Friday, May 2, 2008

Hari pertama sidang kecoh

Hari pertama Sidang Dewan Rakyat hari ini berlangsung dalam suasana panas, bukan dengan perdebatan isu-isu rakyat sebaliknya kecoh apabila Ahli-ahli Parlimen terutama pembangkang menunjukkan keghairahan untuk membangkitkan Peraturan Mesyuarat sehinggakan sesi soal jawab yang sepatutnya bermula pukul 10 pagi hanya dimulakan setengah jam kemudian.

Sebaik sahaja Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memasyhurkan Presiden Parti Keadilan Rakyat yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ketua Pembangkang, anggota veteran pembangkang, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) awal-awal lagi mencelah dengan mengulangi pertikaian semasa upacara angkat sumpah Isnin lalu.

Beliau sekali lagi membangkitkan soal tidak mengangkat tangan kanan semasa upacara angkat sumpah Isnin lalu, sehingga memaksa Pandikar Amin mengeluarkan keputusan mengesahkan pelantikan semua anggota Dewan itu.

''Urusan mengangkat sumpah sudah selesai dua hari lalu dan semua yang mengangkat sumpah sudah diiktiraf sah menjadi anggota Parlimen.

''Saya sudah buat keputusan dan keputusan itu adalah muktamad. Ia adalah sah dan keputusan saya tidak boleh disoal lagi," tegas Pandikar Amin.

Belum sempat beliau memanggil Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Muar, Razali Ibrahim mengemukakan soalan pertama, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat 14 (1), meminta penjelasan sejauh mana peranan dan pengaruh Yang Dipertua dalam menyusun pertanyaan lisan kerana seolah-olah tidak mengiktiraf Ketua Pembangkang.

Beliau turut mempersoalkan perbezaan jumlah soalan wakil BN dengan pembangkang yang dianggap tidak seimbang.

''Sepatutnya Ketua Pembangkang Dewan Rakyat diberi keutamaan mengemukakan soalan pertama dan saya dapati daripada 10 soalan hanya tiga untuk pakatan pembangkang dan tujuh kepada BN.

"Saya hendak rumuskan jumlah anggota pembangkang adalah 82 orang berbanding BN hanya 77. Saya cadangkan sepatutnya enam dikemukakan kepada pembangkang dan selebihnya kepada Barisan Nasional," katanya.

Ketika ini Razali bangkit untuk mengemukakan soalan pertama tetapi Karpal sekali lagi mencelah dan membangkitkan isu Ahli Parlimen tidak mematuhi prosedur mengangkat sumpah dan mengenai penentuan tempat duduk anggota Dewan Rakyat.

Komen:

Pembangkang masih lagi dengan imej mereka, membangkang di dalam semua hal walaupun hingga sanggup mencelah serta membangkitkan isu yang bertentangan. Tetapi yang bagusnya di sini, dewan rakyat dilihat kembali bertenaga walupun diganggu dengan suara-suara sinis pembangkang yang mahu menghangatkan keadaan.

Tindakannya itu menyebabkan Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) menyampuk sambil mengatakannya isu remeh sehingga mencetuskan pertikaman lidah hampir setengah jam dengan disertai Ahli Parlimen kedua-dua pihak.

"Saya harap Bigfoot dari Kinabatangan tidak akan mengganggu saya. Itu bigfoot. Bigfoot sit down (duduk)," katanya.

Mendengarkan perkataan Karpal itu, Bung Moktar menjawab: "Berdirilah kalau berani. If I'm bigfoot you are big monkey (Jika saya bigfoot, awak monyet besar)".

Komen:

Ini baru betul pertikaman lidah, tetapi yang bagusnya, pertikaman lidah kadangkala bersesuaian dengan isu yang dibangkitkan, barulah kini sidang dewan rakyat nampak lebih hidup kerana isu yang dibangkitkan memerlukan penyelesaian secara lebih efektif. Walaupun dengan penggunaan ayat yang nampak seakan kasar, tetapi mesej yang hendak disampaikan dilihat lebih jelas. Cuma, ianya perlulah bersesuaian dan tidak menimbulkan sebarang rasa ketidak-selesaan.

Karpal juga merujuk Peraturan Mesyuarat 2 (1) mahu Speaker menjelaskan apa kedudukan Anggota Parlimen dari Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang digelarnya 'katak politik' bertanding menggunakan tiket Pas tetapi diberikan kerusi Bebas dalam Dewan.

Pandikar Amin menjelaskan siapa untuk duduk di mana ialah budi bicara Dewan Rakyat.

Sesi diteruskan dengan soalan pertama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi oleh Razali hanya dapat dikemukakan kira-kira pukul 10.25 pagi.

Tugas Yang Dipertua Dewan Rakyat jelas cukup menguji Pandikar Amin apabila beliau terpaksa menghadapi satu demi satu Peraturan Mesyuarat daripada Ahli-ahli Parlimen yang tidak berpuas hati dengan keputusannya untuk tidak membenarkan soalan tambahan.

Komen:

Seharusnya tiada siaran langsung sidang dewan rakyat dikaca tv kerana jika terjadi perkara sebegini, jelas seakan-akan menunjukkan rendahnya martabat Parlimen hingga menjadi seperti pasar dan ‘barang permainan’ oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Jika ditonton oleh negara luar, persepsi mereka mungkin berlainan dengan kita, dan kita tidak mahu sebarang komen negatif dilemparkan oleh negara luar selepas menonton sidang dewan rakyat ini.

Biarpun sidang dewan rakyat dilihat panas dengan campurtangan pembangkang, tetapi untuk kesejahteraan rakyat, semua perkara atau isu yang dibangkitkan perlulah diteliti secara terperinci. Ada kebenarannya dicelah kehangatan yang dibangkitkan di dalam dewan rakyat ini tetapi yang penting tindakan susulan yang diambil selepas ini.

1 comment:

WaZiRai said...

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek hari ini memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana bertindak membenarkan siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam semalam.

Menurut beliau, rakyat benar-benar tertipu dengan tingkah laku wakil pembangkang yang membuat kecoh di Dewan yang mulia itu hingga mengubah persepsi rakyat terhadap Parlimen.

Kata beliau, walaupun orang ramai suka melihat sesuatu pertelingkahan tetapi pada masa sama ia merendahkan martabat Parlimen hingga menjadi seperti pasar dan ‘barang permainan’ mereka yang tidak bertanggungjawab.

‘‘Sekali lagi saya ulangi, saya rasa kesal dan saya minta maaf kepada rakyat Malaysia kerana siaran langsung itu telah mengubah persepsi rakyat terhadap Parlimen. Saya rasa bertanggungjawab ke atas apa yang berlaku.

‘‘Sepatutnya ia jadi tempat mulia, tetapi ramai yang menganggap perbuatan ahli-ahli Parlimen pembangkang khususnya DAP telah merendahkan martabat Parlimen hingga ramai mengatakan ia tidak lebih daripada sebuah sarkas,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Sepetang Bersama Menteri anjuran UMNO Cawangan Bidor dan Ketua-ketua UMNO di Dewan Undangan Negeri Sungkai di sini hari ini.

Semalam, Ahmad Shabery menyatakan slot siaran langsung sidang Dewan Rakyat selama setengah jam akan dikaji semula berikutan kekecohan yang berlaku pada hari pertama sidang Dewan itu.

Beliau berkata, kekecohan pada sidang Dewan boleh menjadikan rakyat muak terhadap semua ahli Parlimen, ahli politik dan kerajaan keseluruhannya apabila ahli-ahli Parlimen berbalah dan bertikam lidah di atas perkara yang remeh-temeh setiap hari.

Katanya, lama-kelamaan sudah tentu rakyat akan hilang kepercayaan terhadap ahli-ahli Parlimen kerana mereka sangkakan wakil rakyat yang dipilih adalah lebih pandai, bijak, matang, berhemah dan beretika.

‘‘Saya rasa ini bahaya. Apabila hilang kepercayaan, mereka tidak akan lagi percaya kepada sistem, Parlimen, kerajaan, menteri-menteri malah institusi pembangkang itu sendiri.

‘‘Akhirnya mereka beralih kepada urusan kehidupan masing-masing kerana merasakan bahawa ahli politik bukanlah tempat untuk mereka mengadu dan menaruh harapan,” katanya.

Kata Ahmad Shabery, apabila persepsi sedemikian berlaku dan berterusan ia akan mengakibatkan masa depan politik dan demokrasi negara hilang dan pudar begitu sahaja.

‘‘Mungkin bagi orang UMNO, mereka rasa ini satu perkara yang baik sebab kita tunjukkan itulah perangai pembangkang yang tuan-tuan pilih. Tetapi bagi saya ia satu kegagalan untuk menyakinkan rakyat bahawa Parlimen kita adalah Parlimen yang baik,” katanya.

Tambah beliau, tingkah laku pembangkang di Parlimen juga jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati kerajaan yang mengarahkan semua Menteri turun ke sidang Dewan bagi menjawab segala persoalan.

Katanya, bagi membolehkan langkah itu dilaksanakan kerajaan terpaksa mengubah mesyuarat Kabinet daripada hari Rabu ke hari Jumaat tetapi malangnya ia langsung tidak dihargai ahli Parlimen pembangkang.

‘‘Dulu mungkin ada Setiausaha Parlimen dan Timbalan Menteri untuk jawab tetapi kini Menteri sendiri jawab.

‘‘Soalan tambahan pula kita bagi kepada pembangkang dan kita ikhlas nak turun dan nak jawab tetapi tak dihargai. Jadi untuk apa semua ini?,” katanya.