Wednesday, April 30, 2008

Salah guna subsidi perbuatan hina - Tuanku Mizan

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin menyifatkan perbuatan pihak tertentu menyalahgunakan kemudahan subsidi yang disediakan kerajaan ke atas barang keperluan dengan menyorok dan menyeludup barangan tersebut ke luar negara untuk mengaut keuntungan besar sebagai sangat hina.

Seri Paduka yang bangga dengan kerajaan kerana telah menyediakan pelbagai subsidi bagi membendung kenaikan harga barang dan meringankan beban perbelanjaan rakyat, kesal kerana tindakan pihak terbabit telah menyusahkan rakyat dan merampas hak mereka.

''Perbuatan tersebut adalah sangat hina kerana mendatangkan kesusahan dan merampas hak rakyat," titah Tuanku Mizan ketika merasmikan pembukaan penggal pertama Persidangan Parlimen Ke-12 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sepanjang 2008, titah Tuanku Mizan, lebih RM36 bilion telah diperuntukkan bagi memberi subsidi dan bantuan kepada rakyat yang meliputi gas, diesel, petroleum, pertanian, kesihatan dan pendidikan daripada prasekolah hingga peringkat pengajian tinggi, golongan warga emas dan kurang upaya selain ibu tunggal.

Dalam hal ini, tegas Seri Paduka, kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk meneruskan pemberian subsidi dan pelbagai bantuan lain demi kesejahteraan rakyat.

''Paras harga minyak di pasaran antarabangsa yang tinggi telah memberi kesan langsung kepada harga barangan dan perkhidmatan.

''Sehubungan ini, kerajaan mengambil pelbagai langkah termasuk mengenakan kawalan harga dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan untuk membendung kenaikan harga demi kesejahteraan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah," titah Seri Paduka.

No comments: