Wednesday, April 16, 2008

Sombongnya Pakatan Rakyat!

Pakatan pembangkang antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhasrat menguasai beberapa negeri lain pada pilihan raya umum akan datang dan meninggalkan Johor kepada UMNO sebagai 'muzium'.

Menteri Besar Kedah, Azizan Abdul Razak berkata, matlamat berkenaan boleh dicapai selepas pakatan pembangkang itu berjaya menawan Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Selangor pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, antara negeri yang akan mereka rampas daripada Barisan Nasional (BN) dan UMNO selepas ini ialah Perlis, Terengganu dan Pahang.

''Kita akan menguasai semua negeri seperti Perlis, Terengganu dan Pahang pada pilihan raya umum akan datang dan kita mahu tinggalkan Johor kepada UMNO sebagai muzium.

''Kalau orang mahu tengok UMNO, pergilah ke Johor,'' katanya di hadapan kira-kira 50,000 hadirin pada Majlis Perhimpunan Rakyat di Stadium Perak anjuran pakatan pembangkang di sini malam tadi.

Azizan mendakwa, kejayaan Pas, DAP dan PKR mengambil alih kerajaan negeri di Kedah membolehkan rakyatnya bebas daripada pemerintahan UMNO dan membolehkan mereka hidup di bawah kerajaan baru yang lebih mesra rakyat.

Komen:

Pakatan Rakyat nampaknya semakin angkuh dengan kuasa yang baru mereka miliki hinggakan tanpa segan silu mencanangkannya secara terbuka.

Sifat angkuh dan sombong telah banyak membinasakan makhluk Allah s.w.t., bermula dari peristiwa pengusiran Iblis dari syurga kerana , lantaran niat sombongnya, enggan sujud kepada Nabi Adam a.s tatkala diperintahkan oleh Allah s.w.t. untuk sujud hormat kepadanya.

Demikian juga Allah s.w.t telah menenggelamkan Qarun beserta seluruh hartanya ke dalam perut bumi disebabkan kesombongan dan keangkuhannya terhadap Allah s.w.t dan juga kepada kaumnya sendiri.

Allah s.w.t juga telah menenggelamkan Fir'aun dan bala tenteranya ke dalam laut kerana kesombongan dan keangkuhannya terhadap Allah s.w.t. dan juga kepada kaumnya sendiri, dan kerana kesombongannya itulah dia lupa diri sehingga dengan keangkuhannya dia menyatakan dirinya adalah tuhan yang mesti disembah dan diagungkan.

Kehancuran kaum Nabi Luth a.s juga karena kesombongan mereka dengan menolak kebenaran yang disampaikan Nabi Luth a.s. agar mereka meninggalkan kebiasaan buruk mereka iaitu melakukan penyimpangan seksual, yakni lebih suka memilih pasangan hidup sama jenis (homosek); sehingga tanpa disangka-sangka pada suatu pagi, Allah s.w.t membalikkan bumi tempat tinggal mereka dan tiada seorang pun dari mereka yang dapat menyelamatkan diri dari azab Allah yang datangnya secara tiba-tiba itu.

Mungkin kali ini dengan kuasa dari Allah s.w.t kesombongan dan keangkuhan Pakatan Rakyat akan diperlihatkan. Janganlah menjadi terlalu angkuh dan bersifat biadab dan sombong terhadap kuasa kecil dan sementara yang diberikan kepada rakyat. Rakyat makin merasakan bahawa kuasa yang diberikan oleh mereka kepada Pakatan Rakyat adalah satu kesilapan besar yang pernah dilakukan. Rakyat kini kembali berdoa untuk dilepaskan kuasa yang mereka berikan kepada PR agar mereka sedar bahawa kuasa yang diberikan adalah dari rakyat dan rakyat sendiri memohon dari Allah s.w.t untuk merestui permohonan rakyat terhadap kuasa yang mereka perolehi.

Mengapa manusia dilarang bersikap sombong? Sebabnya ialah manusia adalah makhluk yang lemah. Layakkah makhluk yang lemah itu bermegah-megah dan sombong di hadapan penguasa langit dan bumi? Sayangnya, realiti masakini , kita dapati ramai manusia yang lupa hakikat dan jati dirinya, sehingga membuat dia sombong dan angkuh untuk menerima kebenaran, memandang rendah orang lain, serta memandang dirinya sempurna segala-galanya.

Rasulullah s.a.w. , telah menjelaskan tentang bahayanya sifat sombong dan angkuh, sebagaimana diriwayatkan dari Abdullah Bin Mas'ud r.a., dari Nabi s.a.w , beliau bersabda,

"Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya sedikit sifat sombong, kemudian seseorang berkata: "(Ya Rasulullah) sesungguhnya seseorang itu suka pakaiannya bagus dan kasutnya bagus", Beliau bersabda: "Sesunguhnya Allah itu indah dan Dia menyukai keindahan, (dan yang dimaksud dengan) kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendah-rendahkan orang lain" (HR. Muslim)

No comments: