Thursday, April 17, 2008

PKR Tunjuk Baik Tapi...

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman hari ini menafikan nama Datuk Seri Anwar Ibrahim dimasukkan sebagai penceramah pada perhimpunan Black 14 yang diadakan di Kampung Baru, di sini, Isnin lalu.

Menurut beliau, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, telah memutarbelitkan kenyataan apabila mendakwa penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu termasuk dalam senarai awal yang diserahkan kepada polis.

Beliau menegaskan, situasi itu bercanggah dengan surat permohonan yang dikemukakan oleh pejabat Menteri Besar itu kepada polis pada 8 April lalu.

"Menerusi surat berkenaan, mereka memaklumkan hanya tiga pemimpin tertinggi sepatutnya berucap iaitu Naib Presiden PKR, Azmin Ali, Abdul Khalid serta Timbalan Pengerusi Kelab Sultan Sulaiman, Datuk Mokhtar Ahmad.

"Dalam surat itu juga tidak dinyatakan nama Anwar sebagai salah seorang yang akan memberi ucapan pada malam itu tetapi apabila polis mendapat tahu beliau berucap ia telah melanggar kebenaran yang kita berikan sehingga membawa kepada satu perhimpunan tanpa permit," katanya.

Sehubungan itu, katanya, jawatankuasa penganjur diminta membuat permohonan permit tetapi tidak diendahkan oleh pihak penganjur.

"Justeru, kita akan menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pihak yang bertanggungjawab memutarbelitkan kebenaran yang diberikan," katanya selepas merasmikan Majlis Kor Kadet Polis ke-38 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, polis hanya memberi kebenaran kepada penganjur untuk mengadakan majlis makan malam sebaliknya bertukar menjadi perhimpunan dihadiri kira-kira 10,000 penyokong Anwar bagi meraikan 'Black 14', sambutan tahunan sempena memperingati tarikh Anwar dijatuhkan hukuman untuk kes pertamanya pada 1999.

Tegas Muhammad Sabtu, beliau menyangkal dakwaan Menteri Besar itu hari ini yang mengatakan bahawa beliau telah menyenaraikan nama Anwar, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Presiden PKR) sebagai antara penceramah yang akan hadir.

Sementara itu, Muhammad Sabtu berkata, empat pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Khalid Ibrahim; Azmin dan Pegawai Khas Menteri Besar Selangor, Yahya Shahril diminta untuk memberi keterangan mengenai perhimpunan haram itu.

"Jika mereka tidak dapat ke IPK Selangor, mereka boleh pergi ke mana-mana balai polis berhampiran untuk diambil keterangan. Mereka diberi peluang untuk datang dalam tempoh beberapa hari.

"Jika gagal, polis akan menggunakan Seksyen 111 Kanun Prosedur Jenayah untuk memanggil keempat-empat mereka memberi keterangan," katanya.

Muhammad Sabtu menegaskan, sekiranya mereka enggan hadir sebagaimana yang dikehendaki, perkara itu akan dibawa kepada Majistret yang mana mahkamah boleh mengeluarkan waran supaya mereka menghadirkan diri sebagaimana yang diarahkan.

Katanya, ini kerana perhimpunan itu tetap tidak mendapat permit daripada polis.

"Tidak timbul sama ada ia berjalan dengan aman atau tidak kerana setiap perhimpunan awam perlu mendapat permit terlebih dahulu demi menjamin ketenteraman orang awam," katanya.

Komen:

Ingat mereka ada kuasa jadi tolak tepi undang-undang negara. Janji nak buat lain tapi lain jadinya. Ini semua lakonan mereka semata-mata untuk minta permit daripada pihak berkuasa. Bila dah dapat permit mulalah lupa diri dan akhirnya jadi "cakap tak serupa bikin".

Dari dahulu hingga sekarang, kalau dilihat PKR ni tak pernah serik atau tak pernah belajar adab dan tata-susila untuk berkumpul, sentiasa sahaja bertindak salah-laku. Bodoh nak mampus, benda kecil macam ni pun tak reti-reti nak sedar!

Kalau dah janji nak buat makan malam, macam mana boleh jadi perhimpunan haram. Ini nampak sangat gimik semata-mata dan tujuan utama tak nak letak nama DSAI adalah kerana takut rahsia mereka untuk adakan perhimpunan haram menggunakan tiket makan malam akan terbongkar.

Dah tu masih lagi nak tunjuk lagak tak mahu turun ke IPD untuk beri keterangan, boleh paksa-paksa dan minta polis pergi jumpa mereka, apa ingat polis ini kuli batak korang ka. Ingat tinggi sangat ke darjat korang, tinggi dajal korang ada la! Tak ada hormat dan adab langsung, dah buat salah pun lagi nak tunjuk lagak!


No comments: