Friday, March 28, 2008

MT UMNO terima Ahmad Said

Kemelut pelantikan Menteri Besar Terengganu berakhir hari ini apabila Majlis Tertinggi (MT) UMNO menerima keputusan Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu melantik Datuk Ahmad Said memegang jawatan berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan itu dibuat berasaskan usaha untuk mencari penyelesaian secepat mungkin dan kesediaan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh menerima siapa sahaja yang dilantik oleh MPPR.

‘‘Maka dengan itu MT membuat keputusan sebaik-baik penyelesaian bagi membolehkan kerajaan ditubuhkan ialah BN perlu memberi sokongan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Ahmad Said yang dipilih oleh MPPR,’’ katanya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat MT, di sini, hari ini.

Abdullah berkata, berdasarkan kepada sokongan yang diberikan oleh BN itu, mereka yakin kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Ahmad akan dapat ditubuhkan.

Mengenai reaksi 22 ADUN yang menyokong Idris, Abdullah berkata, beliau percaya kesemua mereka yang merupakan ahli UMNO taat setia kepada parti dan akan menerima keputusan tersebut.

Ditanya tidakkah keputusan menerima Ahmad boleh menjatuhkan air muka beliau yang sebelum ini mempertahankan Idris, Abdullah berkata: ‘‘Perkara itu tidak timbul.’’

‘‘Ini kerana saya menyedari bahawa MPPR telah membuat keputusan, itulah orang yang mereka hendak menjadi Menteri Besar.

‘‘Saya memahami (kedudukan itu) apabila perkara ini ditimbulkan dalam pertemuan dengan Sultan Terengganu, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

‘‘Walaupun Seri Paduka tidak ada ‘bahagian’ dalam soal ini kerana ia keputusan MPPR tetapi saya memahami kehendak majlis itu,’’ katanya.

Abdullah yang ditanya bertalu-talu berhubung isu Menteri Besar Terengganu tersebut, turut menegaskan, apabila BN dan UMNO memberi sokongan, Ahmad sebagai Menteri Besar akan melakukan tindakan lanjut bagi menubuhkan kerajaan.

Perdana Menteri juga menjelaskan, pelantikan Ahmad oleh MPPR adalah mengikut perlembagaan negeri Terengganu, oleh itu ia tidak dibincangkan sama ada melanggar perlembagaan atau tidak.

‘‘Apa yang penting bagi kita ialah sudah dua minggu BN mencapai kemenangan, oleh itu tumpuan kita ialah kepada rakyat Terengganu yang menanti kita menubuhkan kerajaan.’’

No comments: