Wednesday, May 7, 2008

RPK Ke Penjara

Pengendali dan editor laman blog, Malaysia Today, Raja Petra Raja Kamarudin (gambar) hari ini didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen di sini kerana menerbitkan satu artikel membabitkan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu di laman webnya kira-kira dua minggu lalu.

Raja Petra yang merupakan pengendali blog pertama didakwa atas kesalahan seumpama itu dilihat tenang sepanjang prosiding serta mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nurmala Salim.

Mengikut pertuduhan, Raja Petra, 58, didakwa menerbitkan satu artikel bertajuk Let’s Send the Altantuya Murderers to Hell (Mari hantar pembunuh-pembunuh Altantuya ke neraka) yang mengandungi ayat-ayat menghasut di laman web http://www.malaysia-today.net.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di alamat No. 5, Jalan BPR5/5, Bukit Rahman Putra Sungai Buloh dekat sini pada 25 April lalu.

Raja Petra yang hadir ke mahkamah berkemeja kuning dan seluar jeans biru dituduh di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Kertas pertuduhan itu turut menggariskan sembilan perenggan daripada artikel berkenaan yang didakwa mengandungi ayat-ayat menghasut.

Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan (Polisi), Jabatan Peguam Negara, Datuk Nordin Hassan yang akan mengemukakan 15 orang saksi menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin kepada tertuduh.

Peguam K. Balaguru yang mengetuai barisan peguam bela pada mulanya mengemukakan bantahan awal terhadap pertuduhan yang didakwa tidak mempunyai masa serta kategori hasutan yang khusus.

Sebelum sempat beliau berhujah lanjut, peguam Karpal Singh dan anaknya, Gobind Singh Deo tiba di bilik bicara untuk menyertai pihak pembelaan menyebabkan Balaguru memohon mahkamah berhenti rehat selama 10 minit.

Sebaik mahkamah bersidang semula, Balaguru tiba-tiba menarik balik bantahan itu dengan alasan isu tersebut akan dibangkitkan kemudian.

Katanya, beliau juga diarah agar tidak membuat sebarang rayuan bagi mengurangkan jumlah jaminan yang ditawarkan.

Berikutan itu, Nurmala mengekalkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan perbicaraan selama lima hari bermula 6 Oktober ini.

Semasa ditemui di luar mahkamah, Balaguru memaklumkan bahawa anak guamnya ‘tidak mampu’ untuk membayar wang ikat jamin tersebut.

Bagaimanapun difahamkan, Raja Petra memilih untuk ditahan di penjara sehingga wang yang dikumpulkan melalui kempen ‘Seorang Seringgit’ di laman web Malaysia Today mencukupi untuk membebaskannya.

Raja Petra yang turut diwakili empat lagi peguam bela kemudiannya dibawa ke Penjara Sungai Buloh dekat sini pada kira-kira pukul 3.15 petang.

Terdahulu, Raja Petra tiba di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 9.20 pagi selepas dimaklumkan bahawa dia akan didakwa di Mahkamah Majistret di sana.

Komen:

Langsung tidak timbul perasaan serik dalam diri yang menyebabkan RPK terus disaman dan diheret kemahkamah. Belum selesai kes lepas, timbul pula isu hasutan. Sudah-sudahlah tu. Tidak salah menulis sesuatu di dalam laman blog jika ianya benar dan tepat, tetapi salah jika menggunakan laman blog semata-mata untuk meyebarkan hasutan, fitnah dan sebagainya kerana suara blog adalah suara rintihan rakyat yang mahukan keadilan dan bukan sebaliknya.


1 comment:

WaZiRai said...

Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerbitkan kata-kata hasutan sebagai komen kepada artikel yang disiarkan oleh Raja Petra Raja Kamarudin dalam laman blog MalaysiaToday, tahun lalu.

Syed Akbar Ali, 48, yang juga seorang penulis beberapa buah buku mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan tersebut dibacakan di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah.

Ini merupakan kes pertama membabitkan seseorang yang menghantar komen kepada artikel dalam laman blog di Internet, didakwa di mahkamah di bawah Akta Hasutan 1948.

Syed Akbar didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 2.59 petang, 5 Jun tahun lalu di Zeenath Begum Jewellers Sdn. Bhd., No. 2007, Jalan Masjid India, di sini.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah menerbitkan kata-kata yang menghasut sebagai komen kepada artikel yang diterbitkan oleh Raja Petra bertajuk 03/06: Malaysia’s organised crime syndicate: all roads lead to Putrajaya dalam laman blog, Malaysia-Today yang mempunyai alamat http://www.malaysia-today.net.

Komen tersebut bertajuk It It Easy To Impress The Malays.

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Ketua Penerangan UMNO yang kini Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib merupakan pengadu dalam kes itu yang dibuat pada 23 Julai tahun lalu.

Komathy membenarkan tertuduh yang merupakan bapa kepada dua orang anak dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Beliau juga menetapkan 10 Jun ini untuk mendengar hujahan berhubung bantahan awal pihak pembelaan bahawa tuduhan tersebut adalah tidak berasas.

Pendakwaan dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Yusof dan Mohamad Hanafiah Zakaria manakala Syed Akbar pula diwakili tiga peguam, Ashok Kandiah, Malik Imtiaz Sarwar dan Haris Ibrahim.

Terdahulu, Ishak menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 yang dianggap adil dan tidak membebankan bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

Ashok bagaimanapun memohon supaya jumlah tersebut dikurangkan kepada RM1,000 sahaja dengan alasan anak guamnya telah memberi kerjasama penuh sejak kes itu disiasat mulai Ogos tahun lalu.