Katanya, sebagai hamba Allah, beliau tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan sepanjang memegang jawatan sebagai Menteri Besar.
Idris berkata, malah pada 23 Februari lalu, beliau telah menyebut ungkapan tersebut ketika menghadap Tuanku Mizan bagi mendapat perkenan senarai calon Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur.
‘‘Oleh itu, saya sanggup memohon ampun dan maaf jika saya melakukan kesalahan. Saya sanggup menghadap baginda pada bila-bila masa.
“Sebenarnya, saya selalu minta ampun dan maaf kepada Tuanku dan paling akhir ialah pada 23 Februari lalu (semasa menghadap baginda). Saya tahu sebagai pemimpin negeri, memang ada salah silap saya,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar khas yang diadakan di sini hari ini.
Ketika ditanya sama ada Idris berusaha menemui Tuanku Mizan selepas pilihan raya, beliau berkata, pihaknya telah membuat temu janji dengan baginda sehari selepas pilihan raya.
Ujarnya, dalam jadual asal beliau akan menemui Tuanku Mizan pada pukul 5 petang tetapi ditangguhkan dan akhirnya tidak berpeluang langsung untuk menemui baginda sehingga kini.
“Pada 9 Mac, saya diberi ruang untuk menemui baginda pada pukul 5 petang tetapi saya diberitahu pertemuan itu ditangguhkan. Saya menunggu dan sehingga tengah malam, saya gagal menemui baginda.
“Saya berusaha menemui baginda tetapi tidak diberi ruang. Bagaimanapun, saya sedia menemui Tuanku Mizan semula saya memohon ampun dan maaf kepada baginda jika saya benar-benar melakukan kesalahan,’’ katanya.
Menjawab satu soalan, beliau berkata, hubungannya dengan baginda adalah amat baik selama ini.
Apabila diminta mengulas mengenai kenyataan sesetengah pihak yang melihat perbuatan Idris itu dianggap menderhaka beliau berkata: “Saya taat pada Sultan.’’
Ditanya apakah kesalahan yang dilakukannya sehingga menimbulkan rasa kurang senang baginda, beliau tidak mengetahuinya.
“Saya tidak tahu, saya tidak tahu dan saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi,’’ katanya lagi.
Selain Tuanku Mizan, Idris berkata, beliau juga bersedia meminta maaf dengan mana-mana pihak.
“Saya terbuka dan telah saya katakan tadi sebagai hamba Allah saya tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan kesilapan,’’ ujarnya.
Sementara itu Idris berkata, beliau reda dengan apa jua keputusan pucuk pimpinan parti termasuk melantik mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang lain menjadi Menteri Besar selain dirinya dan ADUN Kijal, Datuk Ahmad Said.
Beliau berkata, jika itu adalah penyelesaian yang difikirkan paling sesuai, maka beliau akan reda demi kebaikan rakyat.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu berkata, dalam mengatasi kemelut tersebut sudah tentu pucuk pimpinan akan menjadikan kepentingan rakyat sebagai asas agar konflik yang berlaku itu akhirnya dapat diatasi.
‘‘Saya akan terima apa sahaja keputusan untuk kebaikan rakyat. Baik untuk rakyat, baiklah untuk saya. Saya tidak akan lari daripada perkara ini,’’ katanya lagi.
Beliau mengakui konflik yang berlaku ketika ini sekiranya dibiarkan berlarutan tidak akan menguntungkan sesiapa sebaliknya terus merugikan rakyat Terengganu.
“Fitnah berlarutan, rakyat di bawah merasa kurang senang. Yang tidak suka kepada saya akan terus menabur fitnah kepada saya, yang menyokong saya akan menabur fitnah pula kepada orang yang tidak menyokong saya.
“Rakyat kerugian kerana kerajaan tidak dapat berjalan dengan baik, kita sepatutnya telah membentuk kerajaan sejak dua minggu yang lalu. Ini tidak menguntungkan sesiapa pun,’’ katanya.
No comments:
Post a Comment