Majlis Tertinggi UMNO yang bersidang hampir empat jam Rabu malam menyuarakan harapan suatu hari nanti bekas Presiden parti itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan kembali ke pangkuan UMNO.
”Mesyuarat pada hari ini mengambil maklum akan keputusannya dan Majlis Tertinggi juga berharap bahawa Yang Amat Berbahagia Tun dapat kembali kepada parti pada suatu masa nanti,” demikian kata Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang mengumumkan keputusan Majlis Tertinggi tersebut.
Najib sebelum sidang media bermula kelihatan mencatatkan sesuatu berdasarkan perbincangannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Komen:
Terbaik jika PM dan bekas PM bersatu mengukuhkan UMNO. Rugi jika seorang bekas PM tidak menurunkan segala ilmu yang ada kepada generasi PM baru agar UMNO menjadi lebih kuat serta tidak tersasar dalam memartabatkan bangsa Melayu.
UMNO tidak salah, UMNO tidak lemah tetapi UMNO akan hilang arah serta menjadi lemah jika pucuk pimpinan dahulu dan sekarang tidak kembali bersatu padu. Gabungan dua generasi ini jika kena dengan caranya, maka UMNO mampu berdiri sendiri, dapat merampas kembali negeri yang telah dijajah pembangkang sekarang, malah lebih dari itu.
Moga dalam sedikit masa lagi semuanya akan kembali seperti asal. Mungkin pucuk pimpinan memerlukan masa untuk berfikir. Pentingkan parti dan pentingkanlah orang Melayu kerana inilah tujuan sebenar perjuangan UMNO.
No comments:
Post a Comment