Wednesday, April 30, 2008

Perkataan Allah: Permohonan gereja Katolik ditentu 5 Mei

Mahkamah Tinggi di sini akan menentukan pada 5 Mei ini keputusan permohonan gereja Katolik untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap larangan menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan mingguan Herald - The Catholic Weekly.

Hakim Lau Bee Lan menetapkan tarikh tersebut selepas selesai mendengar hujah kedua-dua pihak berhubung permohonan berkenaan.

Peguam Kanan Persekutuan, Azizah Nawawi yang mewakili responden-responden berhujah bahawa pihaknya tidak membantah permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman terhadap tuntutan perisytiharan bahawa larangan itu adalah tidak sah dan batal.

Bagaimanapun, beliau membantah tuntutan pemohon berhubung perisytiharan penggunaan perkataan dalam penerbitan itu dan tuntutan perkataan Allah tidak eksklusif kepada agama Islam.

Ini kerana, katanya, perisytiharan berkaitan hak tersebut seharusnya dibuat melalui tindakan saman (writ action) dan bukannya melalui semakan kehakiman yang digubal untuk menyemak keputusan menteri.

''Pemohon tidak boleh mengisytiharkan hak peribadi mereka untuk menggunakan perkataan Allah dalam permohonan semakan kehakiman. Cara yang betul adalah melalui tindakan saman atau di bawah Seksyen 41 Akta Relif Spesifik 1950,'' katanya.

Gereja Katolik selaku pemohon menamakan Menteri Keselamatan Dalam Negeri responden pertama dan Kerajaan Malaysia responden kedua.

Gereja berkenaan mengemukakan permohonan semakan kehakiman bagi menuntut perisytiharan agar keputusan responden-responden yang melarang penggunaan perkataan 'Allah' dalam penerbitan tersebut adalah tidak sah dan batal.

Larangan penggunaan perkataan tersebut terkandung dalam keputusan responden-responden yang menyatakan bahawa permit penerbitan pemohon bagi tempoh sepanjang tahun ini adalah tertakluk kepada 'Garis Panduan Penerbitan'.

Pemohon turut menuntut perisytiharan bahawa mereka berhak menggunakan perkataan Allah dalam penerbitan itu dan perkataan Allah tidak eksklusif kepada agama Islam.

Menurut Azizah, isu sama ada pemohon mempunyai hak menggunakan perkataan Allah berdasarkan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, perlu ditentukan oleh mahkamah selepas mendengar keterangan pakar terhadap isu tersebut.

Begitu juga, kata Azizah, keterangan pakar diperlukan sebelum mahkamah membuat keputusan bagi menentukan tuntutan mengenai perkataan Allah yang dikatakan tidak eksklusif kepada agama Islam kerana ia membabitkan kepercayaan dan penggunaan bahasa.

''Persoalan penting tersebut tidak boleh ditentukan oleh mahkamah berdasarkan kepada afidavit pemohon dan menteri semata-mata,'' kata beliau ketika memohon agar permohonan kebenaran bagi kedua-dua isu itu ditolak.

Sementara itu, peguam Porres Royan pula berhujah, adalah pramatang untuk mahkamah mendengar hujah berhubung remedi yang sesuai berhubung tuntutan kedua-dua isu itu di peringkat awal ini yang hanya membabitkan permohonan mendapatkan kebenaran.

Isu tersebut, menurut beliau, sepatutnya didengar pada peringkat semakan kehakiman kelak jika kebenaran diberikan oleh mahkamah.

Komen:

Mula-mula mereka menggunakan perkataan Allah dalam penulisan, kemudian tak mustahil mereka menggunakan perkataan Allah juga untuk menghina Islam. Ini merupakan isu serius dan perlukan tindakan menyeluruh dari semua pihak termasuklah mahkamah dan perundangan Islam. Lebih baik kita berwaspada daripada terjadi lagi penghinaan yang sama.

No comments: