Friday, February 22, 2008

‘Semalam cakap lain, esok cakap lain’

Dipetik dari - http://www.utusan.com.my
Tulisan - Herman Hamid

TENTUNYA ramai yang masih ingat kata-kata Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat: “Tak salah berkawan dengan syaitan.”

Kata-kata untuk menjustifikasikan ‘perkahwinan’ partinya dengan DAP ketika itu.

Itu diucapkannya menjelang pilihan raya umum 1999 dan kata-katanya itu juga menimbulkan perdebatan umum hinggakan pemimpin Pas lain terpaksa mencari hujah bagi menegakkannya.

Sedangkan semua tahu yang berulang kali ditegaskan dalam al Quran; ‘Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata’.

Itu bukan kali pertama atau yang terakhir Menteri Besar Kelantan itu mengeluarkan kenyataan bersifat aneh, ganjil dan pelik yang menimbulkan polemik.

Terbaru, kelmarin ketika di Alor Star, Nik Aziz yang telah berusia 77 tahun itu mengeluarkan kenyataan bahawa ‘orang UMNO sama sahaja dengan orang utan’.

Tentunya agak menghairankan bagaimana seorang berlatar belakang agama seperti beliau boleh berkata sedemikian apatah lagi dirinya membawa gelaran tok guru.

Bertambah pelik lagi apabila kenyataan tersebut hanya selang beberapa hari selepas Nik Aziz sendiri mengingatkan pemimpin dan petugas Pas supaya tidak menggunakan kata-kata mengaibkan yang boleh menyinggung perasaan parti lawan.

“Apakah tindakan menyamakan makhluk yang Allah ciptakan sebaik-baik kejadian dengan orang utan satu pendekatan yang baik, sopan seperti yang Nik Aziz sendiri cakap,’’ soal seorang pendakwah bebas, Rujuhan Abdul Rahman.

Menyinggung

Tambah Rujuhan, kenyataan Nik Aziz itu bukan hanya menyinggung seluruh ahli UMNO termasuk pejuang parti itu sejak sebelum merdeka, tetapi jika ditanya sesiapa pun tahu bahawa ia bertentangan dengan Islam dan sifat Rasulullah S.A.W yang menjadi idola umat Islam.

‘‘Nik Aziz tahu Islam menganjurkan teguran secara berhikmah, sebab itu dia ingatkan penyokong Pas supaya guna pendekatan tersebut.

‘‘Tetapi kena masa dia, sebaliknya pula. Tentunya mengata sekumpulan manusia sama dengan haiwan yang tidak berakal itu sama sekali tidak menggambarkan akhlak Islam,’’ tegasnya yang berasal dari negeri Serambi Mekah itu.

Sebab itu, bagi Rujuhan dari apa yang diperkatakan Nik Aziz itu sebenarnya dalam masa yang sama mendedahkan kepada umum tentang sejauh mana konsistensi pendirian Mursyidul Am Pas itu.

‘‘Bukankah pelik, tak sempat beberapa hari ingatkan penyokong guna perkataan sopan, dia pula sebaliknya.

‘‘Tetapi itulah Nik Aziz. Bila kita kata Pas bertopeng agama, Pas marah. Tetapi inilah satu contohnya, semalam cakap lain, esok cakap lain.

‘‘Sebab itu dasar kerajaan Pas Kelantan berubah-ubah, sekejap haram, esok benarkan pula,’’ kata beliau.

Biar apa pun yang cuba ditegakkan Pas, ramai yang melihat soal tidak konsistennya mereka jelas didorong oleh faktor politik iaitu untuk mengekalkan kuasa.

Dalam keadaan terhimpit di Kelantan seperti mana sekarang, Nik Aziz sendiri seakan terpaksa membelakangi apa yang ditegaskannya sebelum ini.

Hakikat ini turut disentuh seorang uztaz muda, Mohd. Afandi Yusoff bahawa serangan seperti ini digunakan sebagai satu senjata utama untuk berdepan Barisan Nasional (BN) dengan mengulangi strategi melempar pelbagai tuduhan kepada orang UMNO.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Rantau Panjang yakin, Pas kini mula tertekan dengan gelombang demi gelombang yang mahukan perubahan di Kelantan.

‘‘Serangan terbaru Nik Aziz ini tidak ubah hanyalah untuk mengalihkan isu kegagalan kerajaan Pas sepanjang memerintah 18 tahun di Kelantan yang didedahkan UMNO.

‘‘Beliau juga sedar dengan sikap pemurah kerajaan Pusat kepada Kelantan sekarang ini cukup disenangi kebanyakan rakyat termasuk penyokong Pas sendiri.

Sedar

‘‘Di mana-mana kedengaran ‘Padan dah 18 tahun’. Ini yang ditakuti Pas dan sebab itu serangan mula dibuat dan tidak hairan sekiranya lebih banyak tuduhan dan fitnah akan dilemparkan,’’ jelasnya.

Bagi Afandi yang merupakan lulusan sebuah universiti di Jordan, sepatutnya Nik Aziz sedar kata-kata sedemikian hanya ‘ibarat meludah ke langit’ jika diperhalusi tentang sifat orang utan.

‘‘Orang utan duduk di hutan dia tidak buat apa. Apa yang dia tahu, cari makan benda yang ada dalam hutan. Itu rutin setiap hari.

‘‘Tapi kalau tengok kerajaan UMNO, kita bekerja memastikan rakyat terbela, membangunkan negara dengan wawasan yang jelas. Dari sudut ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lain semua diusahakan untuk beri yang terbaik.

‘‘Kerajaan yang tak mampu buat semua inilah yang sebenarnya kerajaan orang utan. Saya tak mahu tuduh siapa, tapi ada lah satu kerajaan ni yang masjid pun tak buat, skim perumahan rakyat tiada, peluang pekerjaan amat terhad, industri tak berkembang,’’ tegasnya.

Justeru dengan keadaan cengkaman politik Pas yang semakin longgar di Kelantan, apakah mungkin lebih banyak lagi kata-kata Nik Aziz yang pelik, aneh dan ganjil dari apa yang menjadi kefahaman umat Islam kedengaran.

Jika dilihat situasi sebelum ini, ia tidak mustahil. Siapa yang boleh lupa tentang ‘‘Tuhan pun mencarut’’, ‘Tuhan gedebe’, ‘istikharah’ nak pilih UMNO atau Pas sama dengan istikharah nak zina ke nak kahwin’ selain ungkapan UMNO tidak Islam seperti yang sering dikatakannya.

Pada Rujuhan yang merupakan lulusan Universiti Al-Azhar, selain konsep Machiavelli yang tersohor tentang matlamat menghalalkan cara, beliau juga teringat akan sejarah perjuangan Syiah.

‘‘Kumpulan ini sanggup ‘mentakfir’ sekumpulan Islam yang lain mengatakan hanya mereka yang Islamik untuk terus berkuasa,’’ ujarnya.

1 comment:

Adely said...

http://understandingmalaysia.blogspot.com/