Tuesday, May 13, 2008

Jangan Termakan Gimik Pembangkang Yang Menolak Ketuanan Melayu

Orang ramai tidak perlu bimbang dengan istilah "Ketuanan Melayu" yang dicipta oleh pihak Umno kerana ia suatu konsep yang tidak logik dan tiada dalam perlembagaan.

Pengerusi Kelab Penyokong PAS Perlis, Khoo Yang Chong berkata demikian dalam ceramahnya di Markas PAS Simpang Empat dekat sini baru-baru ini.

"Hak keistimewaan orang Melayu dan Orang Asli Sabah-Sarawak sudah termaktub dalam perlembagaan negara. Jika adanya ketuanan Melayu, bagaimana dengan bangsa yang lain? Adakah mereka hamba atau abdi? Ini adalah satu istilah yang tidak logik dan tak masuk akal.

"Hak orang Melayu sudah terjamin dalam perlembagaan seperti kemasukan ke Universiti, hak mendapat pekerjaan dalam sektor awam, permit perniagaan, bahasa Melayu dan kuasa Raja-raja Melayu. Semua ini tidak boleh diusik," kata beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Khoo.

Cikgu Khoo menegaskan bahawa sebarang pindaan ke atas perkara-perkara yang membabitkan hak-hak orang Melayu ini perlu mendapat sokongan 2/3 undi di Parlimen dan harus dipersembahkan kepada Raja-raja Melayu sebelum diluluskan.

Justeru katanya, rakyat khususnya orang Melayu tidak perlu bimbang dengan konsep "Ketuanan Melayu" yang cuba dimainkan oleh Umno.

"Pihak Umno atau BN tak boleh pinda dengan mudah hak-hak ini melainkan mendapat kelulusan 2/3 di Parlimen dengan dipersetujui Raja-raja Melayu," jelasnya.

Komen:

UMNO bukannya cuba untuk bermain dengan konsep Ketuanan Melayu, tetapi UMNO sebagai pembela bangsa Melayu mahu generasi kini sedar bahawa tanpa adanya ketuanan Melayu, tidak akan sebarang hak- hak tertentu yang diberikan kepada orang Melayu. Tanpa ketuanan Melayu, orang Melayu sendiri akan merempat dibumi Malaysia.

Makin hari makin ramai generasi baru muncul dan jika tiada sebarang pendidikan bagi mengekalkan soal ketuanan Melayu pada mereka, maka mereka akan membesar tanpa mempunyai semangat membantu serta memartabatkan bangsa Melayu. Kita tidak boleh terus mengharapkan pada pemikir-pemikir veteran Melayu untuk menyelamatkan ketuanan Melayu, tetapi perkara ini perlu ada penyambungnya. Kita tidak mahu anak-anak kita nanti membesar tanpa mengenali asal-usul dan sejarah kegemilangan Melayu itu sendiri.

Kini makin ramai keluarga yang mendidik anak mereka menjurus kepada pendidikan gaya barat. Hingga kadang kala hampir hilang adat dan tata-susila gaya timur serta Melayu sendiri. Mereka lebih membanggakan barat hingga menolak bulat-bulat gaya hidup timur yang satu masa dahulu merupakan satu kebanggaan pada generasi terdahulu kita.

Menolak ketuanan Melayu adalah seperti mematikan terus hak-hak Melayu di bumi Malaysia. Menolak ketuanan Melayu adalah sama seperti menghunuskan keris pusaka bangsa Melayu kesetiap dada orang Melayu. Merobek hatinya serta dibiarkan mati dalam keadaan yang menyedihkan! Tiada yang akan membantu, malah mereka melihat sambil berkata - sekarang hilanglah Melayu di dunia.


No comments: