Wednesday, May 7, 2008

Janji Tinggal Janji oleh Kerajaan Selangor

Keputusan kerajaan Selangor tidak menunaikan salah satu janji pilihan raya umum lalu iaitu menurunkan cukai taksiran sebanyak 20 peratus wajar dijadikan iktibar serta pengajaran kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat harus 'membuka mata' terhadap perkembangan yang berlaku itu kerana ia menggambarkan kemampuan sebenar kerajaan negeri berkenaan.

Beliau berkata, apa yang pasti kerajaan Selangor yang kini dipimpin oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas gagal menunaikan salah satu janji mereka seperti mana yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

''Kita sudah jangka apabila sampai pada masanya mereka akan menghadapi kesukaran untuk menunaikan semua janji pilihan raya. Pada waktu pilihan raya sesiapa pun boleh membuat janji tetapi untuk menunaikannya bukan satu perkara mudah.

''Kemungkinan pengundi-pengundi termakan dengan janji-janji yang mereka buat. Sebut sahaja turun cukai sudah tentu akan ada pihak yang termakan dengan janji-janji ini tanpa memikirkan sama ada ia boleh ditunaikan atau sebaliknya,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Pekerja dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan kerajaan Selangor tidak akan menurunkan cukai taksiran sebanyak 20 peratus seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat kerana keadaan ekonomi Selangor ketika ini masih belum mencapai tahap yang memuaskan bagi membolehkan janji tersebut dilaksanakan.

Komen:

Bukan soal ekonomi Selangor tidak mencapai tahap yang memuaskan bagi membolehkan janji tersebut dilaksana sebaliknya kerajaan Selangor memang tidak langsung bercadang untuk menunaikan janji mereka itu.

Bagi mereka apa rakyat boleh buat jika mereka tidak mahu menunaikan janji kerana Selangor telah pun mereka takluki, suka atau tidak, janji atau mungkir mereka telah dapat apa yang mereka mahukan. Terpulanglah pada rakyat untuk buat apa sahaja. Siapa yang tidak mahu duit, siapa mahu lihat wang yang banyak mereka perolehi terpaksa diberikan kepada orang lain. Hal yang sama dilihat timbul di dalam janji kerajaan Selangor. Dengan menurunkan cukai bermakna kuranglah jumlah wang di dalam koleksi dana kerajaan Selangor. Cuma satu yang pasti mereka mungkin tiada masalah jika janji tersebut tidak melibatkan wang ringgit.

P/S: Janji tinggal janji..yang pening rakyat sendiri

No comments: