Sunday, March 2, 2008

Renungan - Isu Harga Barang

Isu harga barang naik, isu harga minyak naik, semua ini adalah sandiwara politik pembangkang yang sebenarnya kekurangan modal dalam memancing undi rakyat terhadap mereka menjelang PRU-12. Mereka sebenarnya tidak mempunyai isu yang teguh untuk diguna pakai semasa berkempen. Mereka tidak mempunyai kepakaran dalam isu ekonomi tetapi berani membuat kenyataan yang lemah dan tidak mempunyai landasan yang tepat.

Jika dikaji secara menyeluruh, masalah atau isu harga barang naik ini boleh dikawal secara efektif jika kena dengan caranya. Seperti yang dilihat, pembangkang secara terus menuduh terdapat kelemahan yang besar dalam sistem yang diguna pakai oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tetapi sebenarnya, kita tidak boleh secara terus menuding masalah ini kepada KPDNHEP, hal ini memerlukan bantuan dan tindakan semua pihak termasuklah kesedaran rakyat itu sendiri. Akta-akta yang berkaitan telah dilancarkan dan dikeluarkan bagi menjamin keseragaman dalam harga barangan. Masalah selalunya timbul bukan daripada kerajaan atau pengeluar, tetapi sebaliknya terjadi disebabkan orang tengah.

Apakah yang perlu dilakukan?

Kita sebagai rakyat Malaysia perlu melihat kembali masalah-masalah berkaitan kenaikan harga barang yang pernah kita hadapi sebelum ini. Pada tahun 1987 negara telah mengalami dan berhadapan dengan masalah ekonomi yang serius dimana krisis ini berlarutan agak lama tetapi akhirnya kerajaan Malaysia masih dapat menangani masalah ini dan kita berjaya melaluinya tanpa ada rakyat yang kebuluran.

Pada tahun 1997 kita sekali lagi mengalami krisis ekonomi dan sekali lagi kerajaan Malaysia telah berjaya menangani masalah ini tanpa ada seorang pun rakyat kita yang mati kebuluran dan sebagainya.

Jelas di sini rakyat tidak perlu gentar mengenai desa-desus berkaitan kenaikan harga barangan kerana kita percaya semuanya akan berjalan lancer dengan adanya pihak kerajaan yang sentiasa mempunyai jawapan yang tepat dalam mengawal dan menguruskan ekonomi negara.

Jadi di sini, rakyat dapat lihat dan menilai bahawa kerajaan BN adalah merupakan kerajaan yang tepat dan arif dalam menjaga dan mengawal baik perjalanan ekonomi Malaysia serta keperluan rakyat. Rakyat seharusnya jangan tertipu dengan dakyah pembangkang yang secara lantang menyatakan bahawa mereka tahu mengenai perjalanan ekonomi tetapi sebaliknya mereka cuma pandai mengeluarkan fatwa dan dakyah politik kotor tetapi tidak langsung mempunyai penyelidik ekonomi yang arif. Ini adalah kerana sejak dari mula lagi BN telah mula memerintah dan BN jugalah mempunyai kepakaran dalam menguruskan ekonomi negara bukannya melalui pembangkang! Ini adalah ungkapan yang mudah untuk difahami bukan! Jika pembangkang yang memerintah bukan sahaja ekonomi meningkat tetapi negara juga turut tergadai kerana mereka Cuma pandai berjanji tetapi bodoh dalam menguruskannya.

Rakyat perlu lihat, kenaikan harga dalam barangan mencerminkan sesuatu yang positif. Ini merupakan satu petanda baik kerana dengan meningkatnya ekonomi negara, pelabur asing lebih berminat untuk melabur dalam negara melalui pelbagai sektor yang diwartakan. Melalui ini, taraf ekonomi akan meningkat, taraf ekonomi rakyat juga akan terus meningkat. Kerajaan dengan mudah dapat mengembalikan wang keuntungan negara yang diperolehi dengan menyalurkannya kepada keperluan rakyat dalam negara. Akhirnya kita sebagai rakyat Malaysia yang beruntung kerana memperolehi kelebihan yang diberikan oleh kerajaan ini.

1 comment:

adie said...

lu belajak ekonomi sekolah pok loh bodowi kot...padanlah ..kesian sungguh ..