Wednesday, April 30, 2008

Mekanisme baru kawal harga – PM

Kerajaan telah merumuskan satu mekanisme baru bagi mengawal kenaikan mendadak harga barangan termasuk bahan-bahan binaan, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, mekanisme itu yang akan diumumkan dalam masa terdekat bertujuan memastikan projek-projek yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Jawatankuasa Menangani Inflasi yang bermesyuarat hari ini telah mengambil pertimbangan mengenai keperluan bahan-bahan binaan.

“Apakah bentuk pendekatan yang dibuat, kita akan umumkan dalam masa terdekat,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Perdana Menteri menjelaskan, mekanisme tersebut diperkenalkan bagi memastikan projek-projek berorientasikan rakyat dalam RMK-9 dapat digerakkan sehingga tiga tahun lagi tanpa sebarang masalah.

“Selepas itu kita akan lihat, jika ada wang, kita akan teruskan dengan projek-projek lain. Jika kemudian kita tidak ada wang, kita akan kaji balik,” katanya.

Menurut beliau, projek-projek yang akan diberikan keutamaan pada masa kini adalah projek yang bertujuan membantu rakyat berpendapatan rendah.

Katanya, mana-mana projek RMK-9 yang berkaitan dengan infrastruktur yang besar dan tiada hubung kait dengan rakyat akan dipertimbangkan semula.

Abdullah juga memberi jaminan projek-projek yang dirancang di bawah beberapa koridor pembangunan akan diteruskan seperti biasa.

“Saya percaya jika kita ada wang yang cukup, kita akan laksanakannya pada tahun ini,” ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, jika berlaku peningkatan kos dalam mana-mana projek, kerajaan akan menambah peruntukan supaya pelaksanaan projek-projek itu tidak terganggu.

Komen:

Kerajaan perlukan mekanisma untuk mengawal harga barang dan juga menambahkan stok simpanan barangan mentah untuk kegunaan rakyat dalam negara. Negara tidak perlu mengharapkan orang tengah lagi yang selama ini mengawal barangan di pasaran kerana dengan adanya badan khas yang mengawal dan menyimpan stok barangan (bank barang) maka segala bentuk kekurangan makanan dan bahan mentah akan dapat ditangani dengan mudah dan cepat.


No comments: