Friday, May 2, 2008

Usul royalti minyak ditolak

Dewan Rakyat menolak usul wakil pembangkang yang meminta sidang hari ini ditangguhkan untuk membahaskan isu perjanjian royalti petroleum antara Kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri Terengganu.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata, walaupun usul yang dibawa oleh Salahuddin Ayub (Pas-Kubang Kerian) itu merupakan perkara tertentu dan berkepentingan orang ramai tetapi ia tidak perlu disegerakan.

''Saya berpendapat isu ini boleh dibangkitkan dalam sesi perbahasan titah ucapan diraja tanpa perlu usul khusus dibuat," katanya.

Sebaik sahaja Pandikar Amin selesai mengumumkan keputusan itu, 15 wakil rakyat Pas termasuk Salahuddin bangun serentak mendesak usul itu dibenarkan memandangkan ia mendapat sokongan ramai wakil rakyat.

Bagaimanapun, Pandikar Amin tetap bertegas menolak usul itu dengan menjelaskan ia tidak menepati takrif perkara yang perlu disegerakan.

''Yang Berhormat semua tolong patuhi Peraturan Mesyuarat dan hormati keputusan saya bahawa perkara ini boleh dibahaskan pada bila-bila masa.

''Perkara yang termasuk dalam takrif yang perlu disegerakan hanya melibatkan isu-isu yang perlu dibahaskan hari ini dan jika tidak, akan berlaku malapetaka esok," jelasnya.

Salahuddin dalam usulnya menegaskan, royalti petroleum bukan sahaja perlu dikembalikan semula kepada kerajaan Terengganu malah harus ditambah 10 peratus seperti yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, dalam sepucuk surat kepada Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju), Setiausaha Dewan Rakyat, Roosme Hamzah memaklumkan keputusan Pandikar Amin untuk menolak soalan yang dihantar beliau bagi dijawab pada sesi Dewan.

Menuru Rossme, penolakan itu adalah berikutan soalan Choo Keong mengenai bagaimana wang ihsan Terengganu berjumlah lebih RM1.2 bilion dibelanjakan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri itu.

No comments: