Saya terima sepucuk surat yang di dalamnya mengandungi kad jemputan perkahwinan dari seorang sahabat lama. Dari ilustrasi serta corak pada kad, jelas ianya masih menerap dan mengekalkan adat lama masyarakat Melayu Malaysia. Dengan iringan doa memohon kepada yang Maha Esa agar semua perancangan yang di aturkan oleh kedua mempelai berakhir dengan indahnya.
“Engkaulah yang memakbulkan permohonan dua mempelai ini dan dengan redha-Mu jadikanlah kedua mempelai sebagai suami-isteri yang saling mencintai, melengkapi dan menjaga satu sama lain. Sama-sama mendoakan dalam kebaikan dan ketaqwaan serta saling menyempurnakan dalam hal ibadat kepada mu Allah S.W.T”
Adat yang sekian lama di jaga dan menjadi satu daripada acara kemuncak dalam sesuatu majlis perkahwinan. Warkah perkahwinan ini walaupun berbeza dari corak dan lakarannya, tetapi masih kekal menjadi penyatu sesama rakyat baik sebelum berlangsungnya majlis dan berakhirnya kelak.
Tetapi, sejak kebelakangan ini banyak orang cepat melatah apabila orang Melayu menyuarakan kekuasaan Melayu dalam politik di Malaysia. Kehebohan dan kegemparan di kalangan bukan Melayu sengaja dibesar-besarkan untuk menentang fikiran-fikiran yang dianggap oleh mereka bercanggah dengan konsep ‘demokrasi’. Mereka beranggapan orang Melayu sekarang adalah warganegara nombor 1 dan bukan Melayu sebagai warganegara nombor 2. Kenapa terjadinya begini?
Personaliti dan psikologi Melayu ini patut difahami oleh bukan Melayu supaya tidak timbul salah faham dan salah tafsir tentang liberalisme orang Melayu. Orang Melayu sanggup menerima dan bekerja dengan bukan Melayu dalam berbagai kegiatan hidup asalkan mereka menerima kekuasaan Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Bilamana bukan Melayu dianggap mencabar kekuasaan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu maka orang Melayu akan menentang cabaran tersebut.
Jangan kita lupa tanahair kita Malaysia. Bagi Melayu inilah tanahairnya. Tanah tumpah darah kita. Selain Islam sebagai identiti Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu adalah satu lagi identiti kita. Kepada orang Melayu, kedaulatan Raja-Raja adalah bahagian integral dari personaliti mereka. Walaupun kekuasaan Raja-Raja Melayu terbatas hanya mencakupi bidang adat istiadat dan pentadbiran agama Islam namun kepada orang Melayu, Raja dan Sultan adalah lambang kekuasaan Melayu.
Orang Melayu boleh menerima bangsa lain asalkan mereka menghormati terus kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kekuasaan Melayu di negeri-negeri Melayu tanpa sebarang jurang keraguan dan tentangan. Bangsa lain masih mempunyai negara asal mereka di mana hubungan antara negara leluhur mereka tidak langsung terputus. Orang Melayu pula tidak lagi mempunyai tanah leluhur selain Malaysia. Hidup mati orang Melayu hanyalah di Malaysia. Sumber kekuatan, semangat mahupun patriotisme orang Melayu adalah hanya untuk tanahair tercinta Malaysia.
Jangan kita lupa pada tarikh keramat tahun 1946 di mana perjuangan Melayu untuk menuntut kekuasaan Raja-Raja dan bangsa Melayu di mana buat pertama kalinya dalam sejarah politik perjuangan semua bangsa dan parti politik di Tanah Melayu bersatu mengembeling tenaga menyalurkan sepenuh kekuatan menentang Malayan Union. Pada masa itu tidak timbul langsung tentangan terhadap kekuasan Melayu serta Raja-Raja Melayu. Semua rakyat bukan Melayu sepakat menerimanya tanpa sebarang keraguan. Semuanya menjunjung matlamat yang satu hidup dan mati untuk tanahair tercinta Malaysia.
Kalau dulu Belfour mengkhianati penjuangan bangsa Arab dengan membuka pintu seluas-luasnya kepada bangsa Yahudi di Palestin hingga Arab Palestin menjadi golongan minoriti dan MacMichael di Tanah Melayu pula cuba mengkhianati bangsa Melayu dengan cubaan menghapuskan kedaulatan dan kekuasaan Raja-Raja Melayu serta bangsa Melayu, rakyat berbilang bangsa pada masa itu bangkit bangun menentang cubaan ini tanpa ada perbezaan kelas dan bercanggah pendapat tentang isu ketuanan Melayu serta kuasa-kuasa Raja-Raja Melayu, maka kenapa sekarang kita mahu mempersoalkan kembali isu ini? Sedangkan pada masa dahulu tindakan MacMichael itu jika dikaji lebih menjurus kepada memberikan hak-hak kerakyatan yang mudah kepada bangsa bukan Melayu yang pada masa itu yang dikelaskan sebagai pendatang asing.
Masyarakat bukan Melayu boleh hidup senang lenang sebagai warganegara yang sah di sisi orang Melayu. Orang Melayu boleh berkongsi kuasa dengan mereka. Orang Melayu boleh memberi kebebasan untuk mereka menganut dan mengamalkan apa saja agama yang mereka minati. Mereka boleh berniaga, menjadi kaya-raya, dan mengamalkan adat resam mereka tetapi mereka haruslah menerima kekuasaan politik orang Melayu tanpa mempertikaikannya. Bilamana bukan Melayu mempertikaikan kekuasaan politik Melayu dan cuba membentuk sejarah baru dengan membelakangkan orang Melayu maka di sini akan bermulalah tercatatnya satu guris luka serta titik-titik hitam dalam perhubungan kaum di Malaysia. Jika ini terjadi, semua apa yang kita usahakan hancurlah semuanya. Semua yang diperjuangkan dilihat sia-sia belaka.
Selagi Melayu bernama Melayu, orang Melayu akan terus menerus mengekalkan kedaulatan Raja-Raja Melayu. Melayu mempunyai sifat terpuji menyanjung kebesaran Raja-Rajanya kerana jika hilang kedudukan Raja-Raja maka hilanglah karekter Melayu itu di Malaysia. Jesteru itu institusi Raja-Raja adalah sebahagian dari karekter Melayu dan harus dipertahankan. Raja-Raja Melayu adalah “payung naungan orang-orang Melayu”.
Pada tahun 1970, Allahyarham Tun Razak melancarkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) bagi bertujuan membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum. Jika dilihat, tercetusnya pertumpahan darah dalam peristiwa 13 Mei adalah disebabkan orang Melayu merasai diri mereka terpisah dari arus perkembangan ekonomi negara. Masyarakat Melayu di luar bandar hidup miskin dan kurang menikmati segala kemewahan yang dimiliki oleh masyarakat bandar yang majoritinya bukan Melayu. Sungguhpun DEB diterima oleh semua kaum sebagai usaha positif bagi mengurangkan jurang kekayaan antara berbagai kaum, namun suara-suara sumbang tetap kedengaran. Ada golongan yang menganggap DEB hanya mementingkan orang Melayu di luar Bandar dan juga yang aktif berniaga di Bandar. Ada yang menuduh DEB merebut peluang dan kepentingan bukan Melayu untuk diberikan kepada orang Melayu dan ada juga sekarang yang mempertikai kewujudan DEB di mana kononnya DEB ini menjadi tiket kepada kronisme, penindasan serta sebagainya. Sebenarnya dakwaan ini adalah tidak benar di mana DEB hanya menguntungkan orang Melayu sahaja. Ambil contoh mudah seperti ini, orang Melayu yang baru menceburkan diri di bidang pemborong tentulah tidak mempunyai banyak modal dan kepakaran untuk mengambil tender-tender atau peluang perniagaan bernilai jutaan ringgit. Jadi mereka mengadakan syarikat usahasama dengan bukan Melayu. Ada juga yang menjalankan usaha Ali Baba di mana Baba lebih untung dari Ali. Keadaan ini bukanlah sedikit. Bukankah ini menunjukkan bukan Melayu juga mendapat nikmat dari DEB?
Kalau orang Melayu memperolehi lesen lori, teksi dan lain-lain lagi bukanlah bermakna bukan Melayu tidak dapat memperolehinya. Sudah banyak lesen dan permit teksi dan sebagainya yang diperolehi oleh bukan Melayu oleh kerana mereka lebih dulu menerokai bidang-bidang ini. Apalah salahnya orang Melayu juga sama-sama bergiat dalam bidang perniagaan yang dikuasai dan diterokai bangsa bukan Melayu.
Bersambung..
1 comment:
Siapakah tuan di kalangan Melayu atau kepada masyarakat di luarnya termasuk orang bukan Melayu dari benua Asia, Asli, Dayak dan dan lain-lain lagi. Sesiapa pun boleh jadi tuan dan siapa pula yang menjadi hamba kepadanya? Adakah hubungan serupa ini yang tidak terdapat dalam doktrin ketuanan?
Post a Comment