Monday, April 21, 2008

Pembangkang berpecah di Selangor?

Rakyat Selangor diseru supaya bersatu dan bersedia menghadapi kemungkinan perpecahan dalam pakatan pembangkang yang diwakili oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), Pas dan DAP yang ketika ini memerintah negeri ini.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Noh Omar berkata, pakatan ketiga-tiga parti berkenaan terlalu 'rapuh' dan tidak berada pada landasan atau matlamat yang sama untuk menerajui negeri itu.

Katanya, keadaan sedemikian jelas dilihat pada pilihan raya umum lalu dengan penggunaan simbol masing-masing dan bukannya berpegang kepada satu simbol seperti Barisan Nasional (BN).

Malah, tiada satu parti pun termasuk BN sendiri berjaya mendapatkan kemenangan majoriti untuk menubuhkan kerajaan negeri yang memerlukan 29 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Menurutnya, Selangor kini diperintah sebuah kerajaan yang lemah kerana tiga parti itu sebenarnya, mempunyai ideologi berbeza dan hanya bergabung untuk membentuk kerajaan negeri semata-mata.

"Kita tahu Pas yang bercakap tentang negara Islam tetapi DAP sudah beri amaran kepada Pas jangan lagi cakap mengenai perkara itu.

''PKR pula terdiri daripada pelbagai kaum dan kita tidak tahu bagaimana mereka akan membela antara satu dengan lain termasuklah menjaga kepentingan orang Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis kesyukuran bersama persatuan penduduk dan persatuan teksi di Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Noh yang juga ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO menambah, sekiranya satu parti dalam pembangkang itu keluar daripada pakatan mereka, kerajaan Selangor yang ditadbir mereka akan runtuh.

''Kalau Pas keluar daripada pakatan, mereka akan tinggal 28 kerusi saja kerana PKR hanya mempunyai 15 kerusi manakala DAP hanya 13 kerusi.

"Sekiranya DAP keluar, lagi hancur kerajaan negeri kerana mereka akan hanya tinggal 23 kerusi, lagilah mereka tidak boleh memerintah," jelasnya.

Beliau turut menyeru setiap ahli UMNO supaya kembali dan menghayati semangat generasi terdahulu yang ditunjukkan pada tahun 1946 yang sentiasa bersatu walaupun pada ketika itu masyarakat Melayu berada dalam serba kemiskinan, tiada kemajuan dan buta huruf.

Katanya, semangat perpaduan sedemikian perlu diterapkan kepada generasi hari ini kerana ia terbukti telah membawa perubahan kepada orang Melayu dahulu menentang penjajahan.

"Semangat sedemikian perlu ada pada setiap ahli UMNO dan orang Melayu pada masa ini kerana tanpa ahli yang bersatu padu, tiada siapa pun yang boleh menjadi pemimpin atau bangsa yang hebat,'' ujarnya.

Katanya, sekiranya pemimpin datang dari langit sekali pun, tetapi jika ahli tidak bersatu padu, pemimpin dan keseluruhan masyarakat tidak akan berjaya.

Komen:

Gabungan PR hanya untuk kepentingan sesuatu pihak di dalamnya. Dilihat sekarang DAP memegang kuasa penuh dalam parti PR, keduanya PKR dan terakhir adalah PAS. Jelas di sini telah timbul persempadanan dalam pemberian kuasa dan hak majoriti bersuara dalam pakatan tersebut.

PR hanya untuk mengaburi mata rakyat kononnya mereka bersatu untuk kepentingan rakyat walaupun sebenarnya ianya hanyalah untuk kepentingan mereka untuk mengaut keuntungan dan kuasa.


No comments: