilih sesiapa sahaja untuk bekerjasama seperti yang diamalkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi, katanya.

"Kita kena adil kepada sesiapa sahaja walaupun berlainan agama dan kalau kita perlu berperang untuk mereka pun kita akan buat kerana dalam Islam, orang bukan Islam yang boleh bekerjasama dengan orang Islam, kita kena beri mereka tempat," katanya pada sidang akhbar selepas majlis Penyampaian Penajaan Buku Kerja Sains dan Matematik kepada sekolah-sekolah di kawasan DUN Ijok.

Mengenai tuduhan pembangkang kononnya ada penyelewengan dalam pemberian kontrak pembangunan di Ijok, Dr Mohamad Khir berkata rakyat tidak perlu bimbang kerana segala kontrak yang diberikan telah direkodkan.

"Jangan bimbang kalau kata saya bagi kepada adik-beradik saya saja tak ada... nak kata saya bagi kepada kroni saja semua penyokong kerajaan adalah kroni saya," katanya mengenai peruntukan RM36 juta kerajaan negeri kepada kawasan DUN Ijok untuk pelbagai projek pembangunan.

1 comment:

namad said...

Terima kasih kerajaan Selangor. Terima kasih Mendiang, kerana memberi peluang peminpin datang ke IJOK dan terima kasih SPR adakan pilihanraya kecil. Kalau tak hampeh la kot.